Siasatan PAC: KBS ambil serius teguran, cadangan - Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengambil kira saranan yang dikemukakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang akan menjalankan siasatan terhadap kementerian itu.

Menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau turut akan memperhalusi satu persatu cadangan dibuat Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad berhubung perkara itu.

"Kita ambil serius teguran dan cadangan. Kita akan perhalusi satu demi satu. Dan, kalau ada contohnya, bukti salah laku, kita akan ambil tindakan susuan.

"KBS akan pastikan bahawa budaya integriti diangkat. Sebab itu, sebaik sahaja saya ambil alih tugas, kita lancar integriti '5-point plan'.

"Ini kementerian pertama yang meletakkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (dalam kementerian). Kita hendak pastikan bahawa isu ini tidak berulang," katanya.

Pada Isnin, Madinah berkata, PAC disaran menyiasat KBS dan Kementerian Pengangkutan berdasarkan  Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2017 Siri 2 yang dikeluarkan semalam.

Menurutnya, terdapat beberapa perkara dan isu punitif yang perlu dilihat dan disusuli berhubung laporan membabitkan dua kementerian itu.

Bagaimanapun, katanya, ia bukan bermaksud kesalahan sudah dibuktikan.

Beliau juga tidak menjelaskan secara terperinci berhubung kes-kes yang dimaksudkan membabitkan dua kementerian tersebut.

This blog is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info Interest and Other Entertainment.