Siaran ILS tanpa izin, Malaysia hantar nota bantahan kepada Singapura

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia akan menghantar nota bantahan melalui Wisma Putra kepada Singapura ekoran tindakan negara itu menyiarkan Tatacara Sistem Pendaratan Alatan (ILS) melalui Penerbitan Maklumat Aeronautik (AIP) mereka berhubung aktiviti komersial Lapangan Terbang Seletar, tanpa kebenaran rasmi negara ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, penyiaran itu bertentangan dengan prinsip hak kedaulatan negara yang diperuntukkan di bawah Convention on International Civil Aviation (Chicago Convention 1944.

“Kerajaan Malaysia buat keputusan tidak benarkan Singapura siarkan ILS, dan keputusan ini telah dimaklumkan kepada mereka pada 28 dan 29 Nov lepas.

“Bagaimanapun Singapura telah menyiarkan ILS itu tanpa kebenaran pada 1 Dis lepas, dan akan berkuatkuasa pada 3 Januari, 2019, tanpa kebenaran Malaysia,” kata Loke sewaktu menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) di Dewan Rakyat hari ini.

Terminal penumpang itu, mula beroperasi 19 Nov 2017 lalu, diuruskan oleh Changi Airport Group. 

Menerangkan lanjut, Loke berkata, penyiaran ILS di bawah AIP itu sekiranya berlaku, akan merencatkan pembangunan di kawasan Pasir Gudang kerana setiap bangunan atau apa-apa struktur binaan perlu mematuhi piawaian antarabangsa.

Di samping itu, jelasnya lagi, penyiaran itu juga akan menjejaskan operasi perkapalan di Pelabuhan Pasir Gudang.

BACA: Tiada caj terhutang kepada Lapangan Terbang Seletar terhadap jet Jho Low

BACA: Penumpang Firefly ke Singapura dipindahkan ke Malaysia Airlines susulan penggantungan 

Loke berkata, kerajaan sentiasa komited dalam mempertahankan kedaulatan dan memastikan kepentingan negara terus terpelihara, terutamanya dalam isu-isu berkaitan kepentingan strategik pengurusan ruang udara negara.

BACA: Firefly beroperasi dari Lapangan Terbang Seletar akhir 2018

Menjawab soalan tambahan sama ada kerajaan akan mengambil kembali ‘delegated airspace’ di Selatan Johor, Loke berkata, usaha itu akan dilakukan secara berperingkat.

“Kerajaan Malaysia akan berbincang secara terperinci dengan Singapura berkenaan rancangan mengambil balik ‘delegated airspace’ di Selatan Semenanjung Malaysia.

"Dan sekiranya perlu, akan merujuk kepada ICAO (International Civil Aviation Organisation) untuk saranan selanjutnya,” katanya lagi.

This blog is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info Interest and Other Entertainment.