Setiausaha Akhbar nafi Maszlee mahu masukkan 1MDB dalam silibus Sejarah Malaysia

KUALA LUMPUR: Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pendidikan, Shahrul Aman Mohd Saari menggesa agar pihak wartawan memperbetulkan laporan berhubung dakwaan menteri itu yang berniat memasukkan isu 1Malaysia Development Berhad dalam silibus Sejarah Malaysia.

Shahrul Aman berkata, laporan yang dikeluarkan media pada Isnin tidak tepat kerana Maszlee sama sekali tidak menyebut kes 1MDB patut dimasukkan ke dalam silibus subjek Sejarah Malaysia.

Sebaliknya, katanya dalam saty kenyataan pada Selasa, Menteri Pendidikan itu hanya menyebut bahawa isu 1MDB akan dimasukkan dalam sejarah Malaysia.

“Laporan media memetik seolah-olah YB Dr Maszlee mengatakan kes 1MDB akan dimasukkan ke dalam silibus subjek Sejarah adalah tidak tepat.

“Justeru, kerjasama media dipohon agar membuat pembetulan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.”

Kenyataan itu pula menyebut isu 1MDB boleh diajar di peringkat pengajian tinggi dan Kementerian Pendidikan tidak akan menghalang.

Semalam, ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Pontian Datuk Ahmad Maslan, Maszlee berkata beliau memberi jaminan bahawa isu 1MDB akan dimasukkan dalam Sejarah Malaysia.


 

“Saya boleh memberi jaminan bahawa isu 1MDB akan dimaksudkan dalam Sejarah Malaysia supaya generasi ke hadapan tidak akan mengulangi.

“Begitu juga sejarah yang menyaksikan bahawa khazanah negara telah disamun akan dimasukkan dalam sejarah," katanya.

Terdahulu, sewaktu menjawab soalan Hasanudin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat), Maszlee memaklumkan Dewan Rakyat bahawa pihak kementerian akan mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji silibus sejarah yang diguna pakai di negara ini.

This blog is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info Interest and Other Entertainment.