Senarai serangan palsu, abang bintang kriket Australia ditahan

SYDNEY: Abang kepada bintang kriket Australia, Usman Khawaja, ditahan polis anti-pengganas di sini pada Selasa, bagi membantu siasatan berhubung senarai serangan palsu.

Polis mendakwa, Arsalan, 37 tahun, mengarang dokumen mengenai serangan itu dalam usaha memerangkap rakannya, Bernama memetik laporan agensi berita Xinhua.

"Kami percaya ia dirancang dan diatur," kata Penolong Pesuruhjaya Polis New South Wales, Mick Willing pada satu sidang media pada Selasa.

"Hasil siasatan berhubung perkara itu, kami tidak mendapat sebarang maklumat yang membayangkan memang benar wujud ancaman terhadap komuniti."

Ogos lalu, warga Sri Lanka, Mohamed Kamer Nilar Nizamdeen, 25 tahun, didakwa dengan beberapa pertuduhan jenayah keganasan dan ditahan selama sebulan.

Terdahulu, pihak berkuasa menemui buku nota komputer yang didakwa mengandungi perincian plot pembunuhan tokoh tertentu termasuk perdana menteri ketika itu, Malcolm Turnbull dan timbalannya Julie Bishop.

Menurut Bernama, kes itu mendapat perhatian media selepas polis melancarkan gerakan besar-besaran menyerbu kampus University of New South Wales, tempat lelaki itu bekerja.

Pada September lalu, semua pertuduhan terhadap lelaki itu digugurkan.

Polis mendakwa Khawaja dan Nizamdeen bertelingkah kerana meminati seorang wanita, menyebabkan Khawaja merancang perkara itu. 

Meskipun pihak berkuasa berkata mereka kesal dengan kesilapan itu, Penolong Pesuruhjaya Polis Australia, Ian McCartney menjelaskan, polis terpaksa bertindak pantas kerana wujud ancaman serius terhadap tokoh dan lokasi pelancongan negara berkenaan.

Arsalan akan didakwa atas tuduhan membuat kenyataan palsu dan cuba menggugat keadilan.

This blog is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info Interest and Other Entertainment.