Saya bukan Ketua Pesuruhjaya SPRM sewaktu pindaan laporan 1MDB dibuat - Dzulkifli

PUTRAJAYA: Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad menafikan pindaan laporan Jabatan Audit Negara mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berlaku ketika beliau memegang jawatan nombor satu badan tersebut.

Sebaliknya ketika mesyuarat berhubung arahan pindaan itu dibuat pada Februari 2016, beliau ketika itu merupakan pegawai undang-undang yang bertugas di Jabatan Peguam Negara.
 
“Saya nak betulkan beberapa isu seolah pada ketika itu (laporan) pada Februari 2016 saya memainkan peranan sebagai Ketua Pesuruhjaya.

“Saya belum dilantik Ketua Pesuruhjaya. Keterlibatan saya dalam satu mesyuarat yang dijemput dan saya diarah mewakili Jabatan Peguam Negara.

“Itu yang disebut Tan Sri Madinah  Mohamad dalam  satu mesyuarat dihadiri Jabatan Peguam Negara  itulah saya bukanlah kapasti sebagai Ketua Pesuruhjaya ketika itu,” katanya kepada media di hadapan ibu pejabat SPRM Putrajaya hari ini.

Sebelum ini beliau pada jam 10.25 pagi tadi tiba di SPRM bagi membantu siasatan berhubung pendedahan Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad.

Madinah sebelum ini mendakwa laporan akhir Jabatan Audit Negara mengenai 1MDB telah dipinda.

Katanya bekas perdana menteri Datuk Seri Najib  Razak sendiri yang membuat arahan itu dalam mesyuarat bertarikh 22 Februari 2016,.

Mesyuarat tersebut dikatakan dihadiri bekas Ketua Setiausaha Negara Dr Ali Hamsa, bekas Ketua Setiausaha Sulit perdana menteri, Shukry Salleh dan bekas Ketua Audit Negara, Ambrin Buang.


Beliau selesai memberi keterangan pada jam 3.30 petang tadi.

Pada masa sama Dzuklifli  menegaskan beliau bukan saksi pertama dipanggil SPRM.

“Saya bukan saksi pertama, saya saksi terakhir sebelum ini SPRM sudah panggil lebih 15 saksi.”

Beliau juga mendakwa tidak diminta untuk hadir ke SPRM kali kedua untuk memberi keterangan.

This blog is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info Interest and Other Entertainment.