Polis tahan lelaki terlibat serangan bersenjata di Kulim

ALOR SETAR: Polis menahan seorang lelaki di Jalan Bagan, Padang Serai, Kulim, awal pagi tadi, kerana disyaki terbabit dalam serangan bersenjata mengakibatkan seorang lelaki mengalami kecederaan di bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Supt Ahmad Nasir Jaafar berkata dalam kejadian 5.30 petang semalam, mangsa yang berusia 41 tahun ketika itu berada di rumahnya di Taman Serai Setia, Kulim, didatangi suspek berumur 21 tahun bersama dua lagi rakannya.

"Tiga suspek terbabit datang ke rumah mangsa dengan membawa rantai besi, batang besi serta batang kayu dan salah seorang suspek memaklumkan dia tidak akan membaiki kereta mangsa yang terlibat dalam kemalangan dengan keretanya sebelum ini.

"Selepas itu, dua suspek menendang pintu pagar rumah mangsa sehingga patah sebelum masuk ke dalam rumah dan terus memukul mangsa di seluruh bahagian badan mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian tapak kaki kiri, tangan sebelah kiri dan kepala," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Nasir berkata mangsa membuat laporan polis dan susulan itu, pihaknya berjaya menahan seorang suspek pada 1.45 pagi dan siasatan awal mendapati lelaki itu mempunyai satu rekod jenayah membabitkan kes dadah.

"Siasatan juga mendapati suspek mengaku terlibat dalam kes serangan itu dan polis sedang mengesan dua lagi suspek. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

This blog is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info Interest and Other Entertainment.