Piala AFF: Thailand dalam keadaan takut - Zaquan

BANGKOK: Kapten skuad kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak, percaya terhadap kemampuan mereka untuk mendapatkan gol di Stadium Rajamangala sambil menegaskan Thailand pasti lebih tertekan menjelang pertemuan separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF 2018 malam ini.

Zaquan, yang telah menjaringkan tiga gol dalam kejohanan kali ini, percaya Thailand selaku tuan rumah pasti lebih tertekan untuk memenuhi tuntutan penyokong sendiri, lapor Astro Arena.

Selain itu, sekiranya Malaysia meraih keputusan seri dengan jaringan di Bangkok, aksi final sudah pasti menjadi milik Harimau Malaya, sekali gus menambahkan lagi tekanan buat pasukan bimbingan Milovan Rajevac itu yang hadir dengan status juara bertahan.

"Bagi saya, tiada yang mustahil dalam kamus bola sepak. Apa sahaja boleh berlaku selagi dapat berpegang dengan kekuatan mental dan semangat. Masing-masing sudah tahu peranan," kata Zaquan.

"Sudah tentu jaringan akan memberikan tekanan kepada lawan. Namun, kami tidak boleh tergopoh-gopoh. Apa yang pasti, mereka sedang tertekan kerana akan beraksi di laman sendiri. Kami bermain tanpa tekanan kerana lawan pasti sedar, jika kami menyumbat gol, kelebihan berpihak kepada kami.

"Thailand dalam keadaan takut untuk berdepan Malaysia," ujarnya lagi.


Sementara itu jurulatih Thailand Milovan Rajevac mengakui kebanyakan pemain Thailand tidak pernah memenangi Piala AFF Suzuki tetapi setiap pemain tahu apa yang mereka harus lakukan.

“Pada pertemuan pertama kami tidak merancang untuk bermain secara defensif tetapi situasi di Bukit Jalil memaksa kami berbuat demikian. Esok (mala mini) akan berbeza. Kami akan cuba jaringkan gol,” katanya.

Pertemuan pertama Malaysia-Thailand pada hujung minggu lalu berkesudahan seri 0-0.

This blog is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info Interest and Other Entertainment.