Penyelesaian isu kuil Sri Maha Mariamman dijangka tidak lama lagi - MB Selangor

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor yakin pertikaian berhubung isu perpindahan Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya dekat sini akan mempunyai jawapan tidak lama lagi.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri menerima maklum balas positif daripada pihak berkaitan termasuk pihak pengurusan kuil dan pemaju One City Development Sdn Bhd dalam mencari penyelesaian isu itu.

Menurutnya, perbincangan mengenai isu berkenaan akan dibuat secara tertutup, esok.

"Sebenarnya saya adakan dua, tiga pertemuan (bersama pengurusan kuil dan pemaju) berhubung isu itu dan respons sangat positif, satu atau dua minggu Insha-Allah kita akan dapat result mengenainya," katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

BACA: Vincent Tan yakin pemilik beri kerjasama jual tanah kuil

Beliau mengulas perbincangan bersama pihak pengurusan kuil dan pemaju yang dijangka esok bagi mencari penyelesaian menyeluruh terhadap isu kuil berkenaan.

Khamis lepas, Amirudin dilaporkan berkata kuil itu tidak akan dipindah atau diroboh sehingga penyelesaian menyeluruh dicapai.

BACA: MB Selangor nafi kerajaan negeri akan ambil alih tanah kuil

BACA: Terpulang kepada Selangor kalau mereka boleh ambil alih tanah kuil - PM

Beliau ketika itu berkata, kerajaan negeri bersedia menjadi orang tengah bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu pertikaian perpindahan kuil berkenaan.

Baru-baru ini isu berkenaan mencetuskan rusuhan di kawasan rumah ibadat terbabit yang menyaksikan antara lain kenderaan, bangunan dirosakkan dan seorang anggota bomba cedera parah akibat diserang perusuh. -- Bernama

This blog is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info Interest and Other Entertainment.