Penggunaan pekerja asing: Premis makanan Putrajaya patuh

PUTRAJAYA: Premis makanan di kawasan pentadbiran Perbadanan Putrajaya (PPj) didapati mematuhi peraturan yang ditetapkan berkaitan penggunaan pekerja asing.

Ia berhubung nisbah kadar penggunaan pekerja asing dan larangan penggunaan warga asing di bahagian hadapan.

Demikian menurut Presiden PPj Datuk Dr Aminuddin Hassim yang menyertai Ops Sesak Warga Asing di Presint 15 di sini hari ini, menurut laporan Bernama.

Nisbah pekerja tempatan kepada pekerja asing di premis makanan ditetapkan pada 60:40.

Pada masa sama, warga asing hanya dibenarkan melakukan tugasan di bahagian belakang premis, meliputi penyediaan dan lain-lain.

Larangan penggunaan pekerja warga asing di bahagian hadapan dikuatkuasakan PPj sejak setahun lepas.

"Setakat ini kita dapati ratio atau peraturan larangan pekerja asing di 'front liner' (barisan hadapan) dipatuhi," kata Aminuddin.

Tegasnya, pengusaha yang gagal mematuhi arahan berkenaan akan berdepan tindakan tegas termasuk lesen perniagaan dibatalkan.

Aminuddin dilaporkan berkata, pematuhan itu antara lain disebabkan operasi berterusan yang dijalankan PPj.

"Lebih daripada 10 operasi telah dijalankan bagi menjayakan arahan tersebut berbanding enam kali yang ditetapkan sebagai KPI (petunjuk prestasi utama)," katanya.

Mengenai Ops Sesak Warga Asing itu yang turut disertai penguatkuasa Imigresen, Aminuddin dipetik berkata, operasi yang bermula sejak pukul 6 pagi di Presint 9 dan Presint 15 itu menahan 37 pendatang asing daripada Bangladesh, Pakistan, Indonesia dan Myanmar.

Daripada jumlah itu, 27 orang dibebaskan manakala 10 yang lain ditahan atas pelbagai sebab termasuk permit kerja tamat tempoh, tiada dokumen pengenalan dan tinggal melebihi masa.

This blog is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info Interest and Other Entertainment.