PAC panggil Ambrin Buang, Madinah isu dakwaan 'ubah' laporan 1MDB

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad dan bekas Pengarah Sektor Audit Kerajaan, Saadatul Nafisah berhubung dakwaan 'mengubah' laporan audit 1MDB yang dibentangkan di Parlimen pada 2016.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ketiga-tiga mereka akan dipanggil minggu ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan tersebut.

"Ambrin akan memberi keterangan kepada anggota PAC pukul 11 pagi esok dan Madinah pula akan dipanggil menjadi saksi pada 5 hari bulan (Rabu) manakala Nafisah daripada Jabatan Audit pula pada 6 hari bulan (Khamis).

"Selepas itu, kami akan kenal pasti lagi beberapa saksi untuk dipanggil bagi membantu siasatan," katanya dalam sidang media selepas membentangkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) siri kedua di Parlimen hari ini.

Pada 25 Nov lalu, Madinah dilaporkan mendedahkan bahawa beberapa bahagian dalam laporan audit 1MDB itu dikeluarkan atas arahan bekas perdana menteri yang juga bekas menteri kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ditanya sama ada PAC mempunyai tempoh tertentu untuk melengkapkan siasatan, Ronald berkata tiada tempoh masa ditetapkan kerana terdapat tiga kes sedang disiasat pihaknya ketika ini; dana bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bernilai kira-kira RM18 bilion, projek marina awam dan siasatan semula isu 1MDB. -- Bernama

This blog is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info Interest and Other Entertainment.