Najib, Ali Hamsa akan dipanggil isu pinda laporan 1MDB

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan antara individu yang akan dipanggil oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) susulan dakwaan pindaan Laporan Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengerusi PAC, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, antara yang akan dipanggil termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa; bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali; bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad; dan bekas Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Malah, katanya, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang yang memberi keterangan kepada PAC hari ini akan dipanggil semula bersama pasukan yang melakukan audit 1MDB.

“Ya, ada beberapa nama telah dikenal pasti termasuk tambahan pasukan pengaudit yang melakukan siasatan siasatan itu juga akan dipanggil.

“Saya tidak menolak kemungkinan (Najib dipanggil) itu. Terdapat lima, enam nama (pasukan audit) yang diberi oleh Ambrin,” katanya kepada media selepas inkuiri melibatkan Ambrin di Parlimen hari ini.

BACA: PAC panggil Ambrin Buang, Madinah isu dakwaan 'ubah' laporan 1MDB

Bagaimanapun, Kiandee tidak menetapkan sebarang tarikh berhubung mesyuarat tersebut.

Jelasnya, siasatan berhubung dakwaan pindaan Laporan Audit 1MDB itu dijangka berlanjutan sehingga tahun depan.

Selesai inkuiri tersebut, laporan itu akan dibentangkan kepada Parlimen.

Mengulas berkenaan inkuiri yang berlangsung hari ini, Kiandee berkata Ambrin telah memberi kerjasama yang baik sepanjang prosiding yang berlangsung hampir empat jam.

Usaha media yang cuba mendapatkan reaksi Ambrin pasca inkuiri tersebut gagal.

Sebagai reaksi beliau berkata, “Saya tiada komen, tanya Pengerusi (PAC).

This blog is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info Interest and Other Entertainment.