Laporan Ketua Audit: TH, LHDN, Felda diberi Pendapat Tanpa Teguran

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (LTH), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), antara 16 agensi yang menerima Pendapat Tanpa Teguran dengan 'Emphasis of Matter' bagi penyata kewangan tahun 2017.

Turut diberikan Pendapat Tanpa Teguran dengan 'Emphasis of Matter' ialah Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2, yang dibentangkan di Parlimen hari ini, kaedah penetapan polisi rosot nilai aset kewangan LTH adalah tidak konsisten dan telah diubah sebanyak dua kali.

Berdasarkan Perenggan 8, MFRS 136: Impairment of Assets, peruntukan rosot nilai perlu dibuat sekiranya nilai dibawa pelaburan adalah melebihi nilai diperoleh.

Bagi tahun berakhir 31 Disember 2017, LTH tidak merekodkan rosot nilai berjumlah RM227.81 juta terhadap pelaburan dalam tiga syarikat subsidiari dan tiga syarikat bersekutu, khususnya pelaburan dalam syarikat bersekutu iaitu TH Heavy Engineering Berhad yang berjumlah RM164.58 juta.

Penyata kewangan syarikat itu turut menerima Penafian Pendapat oleh Juruaudit Luar.

Sementara itu, LHDN telah memberikan Pembiayaan Tanpa Faedah berjumlah RM100 juta kepada anak syarikatnya, Yayasan LHDN yang ditubuhkan pada Oktober 2017 tanpa memeterai perjanjian antara kedua-dua pihak.

Menurut laporan itu, pembiayaan tersebut diberikan dengan syarat bayaran balik oleh Yayasan LHDN mulai 2037 selepas tempoh 20 tahun daripada pembiayaan diberi.

Felda dan kumpulan pula telah merekodkan peningkatan ketara kerugian bersih masing-masing berjumlah RM5.73 bilion dan RM4.85 bilion bagi 2017 berbanding RM251.24 juta dan RM729.6 juta pada 2016.

Kedudukan liabiliti semasa bersih Felda dan kumpulan masing-masing berjumlah RM643.93 juta dan RM27.03 juta berbanding aset semasa bersih berjumlah RM343.17 juta dan RM1.234 bilion pada 2016.

Aliran tunai aktiviti operasi Felda dan kumpulan juga mengalami defisit, masing-masing berjumlah RM1.20 bilion (2016: RM1.16 bilion) dan RM503.49 juta (2016: RM578.54 juta).

Felda dan kumpulan juga mempunyai pinjaman daripada institusi kewangan masing-masing berjumlah RM7.8 bilion (2016: RM6.82 bilion) dan RM12.14 bilion (2016: RM9.08 bilion).

Sementara itu, KWIE didapati melabur RM2.37 bilion dalam simpanan tetap di bank berlesen tanpa mendapat kelulusan Kementerian Kewangan seperti tertakluk dibawah Seksyen 44D Akta 501 - Akta Bekalan Elektrik (Pindaan) 2015.

Bagaimanapun, permohonan kelulusan telah dihantar kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

This blog is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info Interest and Other Entertainment.