Kerajaan negeri di Semenanjung diminta percepatkan pengukuran sempadan

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri di Semenanjung diminta mempercepatkan dan memuktamadkan proses penadaan dan pengukuran sempadan negeri masing-masing, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar.

Jelas beliau, ini adalah bagi memastikan segala tuntutan terhadap pertindihan kawasan dapat dielakkan pada masa akan datang, terutamanya di kawasan sempadan maritim, di mana terdapat kemungkinan sumber minyak dan gas baharu.

“Sampai sekarang tak ada penyelesaian sempadan maritim. Jadi kita minta negeri untuk mempercepatkan persetujuan, selepas JUPEM (Jabatan Ukur dan Pemetaan) buat ukuran di kawasan maritim ini untuk diadakan ketentuan, kawasan ini masuk ke dalam negeri mana.

“Sebagai contoh, Kelantan dan Terengganu yang mana kita tahu kepentingan mereka adalah minyak dan gas. Sebab itu sempadan maritim ini perlu dipercepatkan proses dan ditentukan dua negeri ini dengan MoU (perjanjian persefahaman), kalaulah ada kawasan baru kita dapati ada gas dan minyak, maka mereka boleh tentukan ia milik siapa,” katanya kepada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Ke-74 Majlis Tanah Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di bangunan Parlimen, hari ini.

Turut menghadiri mesyuarat itu ialah Menteri-menteri Besar, Ketua-ketua Menteri dan wakil, serta pegawai kanan kerajaan lain.

Terdahulu, Dr Wan Azizah berkata, mesyuarat kali ini telah membentangkan kertas Status Pelaksanaan Projek Penandaan dan Pengukuran Sempadan (Darat dan  Maritim), serta Status Memorandum Persefahaman Hasrat Penandaan dan Pengukuran dan Perjanjian Sempadan di antara Negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

“Kita berhasrat supaya Kerajaan-kerajaan Negeri mengambil maklum (pembentangan ini) dan seterusnya mengambil tindakan untuk memuktamadkan sempadan masing-masing.

“JUPEM telah menjalankan kerja-kerja penandaan sempadan darat antara negeri-negeri berjumlah 19 sektor, di mana empat daripadanya telah selesai sepenuhnya; empat sektor lagi telah siap ditanda dan diukur; dua lagi sedang dalam proses; dan sembilan lagi dalam peringkat menandatangan MoU,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sekiranya kesemua 19 sektor ini dapat dimuktamadkan, proses seterusnya ialah penandaan sempadan maritim.

“Sempadan maritim ini penting kerana terdapat banyak kerja tambakan laut seperti di Johor, Melaka, dan Pulau Pinang yang akan memberi kesan kepada sempadan negeri dan negara,” katanya lagi.

This blog is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info Interest and Other Entertainment.