KBS tubuh jawatankuasa khas perhalusi dasar had umur pengundi 18 tahun

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memperhalusi cadangan menurunkan had umur pengundi kepada 18 tahun, kata Timbalan Menterinya Steven Sim Schee Keong.

Beliau berkata, jawatankuasa itu perlu bagi memastikan segala isu-isu berkaitan hal berkenaan dapat dikenal pasti, dan seterusnya menjadikan usaha penurunan had umur pengundi itu lebih efisyen dan cekap.

“Objektifnya adalah untuk meneliti atau memperhalusi dasar undi 18 ini supaya kita boleh melaksanakan dasar itu (dasar undi 18) dalam keadaan paling efisyen dan cekap.

“Dari segi keanggotaan, termasuklah pemimpin sayap pemuda pemudi semua parti termasuk parti pembangkang. Saya lihat melalui senarai kehadiran pada mesyuarat pertama tersebut, wakil Pemuda UMNO juga ada. Syabas saya ucapkan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) sewaktu sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Terdahulu, Khairy, yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, ingin mengetahui langkah-langkah pendidikan dan pendedahan generasi muda terutama soal politik, Perlembagaan Persekutuan, sivik dan sebagainya.

“Saya tak mahu keluarkan kenyataan umum tetapi ada anak muda 18 tahun ke atas yang sangat berpengetahuan dalam politik, dan ada yang saya rasa tahap pemahaman politik mereka sangat cetek. Bila kita ambil kira, mesti ada perancangan pendidikan, sebelum dikemukakan pindaan ini,” kata Khairy lagi.

Sementara itu, Sim berkata, rasional kerajaan dalam dasar berkenaan adalah bagi memastikan belia juga turut dilibatkan sebagai rakan strategik dalam pembentukan acuan masa depan negara.

“Berdasarkan statistik, 1.56 juta penduduk adalah dalam kalangan belia berumur antara 18 hingga 20 tahun, yang mana ia mewakili 10 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi berdaftar.

“Adalah tidak adil untuk menidakkan hak mereka membuat keputusan memilih kerajaan secara formal,” jelas Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu.

This blog is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info Interest and Other Entertainment.