Insiden Kuil Sri Maha Mariamman: Polis cari 28 saksi

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan 28 orang saksi untuk membantu siasatan kes berhubung insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, dekat sini, pada Isnin lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd turut memohon kesemua saksi berkenaan tampil memberi kerjasama berhubung kes berkenaan.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kesemua saksi itu, diminta menghubungi Ketua JSJ Selangor SAC Fadzil Ahmat di talian 019-6000903 dan Ketua Bahagian JSJ Ibu pejabat Polis Daerah Subang Jaya DSP G. Shan Gopal di talian 019-2714387 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Kerjasama daripada semua pihak amatlah dihargai bagi membantu siasatan PDRM,” katanya dalam kenyataan harı ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata setakat ini polis telah menahan seramai 58 orang yang terdiri daripada 18 individu bangsa India, dua Cina dan 38 Melayu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Insiden kekecohan yang berlaku pada awal pagi Isnin dan Selasa berikutan perbalahan mengenai perpindahan kuil itu ke tapak baharu, menyebabkan kecederaan parah kepada seorang anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang kini dirawat di Institut Jantung Negara.

Kejadian itu juga menyebabkan seorang anggota polis cedera selain kemusnahan 23 kenderaan yang dibakar perusuh, kerosakan sebuah bangunan serta gangguan kepada ketenteraman awam.

This blog is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info Interest and Other Entertainment.