"Ini cerita sebelum beliau jadi Ketua Pesuruhjaya SPRM..."

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki menyifatkan siasatan yang dibuat ke atas Tan Sri Dzulkifli tidak memberi kesan kepada reputasi agensi berkenaan.

Katanya, siasatan yang dibuat adalah berkaitan laporan audit akhir 1Malaysia Development Berhad.

"Ia tiada kaitan dengan SPRM. Yang saya tahu, penglibatan beliau bukan ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, tetapi sebagai pegawai di Jabatan Peguam Negara," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.

Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu hadir bagi memberi keterangan bagi membantu siasatan dakwaan berlaku pindaan pada Laporan Audit Negara 1MDB.

Beliau yang memakai sut hitam berkemeja putih tiba di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira jam 10.25 pagi dengan menaiki kenderaan Nissan X- Trail berwarna hitam.

Ini merupakan kali pertama Dzulkifli dipanggil oleh SPRM berhubung kes 1MDB.

Beliau merupakan antara saksi utama selepas pihak SPRM meneliti dokumen asal laporan akhir Audit 1MDB untuk dibandingkan dengan draf akhir yang dikeluarkan Jabatan Audit Negara Malaysia (JANM).

This blog is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info Interest and Other Entertainment.