Buli siber bakal diletakkan di bawah Kanun Keseksaan?

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia mencadangkan supaya Kanun Keseksaan (Akta 547) dipinda khususnya bagi menangani kes buli siber.

Jelas Menterinya, Gobind Singh Deo, kementerian ketika ini sedang berbincang dengan semua pihak lain termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhubung perkara ini.

"Kami sudah mula berbincang isu ini dengan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

"Antara isu yang dibincangkan termasuk mengenal pasti, sama ada polis atau SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) akan mengambil tindakan jika Akta ini dipinda," kata Gobind dalam satu sidang media di sini, pada Isnin.

BACA: Polisi Keselamatan Siber Kebangsaan dibentang Mac 2019 - Gobind

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan memandang serius ancaman siber terhadap kanak-kanak termasuk pengantunan kanak-kanak yang akan menggugat kelestarian kesejahteraan kanak-kanak.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata kanak-kanak yang menggunakan media sosial, 'open platform education' dan aplikasi digital dalam aspek pendidikan untuk mendapatkan maklumat dan interaksi sosial berdepan ancaman siber seperti pornografi, 'sexting' dan buli siber yang semakin menular.

This blog is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info Interest and Other Entertainment.