Bintang badminton Korea Selatan dipalit kontroversi palsukan rekod khidmat komuniti

SEOUL: Bintang badminton Korea Selatan Lee Yong-dae terus dihimpit kontroversi kerana didakwa memalsukan rekod khidmat komuniti, walaupun beliau menafikan melakukan perbuatan itu.

Lee dilaporkan berkata, beliau sebaliknya dengan sukarela melaporkan kesilapan yang terdapat dalam rekod khidmat komunitinya itu kepada Pentadbiran Tenaga Kerja Ketenteraan (MMA) pada Jumaat lepas.

Beliau bukan dengan sengaja memalsukan dokumen itu, menurut Bernama, memetik laporan agensi berita Yonhap.

"Terdapat beberapa kesilapan ketika proses mendaftar rekod khidmat komuniti saya, seperti masa perjalanan, tempoh dan lokasi perkhidmatan serta kekurangan data foto," kata Lee.

Di Korea Selatan, lelaki yang sihat tubuh badan wajib menjalani latihan ketenteraan selama dua tahun.

Bagaimanapun, pemenang pingat Olimpik atau pingat emas Sukan Asia dikecualikan dan hanya dikehendaki menjalankan khidmat komuniti berkaitan sukan sebanyak 544 jam dalam tempoh 34 bulan.

Lee, 30 tahun, layak mendapat pengecualian menjalani latihan tentera selepas memenangi pingat emas dalam acara regu campuran di Olimpik Beijing 2008.

Bernama melaporkan, beliau didaftarkan menjalani khidmat komuniti sebagai kakitangan sukan pada 2016 selepas bersara daripada pasukan kebangsaan.

"Saya dipilih sebagai kakitangan sukan dan ia satu keistimewaan. Jadi, sudah tentu saya mahu memastikan tugasan itu diselesaikan sebaik mungkin," kata Lee.

Beberapa laporan media tempatan baru-baru ini mencetuskan kontroversi apabila memuat naik gambar sama tetapi tarikh dokumen berlainan.

Lee berkata kesilapan itu mungkin disebabkan kesalahan di pihak pentadbiran MMA.

Sebelum ini, pemain bola sepak Korea Selatan, Jang Hyun-soo ditahan kerana memalsukan rekod khidmat komuniti dan kemudian dilarang seumur hidup bermain untuk pasukan kebangsaan oleh Persatuan Bola Sepak Korea (KFA).

This blog is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info Interest and Other Entertainment.