ACGSB perkenal revolusi silinder komposit LPG pada 2019

KUALA LUMPUR: Revolusi baharu silinder gas petroleum cecair (LPG) akan diperkenal ke dalam pasaran negara bermula awal tahun depan.

Pengarah Urusan Astana City Group Sdn Bhd (ACGSB) , Nik Mohd Fareez Nik Ahmad Azman berkata, ia menawarkan reka bentuk sangat berbeza berbanding silinder besi sedia ada yang dijual di pasaran hari ini.

"Teknologi LPG komposit ini dihasilkan daripada plastik dan gentian kaca sekali gus bersifat tahan karat.

"Ia mempunyai keunikan tersendiri, iaitu beratnya yang lebih ringan dan penguna dapat melihat isipadu cecair gas sebenar yang dibeli di samping memberi penekanan terhadap isu keselamatan pengguna.

"Selain ringan dan mudah diuruskan, pengguna juga akan dapat melihat penanda aras kandungan LPG melalui ciri 'transluscent bottle' bagi memastikan kandungan LPG adalah tepat mengikut jumlah yang dibayar oleh pengguna berdasarkan harga yang diwartakan oleh kerajaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

ACGSB adalah antara syarikat pertama yang telah diberikan kelulusan pemberian subsidi oleh kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MoF) untuk memasar dan mengedarkan silinder gas LPG komposit untuk pasaran Malaysia.

Dalam pada itu kata Nik Mohd Fareez, pada masa kini, teknologi silinder LPG komposit ini sangat popular dan diguna pakai di Amerika Syarikat, Jepun, Australia, Thailand dan negara Eropah.

"Produk ini telah dipatenkan dan mendapat pengiktirafan antarabangsa. Buat permulaan, ACGSB akan mengimport produk berkenaan dari kilang Hyundai di Gyeongsangnam-do, Korea Selatan dan Thailand.

"Dalam masa setahun, ACGSB akan berkerjasama dengan Hyundai dan PAP Thailand LTD Co untuk membangunkan kilang berkapasiti tinggi menghasilkan silinder komposit di Port Klang, Malaysia," ujarnya.

Mengulas lanjut, Nik Mohd Fareez berkata, pihak ACGSB juga menganggap silinder LPG komposit itu revolusi terbaru kepada teknologi silinder besi yang kini sudah berada di pasaran sejak lebih 40 tahun.

"Kami ingin membantu pihak kerajaan untuk mempunyai mekanisme yang lebih berkesan dalam mengatasi masalah ini. Sekali gus ia seperti inisiatif tanggungjawab social korporat (CSR) kami kepada hak rakyat di Malaysia.

"Kami akan mula menjual silinder ini di kawasan Semenanjung Malaysia dahulu sebelum ke Sabah dan Sarawak dengan sasaran untuk menguasai 3 peratus pasaran pengguna LPG Malaysia dalam masa setahun jualan, serta penguasaan 20 peratus di pasaran pengguna menjelang tahun kelima produk ini berada di pasaran," katanya.

This blog is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info Interest and Other Entertainment.