1MDB tiada kepentingan sejarah untuk diabadi dalam buku teks - Pakar

KUALA LUMPUR: Skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak mempunyai kepentingan sejarah sekiranya dimasukkan sebagai sukatan pelajaran.

Menurut Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata ia hanya akan mengajar pelajar sekolah untuk membenci dan tidak mengenang jasa pemimpin negara.

“Walaupun sekiranya pemimpin kita itu didapati bersalah nanti, dia akan mendapat hukuman yang lain tidak perlu menghukum beliau dengan cara sebegini.

“Jasa beliau tetap ada kepada negara ini, jika kita selitkan 1MDB dalam buku teks sejarah ia hanya akan memperlihatkan keburukan seorang pemimpin, sikap dan syarat ini tidak betul untuk kita sampaikan kepada anak bangsa kita.

“Ini bertentangan dengan hasrat Menteri Pendidikan yang menyatakan tahun depan di dalam perhimpunan sekolah nak adakan manual kesedaran sivik amalan nilai murni dalam kalangan murid sekolah rendah dan menengah,” jelas beliau.

Tambahnya, beberapa perkara perlu diambil kira termasuk kes tersebut kini sedang dibicarakan di mahkamah.

“Pertamanya, kes itu masih dibicarakan di mahkamah, ada konsep subjudis yang mana kita tidak boleh bicarakannya apatah lagi masukkan dalam sejarah dan belum selesai serta akan mengambil masa bertahun.

“Kedua, saya kira tiada signifikasi sejarah dalam perkembangan Malaysia, jika nak bincang pasal rasuah boleh dibuat di platform lain, bukan dalam buku teks sejarah dan tidak patut masukkan 1MDB sebagai sebahagian daripada kurikulum pendidikan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik di Parlimen pada Isnin yang menyebut bahawa isu 1MDB dan penyelewengan membabitkan ahli politik akan dimasukkan sebagai sukatan mata pelajaran Sejarah.

This blog is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info Interest and Other Entertainment.