Tidak Lagi Mahu ‘Luar Biasa’, Kenapa Kini Saya Mahu Menjadi Guru Murabbi

Guru Murabbi kah kita?

“Apabila orang jadi cikgu nanti, orang tak nak jadi cikgu yang ‘biasa’. Orang nak jadi cikgu yang lebih daripada biasa.”

Itulah yang saya pernah ucapkan kepada emak saya saat saya diterima mengikuti latihan perguruan. Emak yang juga seorang guru dan juga arwah abah tentu mempunyai harapan tertentu terhadap anaknya yang memilih jalan perguruan yang sama.

Saat ini, ya sehingga waktu sekarang saya menulis ini, saya pun tidak pasti apakah sebenarnya maksud “biasa, luar biasa” yang pernah saya ungkapkan itu dahulu. Dan, betapa jahilnya saya kerana setelah berbelas-belas tahun menjadi guru, saya masih melihat sungguh banyak dan tumbuh melata guru di sekeliling yang telah menjadi guru ‘luar biasa’.

Lebih ‘biasa’ daripada saya sendiri, yang sangat dikagumi akan kekentalan semangat dan indahnya karisma mereka selaku sang guru.

Cikgu Shahidan atau nama pena, As Syahid, ketika sedang mengajar.

Cikgu Shahidan atau nama penanya, As Syahid, ketika sedang mengajar.

Pernah mengetahui dan mengenali seorang guru yang memelihara anak-anak muridnya lalu dijadikan sebagai anak angkat. Tinggal hujung minggu di rumah guru itu dan belajar sehingga masuk ke universiti. Anak-anak orang Asli yang dibimbing sepenuh perhatian oleh gurunya, tidak mengharapkan balasan. Luar biasa, bukan?

Pernah melihat seorang guru yang mengeluarkan duit RM200 untuk dibelikan sepasang kasut bola baru kerana anak didiknya terpilih dalam pasukan bola negeri. Satu kejayaan yang tidak dapat diungkap di sekolah kampung dan guru itu berjaya membimbing sehingga jauh sebegitu. Luar biasa!

Pernah juga melihat seorang guru wanita yang menyerahkan RM2,000 kepada anak didiknya yang enggan pergi mendaftarkan diri di universiti atas alasan kesusahan keluarga. Guru yang mendengar khabar itu singgah ke rumah bekas anak didik STPMnya lalu menyerahkan wang itu, “Ambil duit ini, cikgu tidak kisah kamu mahu bayar semula atau tidak, yang penting pergi mendaftarkan diri di sana dahulu.”

Satu lagi, bagaimana pula dengan seorang guru yang lemas diterbalikkan bot akibat banjir besar di Pantai Timur dua tahun lalu?. Khabarnya, guru itu mahu berpatah balik semula ke rumahnya yang semakin dinaiki air. Kerana apa? Soalan-soalan skrip jawapan SPM mahu diselamatkan. Takut hanyut dibawa arus air.

Demi segalas amanah yang dipikul. Dia mahu menyelamatkan semua itu dan bukan lagi harta benda peribadi yang lain. Malangnya, dia meninggal dunia dan tidak dapat diselamatkan. Allahuakbar. Sangat luar biasa!

Sungguh, saya tidak mampu menjadi seorang guru yang ‘luar biasa’ seperti mereka. Saya hanya seorang guru biasa di sekolah kampung ini.

Satu hari, saya mendengar sebuah ceramah, seorang penceramah itu pernah berkata,

“Saya ini sudah berpuluh-puluh tahun mengajar anak murid MRSM, menjadi mereka orang yang pandai-pandai belaka. Dalam hati berasa bangga, semua anak-anak murid saya semuanya berjaya. Saya juga banyak menang anugerah Guru Cemerlang, dan dipuji bermacam-macam, tetapi….

Tetapi, pada suatu hari saya terbaca untaian kata-kata yang mengesankan, yang berbunyi,

‘Sebaik-baik guru ialah guru yang mendekatkan diri anak muridnya dengan tuhan mereka, kerana itulah guru Murabbi.’

Barulah saya sedar, bahawa selama ini saya hanya mendekatkan mereka dengan lapisan dunia material, saya berasa hiba dan pilu, kerana saya tidak pernah menjadi seorang guru Murabbi. Betapa jahilnya saya sebagai seorang guru.”

Semenjak saya mendengar ceramah itu, saya banyak memuhasabah diri. Merenungi makna perjuangan hidup saya. Betulkah aku ini seorang guru? Mengapakah aku tidak mahu menjadi seorang guru yang murabbi? Guru yang mendekatkan dirinya dan anak muridnya kepada Allah Taala. Kerana itulah sebaik-baik guru.

Ya, itulah matlamat saya sejak itu. Bukan lagi mahu menjadi seorang guru “Luar Biasa” yang pernah diungkapkan. Saya mahu anak didik saya sentiasa ingatkan Allah dan konsep hidup sentiasa bertuhan hatta sekalipun saya mengajar Bahasa Melayu di sekolah. Tidak kisahlah samada engkau mengajar Matematik atau Seni Lukis sekalipun, sekiranya engkau mengaitkan dengan ‘hidup rasa perlu bertuhan’ dan anak didik engkau terhutang budi kerana itu. Subhanallah!

Sungguh, saya ini tidak sempurna, kelemahan dan keaiban menyelubungi diri, namun perlahan-lahan azam ini dikotakan untuk membaiki diri sendiri terlebih dahulu. Lalu, perlahan-lahan mengajak anak-anak didik pula. Matlamat ini disematkan sambil saya sudah tidak mepedulikan lagi matlamat mahu menjadi UPSR terbaik seluruh daerah, ranking tersohor, guru terhebat dan banyak lagi. Itu semua sudah tidak relevan lagi.

“Kita kejar akhirat, dunia akan berlari-lari mengejar kita.”

Kemenjadian anak didik akan berjaya sekiranya selepas usai waktu belajarnya, dia membukakan kasut dan stokingnya lalu mengambil wudhu’ lalu mengerjakan solat Zuhur tanpa disuruh dan dipaksa lagi. Dan, akhirnya dia mendoakan di akhir solatnya untuk keseluruhan kebaktian dan kebaikan manusia sekelilingnya.

Apakah kita seorang guru Sang Murabbi?

“Sebaik-baik guru ialah guru yang mendekatkan diri anak muridnya dengan Tuhan mereka, kerana itulah guru murabbi.”

Sungguhlah, perjuangan ini masih lagi belum usai. Masih penuh dengan ilalang-ilalang galau dan rawan yang perlu diranduk.

Aku tak kan bertanya,
Apakah nanti balasannya,
Setiap pengorbanan setiap pemberian,
Demi satu ikatan,
Keikhlasan di hati,
Walaupun kau ragui,
Pada suatu masa dan suatu ketika,
Akan ketara jua,
Aku senang begini dapat terus berbakti,
Dengan cara sendiri.

Guru ‘luar biasa’ yang membuatkan saya menangis hiba.

This blog is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info Interest and Other Entertainment.