Telan Walaupun Pahit, Ini Pesanan Buat Anda Yang Mahu Berniaga Sepenuh Masa

Ini khas buat mereka yang mahu berniaga dan tidak pernah berniaga fulltime. Ada beberapa perkara yang perlu diketahui terutama tentang realiti dunia bisnes. Biasanya idea bisnes kita tu indah impian dari kenyataan. Ditulis mendapat jualan RM20,000 setiap bulan dalam rancangan perniagaan, hakikatnya RM2000 sebulan pun menangis nak dapat.

featured

Apabila berniaga fulltime, sumber pendapatan juga adalah fulltime dari berniaga. Jika leka, jika produk atau servis tidak terjual, maka wang yang tinggal RM1 seminggu dalam poket adalah perkara biasa.

Bagi yang berkeluarga, nasib isteri dan anak-anak bergantung kepada perniagaan yang kita tiada ilmu dengannya (ya, memang nasib manusia itu rahsia Allah. Tapi mereka tanggungjawab kita). Maka, fikir-fikirkan atau cari ilmu dahulu sebelum mempertaruhkan nasib mereka.

Apabila berniaga secara serius, patuhi undang-undang. Bisnes yang diusahakan bukan lagi seperti jual kacang, gula-gula, roti dan sebagainya kepada rakan kerja di pejabat. Kita perlu daftar SSM, tapak niaga, akaun bank dan seumpamanya. Kalau dihalau oleh pengawal atau majlis perbandaran, kena ingat, itu kerja mereka.

Tak perlu viral dalam media sosial. Malu. Nanti orang niaga tahu anda tak patuh undang-undang walaupun orang awam sokong kesalahan anda.

Begitu juga dengan syariah. Bisnes kita perlu patuh syariah. Di luar sana ramai guru-guru bisnes yang ajar teknik dan strategi yang tidak patuh syariah. Jangan ikut walau mereka berjaya dengan cara itu. Jangan guna konsep “semua orang buat, aku pun kena buat benda yang sama. Adat orang berniaga”. Jangan… Kita perlu ingat, rezeki yang diperolehi itu kita gunakan untuk menyara keluarga. Kita tidak mahu suap anak kita makan bara dari api neraka.

Kalau mahu berniaga fulltime, kita perlu tukar kawan. Bukan buang kawan lama, tapi tukar kepada kawan baru kerana duduk minum kopi dengan mereka lebih bermakna untuk dapat ilmu. Lepak dengan kawan lama untuk eratkan silaturrahim tidak salah. Kawan juga jangan dijadikan rakan niaga, pelabur atau staf. Kerana perbuatan itu boleh menyebabkan kita putus kawan dengannya apabila bisnes tidak menjadi.

Keluarga kita (ibu ayah, adik beradik) mungkin akan lihat kita ganjil dan susah bila berniaga. Itu tidak mengapa, yang bahaya adalah apabila kita guna wang mereka sebagai hutang berniaga, cagar tanah ayah dan sebagainya. Silap-silap hari raya pun kita tak berani balik kampung. Bukan sebab tak cukup duit nak balik kampung sahaja, tetapi takut kena marah dan kata-kata nista orang kampung.

Hutang dengan orang berniaga adalah umpama darah dengan daging. Hampir tidak boleh dipisahkan. Kalau kita tak hutang orang, orang hutang kita. Hutang bukan perkara yang salah. Malah ia dibenarkan dalam Islam. Cuma hutang yang ingin dibuat atau diberi perlu diuruskan dengan betul.

Ramai peniaga yang susah mahu kembangkan bisnes mereka bukan sebab jualan tidak laku, tetapi disebabkan nama blacklist kerana tidak menguruskan hutang dengan baik. Putus kawan, putus keluarga, lari jauh-jauh, dikejar along dan kebanyakan kesusahan seorang usahawan adalah disebabkan oleh hutang.

Perlu ada mentor atau sekurang-kurangnya orang yang boleh guide kita dalam bisnes yang kita usahakan. Kalau baik dengan supplier, boleh minta mereka memberi tunjuk ajar. Mereka lebih lama bisnes dari kita. Kalau tak baik dengan mereka, siapa tahu mereka akan tipu kita?

Peniaga adalah antara golongan yang paling ramai menipu. Tipu harga, tipu barang, tipu kuantiti, tipu kualiti, tipu kerja, tipu kaya, tipu pandai sehingga ramai Tipah tertipu. Kalau kita tiada mentor atau orang yang bantu memberi nasihat, maka banyak perkara yang kita kena tipu. Kerana dalam bisnes, kita bukan hanya berurusan dengan pelanggan, kita juga akan berurusan dengan peniaga lain sebagai pembekal dll.

Maka sebelum memasuki alam bisnes sepenuh masa, cari ilmunya dahulu, cari gurunya dahulu dan belajar berniaga kecil-kecil dahulu.

This blog is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info Interest and Other Entertainment.