Pemuda Ini Mahu Masyarakat Buang Stigma Terhadap OKU Mental

Tahun pertama sebagai hospital officer (HO), dia telah didiagnos dengan bipolar disorder. Kini, dia bukan lagi doktor perubatan tetapi merupakan peniaga alat telekomunikasi yang mempunyai kad OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan tertera jenis kecacatan – Mental.

Bipolar disorder melibatkan mood swing yang berlaku pada tahap ekstrim. Seseorang itu boleh cenderung kepada mood yang baik sampai over-exciting dan boleh juga mengalami kemurungan sampai rasa ingin bunuh diri.

Seseorang yang memiliki kecerdasan yang baik boleh mengalami bipolar. Ini kerana semakin pintar, semakin kritis menganalisis permasalahan termasuk perasaannya sendiri, maka semakin besar kemungkinan memiliki kecenderungan tersebut. Faktor-faktor lain ialah keturunan, stres dengan kehidupan sosial, ekspresif dan lain-lain.

Ikuti temubual ini untuk mengetahui bagaimana Dr. Muhammad Farhan Mohd Nor bangkit kembali.

farhan 1

Bagaimana kehidupan Tuan sebelum didiagnos dengan bipolar disorder?

Saya adalah normal seperti orang biasa yang tiada masalah dan tidak pernah gagal dalam pengajian.

Bilakah Tuan disahkan ada bipolar disorder?

Saya didiagnos dengan penyakit tersebut pada tahun 2012 iaitu 4 bulan selepas bekerja di bahagian paediatrik. Dalam pada masa 4 bulan tersebut, saya mengalami ‘sleep deprived’ iaitu kurang tidur yang menyebabkan saya menjadi murung tanpa sebab.

Semasa waktu kerja, saya normal dan tiada tiada masalah untuk bekerja. Selepas pulang dari kerja, saya akan tidur sepanjang masa. Bangun dari tidur saya akan bekerja dan ini menjadi rutin kehidupan saya. Saya sendiri tidak mengetahui yang saya sakit.

Dalam melalui hari-hari rutin tersebut saya berasa tiada ‘mood’, tiada tenanga, letih, hidup seperti tidak berguna dan berasa keseorangan kerana hidup seorang diri.

Adakah ada situasi yang menyebabkan Tuan berjumpa doktor untuk dapatkan rawatan?

Sewaktu tempoh berkhidmat sebagai ‘Houseman’, saya harus menjalani peperiksaan untuk penempatan perkhidmatan di jabatan seterusnya. Saya tidak dapat menjawab soalan kerana tidak ingat apa yang saya baca.

Tekanan menyebabkan saya mengalami ‘short term memory lost’. Saya gagal peperiksaan tersebut dan berjumpa dengan pakar psikiatri. Saya disahkan menghidap ‘Major depression disorder’-unipolar.

Saya di tahan di wad psikiatrik selama 4 hari. Penyakit Major depression disorder bertukar kepada Hypomanic bipolar disorder. Kemudian saya diberikan cuti selama seminggu, seterusnya dipanjangkan perkhidmatan di wad pediatrik selama 3 bulan.

Dalam masa 3 bulan (itu), saya tiada masalah bekerja.

Apa perasaan Tuan apabila mengetahui ada penyakit ini?

farhan 2

Saya tidak berasa apa-apa dan tidak kisah. Cuma apabila ada terbuat salah, ‘Medical Officer’ (MO) mempunyai stigma terhadap saya kerana pernah ditahan di wad psikiatri. Ini diungkapkan apabila mereka berkata mereka menahan sabar dengan saya kerana saya sakit.

Kawan-kawan juga mempunyai stigma yang sama dan keluarga pada mulanya tidak dapat menerima penyakit saya tetapi lama-kelamaan menyokong saya.

Kemudian, saya ditukarkan ke jabatan ortopedik. Jabatan ini merupakan jabatan yang paling ringan untuk peringkat ‘houseman’ relatif kepada kesemua jabatan-jabatan lain. Walapun begitu, ia juga mencabar kerana waktu tidur tidak mencukupi. Waktu kerja menggunakan sistem ‘shift’ iaitu bekerja selama lebih kurang 12 jam lebih.

Selepas bertukar jabatan, saya mengalami tekanan atau ‘depression’ semula, namun tidak menyedarinya. Selepas 2 bulan berkhidmat, saya ditahan semula di wad psikiatri dan didiagnos oleh pakar psiaktri menghidap Bipolar type 2 iaitu setaraf dengan gila tetapi tidak gila.

Pada waktu itu lesen perubatan saya terus ditarik dan tidak dibenarkan bekerja. Stigma orang sekeliling terhadap saya semakin tinggi.

Pada fasa tersebut saya dibenarkan duduk di bahagian pentadbiran sebagai HO sementara tanpa berbuat apa-apa kerja. Lesen saya digantung selama 2 tahun tanpa diberi peluang untuk bekerja kembali atas alasan senang menerima rawatan.

Saya sudah boleh mengagak yang saya sudah tiada masa depan dalam dunia perubatan dan mula berniaga di pasar malam dan kaki lima.

Bagaimana Tuan boleh mula berniaga? Adakah ia kerana minat atau survival?

farhan 4

Saya memang minat berniaga sejak kecil. Saya pernah menjual nasi lemak semasa saya kecil dan ketika belajar pun saya pernah berniaga. Pada mulanya saya berniaga di pasar malam di Temerloh. Semua orang mengenali saya kerana saya bekerja di hospital di Temerloh.

Saya berniaga sewaktu lesen digantung tetapi masih lagi bekerja di hospital. Pada awalnya, saya bercadang berniaga simkad kerana sewaktu berjalan di pasar malam saya melihat ada ‘mat pit’ yang berniaga menjual aksesori telefon.

Saya mempunyai kepandaian tentang telefon bimbit jadi mengapa tidak saya mengambil peluang berniaga dalam bidang tersebut? Saya mula berniaga pada tahun 2015 iaitu selepas banjir besar di Pantai Timur.

Pada bulan pertama perniagaan, tiada hasil yang saya perolehi. Lama-kelamaan, setelah orang sudah percaya dengan saya, perniagaan saya menampakkan hasil yang positif dan saya mengumpul modal dan membuka kedai di Temerloh.

Saya masih lagi hidup seorang diri, namun saya memperoleh rehat dan tidur yang cukup. Saya mengamalkan pemulihan dengan cara ketuhanan (healing by mind), senaman yang berkala, pemakanan yang sihat dan Alhamdulillah sudah 2 tahun bebas dari penyakit yang pernah saya hadapi dahulu.

Penyakit Bipolar merupakan ‘livelong disease’ dalam terma perubatan. Tiada fasa pulih atau bebas untuk penyakit tersebut namun saya bebas dari simptom. Oleh itu saya layak mendapat kad OKU. Walaupun begitu saya bukan sengaja meminta kad tersebut untuk mendapatkan apa-apa keistimewaan.

Bagaimana kehidupan Tuan sekarang?

farhan 3

Kehidupan saya kini Alhamdulillah lebih tenang, lebih senang, lebih riang dan gembira serta saya punyai banyak masa dari sebelum ni. Kadangkala keluarga datang ke kediaman saya di Temerloh. Perubahan hidup saya tidak begitu bermasalah kerana ketika dibuang kerja saya sudah mempunyai perniagaan sendiri.

Apa yang menyebabkan Tuan ingin mendedahkan tentang kisah Tuan kepada orang ramai?

Dulu saya pernah ditinggalkan kekasih kerana memberitahu hal sebenar tentang keadaan saya. Saya tidak tahan dengan stigma manusia terhadap saya dan ini membuatkan saya tertekan oleh itu saya tekad untuk beritahu agar orang boleh menerima saya seadanya.

Saya tidak kisah jika orang tahu tentang keadaan dan sejarah hidup saya kerana saya sudah boleh berdiri di atas kaki sendiri dengan usaha saya sendiri. Saya harap orang membuang stigma yang ada terhadap orang yang mempunyai penyakit seperti ini.

Saya juga merasakan jika kita merahsiakan penyakit ini, ia akan memakan diri kita sendiri. Berdasarkan statistik, majoriti kes bunuh diri adalah disebabkan oleh ‘Bipolar Type 2’ yang tidak mendapatkan rawatan sepatutnya.

Saya berusaha membebaskan diri dari penyakit melalui amalan agama seperti tidak meninggalkan solat dan memperbanyakkan doa seperti yang pernah saya nyatakan di dalam penulisan saya sebelum ini (di Facebook).

‘Mental disorder’ adalah taboo di Malaysia. Kita akan dilabel sebagai gila jika masyarakat mendapat tahu tentang keadaan kita maka ramai yang selalunya yang berdiam diri. Sebenarnya, orang yang mempunyai penyakit ini boleh hidup macam biasa.

Adakah bipolar disorder mempunyai komunitinya yang sendiri?

Ada. Tetapi saya tidak menjumpainya. Alhamdulillah walaupun keseorangan tetapi saya berjaya menghadapinya walaupun seorang diri.

Bolehkah ceritakan tentang relationship Tuan?

Pada mulanya dia tidak mengetahui tentang penyakit saya. Sewaktu ingin masuk meminang, saya menceritakan kepadanya hal sebenar agar dia mengetahuinya sebelum mendirikan rumah tangga. Tetapi dia terus senyap tanpa khabar berita.

Adakah Tuan pernah cuba membahayakan orang lain atau diri sendiri?

TIdak pernah mencederakan orang lain tetapi pernah mencuba membunuh diri semasa perkhidmatan 4 bulan yang pertama (sebagai HO).

Adakah Tuan mengenali mereka yang memberikan sokongan kepada Tuan di Facebook?

farhan fb

Tidak. Saya juga tidak menyangka akan mendapat sokongan yang sebegitu. Saya bersyukur jika boleh mengubah perspektif org terhadap pesakit mental.

Sebenarnya pesakit mental menjadi semakin lemah disebabkan oleh pendangan dan stigma masyarakat sekeliling terhadap mereka, bukan disebabkan mereka memanjakan diri sendiri dan tidak kuat semangat.

Alhamdulillah Allah beri kekuatan untuk saya meneruskan hidup.

Adakah masyarakat setempat tahu tentang penyakit Tuan?

Majoriti tidak tahu. Hanya kawan-kawan yang rapat dan staf-staf hospital. Saya terbuka terhadap reaksi masyarakat.

Bolehkah Tuan beri kata-kata untuk mereka yang mempunyai masalah yang sama?

Kalau kita rasa kita sakit, kita haruslah berjumpa dengan doktor. Jangan malu. Stigma orang luar sememangnya terpaksa terima. Carilah ubat. OKU kesian juga tapi sakit mental lagi kesian. Majoriti sakit mental kehidupan jadi kucar-kacir sebab dibuang kerja. Orang sakit mental juga boleh berjaya dalam hidup.

Biodata Ringkas

Muhammad Farhan Mohd Nor lahir di Kajang, Selangor dan membesar di Taman Kantan Permai, Kajang. Pemuda berusia 28 tahun ini pernah bersekolah di Sekolah Rendah Sungai Kantan. SMK Saujana Impian, Sekolah Menengah Sains Alam Shah (selepas dapat PMR 8A) dan kemudian melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Pahang sebelum belajar bidang perubatan di Universiti Putra Malaysia.

Menurutnya, perniagaan di Termerloh, Pahang merupakan satu pencapaian yang membanggakan buat dirinya kerana walaupun dia didiagnos bipolar disorder, pendapatan dari perniagaan tersebut dapat menampung kehidupannya termasuk membayar ansuran rumah yang dibelinya ketika bekerja sebagai HO dulu.

This blog is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info Interest and Other Entertainment.