J&J Kalah Lagi Satu Kes Mahkamah, Talkum Didakwa Sebabkan Kanser Ovari

Johnson & Johnson (J&J) diarahkan oleh juri Amerika Syarikat, Isnin lepas, untuk membayar pampasan sebanyak USD$55 juta (RM215.5 juta) kepada seorang wanita yang mendakwa penggunaan produk talkum untuk kebersihan feminin keluaran syarikat itu menyebabkan beliau menghidap kanser ovari.

Keputusan itu, yang akan dirayu oleh J&J, merupakan kekalahan kedua berturut-turut selepas kes mereka yang pertama sebelum ini. J&J sedang menghadapi 1,200 tindakan saman kerana tidak memberi peringatan secukupnya kepada pengguna mengenai risiko kanser kesan daripada penggunaan produk serbuk berasaskan talkum yang dihasilkannya.

Perbicaraan berlangsung selama tiga minggu di Mahkamah Negeri Missouri. Juri mengambil masa sehari untuk membuat keputusan yang berpihak kepada plaintif, Gloria Ristesund. Gloria dianugerahkan USD$5 juta sebagai gantirugi pampasan dan USD$50 juta sebagai gantirugi punitif.

Jurucakap J&J Carol Goodrich berkata keputusan itu bercanggah dengan kajian selama 30 tahun yang menyokong keselamatan produk talkum kosmetik syarikat itu. Syarikat itu bercadang untuk membuat rayuan dan akan terus mempertahankan keselamatan produk mereka, katanya.

Ristesund berkata beliau menggunakan produk J&J berasaskan serbuk talkum – termasuk Baby Powder yang terkenal dan Shower to Shower Powder – pada kemaluan beliau untuk beberapa dekad.

Menurut peguam beliau, beliau telah disahkan menghidap kanser ovari dan terpaksa menjalani histerektomi dan pembedahan yang berkaitan. Kanser beliau kini sedang pulih buat sementara waktu (remission).

Jere Beasley, firma yang mewakili Ristesund berkata anak guamnya berpuas hati dengan keputusan tersebut. Keputusan juri tersebut sepatutnya ‘menamatkan litigasi’ dan memaksa J&J untuk menyelesaikan kes-kes sebelum ini, katanya.

Keputusan ini dicapai selepas kes sebelum ini, di mana, mahkamah yang sama menganugerahkan pampasan sebanyak US$72 juta kepada keluarga seorang wanita yang meninggal dunia akibat kanser ovari selepas beliau menggunakan bedak talkum untuk kebersihan feminin selama bertahun-tahun lamanya.

Keputusan itu, yang akan dirayu oleh J&J, menarik semula minat peguambela dan pengguna-pengguna yang mengenali produk J&J. Akan tetapi, menurut apa yang diberitahu oleh para saintis kepada Reuters, bukti bahaya sebenar bedak talkum masih belum konklusif.

Plaintif-plaintif dalam kes saman bedak talkum, yang banyak tertumpu di Mahkamah Negeri Missouri dan New Jersey, menuduh J&J gagal memberi amaran tentang kaitan talkum dan peningkatan risiko kanser ovari buat bertahun-tahun lamanya. J&J berkata mereka telah bertindak dengan baik dalam membangunkan dan memasarkan produk-produk mereka.

This blog is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info Interest and Other Entertainment.