4 Faktor Yang Perlu Dipertimbangkan Sebelum Pilih Travel Sendiri Atau Ikut Agensi Pelancongan

Panas betul malam ni dengan isu review tak puas hati terhadap sebuah company yang selalu bawa orang jalan-jalan atau melancong ke luar negara.

Nama company tu agak gah juga, dan rasanya ada la di antara kenalan aku ni yang pernah ikut trip mereka sebelum ini. Rasanya la. Aku pun dah lupa.

Sebagai seorang yang rasional, aku tak mahu mendengar dari sebelah pihak sahaja. Kena juga tunggu apa pula kata sebelah pihak lagi baru la relevan aku nak komen ke, kondem ke, atau apa-apa sahaja la.

Ala, macam la korang tak biasa tengok rancangan Melodi kat TV tu kan? Sebelah pihak kata macam ni, sebelah pihak lagi kata mcam tu pula, tak tahu siapa la yang berkata betul. Alih-alih aku tukar channel je senang.

Ok. Alang-alang tengah hangat isu ni kan, jadi aku nak tulis atau bincangkan tajuk ‘lebih baik travel ikut pakej atau travel sendiri?’ Dengan harapan sedikit sebanyak dapat la membantu anda semua yang bakal, sedang atau telah pun memulakan pengembaraan masing-masing.

1. Masa untuk buat research

Pakej:
Masa itu kan emas. Jika anda seorang yang sangat mementingkan masa atau seorang yang sentiasa tidak ada masa, maka ‘travel ikut pakej’ la yang paling sesuai dengan anda.

Cukup mudah, cari mana-mana travel pakej yang anda rasa berbaloi, bayar deposit atau apa-apa yang di minta kemudian anda dah boleh rileks atau sambung balik kerja-kerja anda yang tertangguh sementara nak tunggu hari kejadian.

Anda boleh cari pakej travel di Matta Fair, google atau bertanya terus pada kawan-kawan. Ingat, jangan selalu sangat cari info kat internet tu. Ye la, kalau kerja asyik tertangguh bos pun asyik marah je nanti. Silap-silap kena buang kerja. Kalau tak kerja nanti mana ada duit nak bayar pakej pergi travel.

Sendiri:
Walaupun masa yang diperuntukkan untuk setiap umat manusia ni sama, iaitu 24 jam. Jangan pula tak tahu, ramai juga yang masih punya banyak masa yang terluang. Anda yang jenis ni saya rekomen pergi travel sendiri.

Anda ada banyak masa untuk membaca dan mencari info-info yang berkaitan dengan tempat yang bakal anda pergi tu.

Aku cadangkan korang baca buku lonely planet (agak mahal tapi berbaloi untuk buat koleksi), Berlitz handbook (ni aku beli murah-murah je dekat KL sentral tu), baca pengalaman kawan-kawan dalam Facebook, blog atau buku travelog.

Baca: 19 Tips Elak Kecurian Dan Kehilangan Duit Serta Barang Penting Semasa Travel

travel-sendiri-1

Ini contoh travel separa pakej, aku pergi Jogjakarta dengan kawan-kawan, tapi kami ambil pakej ground dengan company Indonesia. Itinerari dicadangkan oleh pihak company, tapi kami masih boleh ubah plan ikut kesesuaian kami.

2. Fleksibel (lokasi/masa)

Pakej:
Kalau anda ikut pakej, biasanya anda akan tertakluk dengan itinerari yang telah di buat oleh pihak penganjur. Anda tidak boleh suka-suka nak tukar plan, sekejap nak pergi situ la, sekejap sini.

Lepas tu orang dah kata pagi bertolak pukul 8, ada juga yang lajak bangun pukul 10. Payah la macam ni, sebab kadang-kadang orang lain pun ada sekali dalam pakej ni.

Kelebihan travel ikut pakej, lokasi-lokasi dalam itinerari yang diberi biasanya best-best belaka dan memang lokasi tumpuan pelancong. So boleh la anda berselfie wefie bagai dan eksen dengan kawan-kawan yang anda dah pernah pergi tempat popular tu.

Sendiri:
Kalau pergi sendiri ni memang fleksibel la. Kadang tu terlalu fleksibel. Contohnya kalau dalam trip tu ada 5 orang, boleh jadi akan ada 5 cadangan nak ke mana hari tu. Haa…kan dah payah.

Seeloknya dalam setiap kumpulan travel tu kena la lantik seorang amir atau ketua. Lepas dah dengar semua cadangan setiap ahli, dia berkuasa untuk tentukan nak pergi mana dan setiap ahli diharapkan boleh terima keputusan ketua dengan redha.

Lagi satu, kalau dalam kalangan ahli trip anda tu ada yang jenis liat nak bangun, tinggalkan je.

Kelebihan pergi sendiri, kadang-kadang anda akan secara tak sengaja tersampai ke suatu tempat yang sangat indah. Yang tak ada dalam mana-mana buku panduan melancong. Yang tak ada dalam mana-mana blog lagi. Mungkin ada, cuma tak popular.

Sama juga, anda boleh selfie dan wefie lepas tu eksen dengan kawan-kawan dengan caption, “Teka, aku kat mana?” atau “Cantikkan? Kalau nak tau I kat mana sila PM”.

Baca: Pengalaman Cemas Lelaki Ini Dan Rakannya Diculik Dan Dirompak Sehari Lepas Tiba Di Vietnam

travel-sendiri-2

Ini masa aku travel berdua dengan kawan aku secara sendiri tanpa pakej. Bebas nak tidur, makan, berjalan di mana-mana sahaja. Cuma penat sikit nak menapak selalu.

3. Bajet

Pakej:
Simple. Mahal. Siapa la yang berniaga tak nak untung. Kan? So, company yang buat pakej tu dah mark up cost travel anda siap-siap. Cuma bezanya setiap company ni mark up banyak atau sedikit sahaja.

Tapi ok la kan, mereka yang buat kerja, mula dari buat itinerari, booking hotel, sewa kenderaan sampai la hantar anda pulang semula ke airport. Anda cuma perlu goyang kaki sahaja. Tak nak goyang kaki pun tak apa.

Sendiri:
Simple jugak. Tidur hotel mahal ke dormitory murah. Makan di restoran mahal ke di kaki lima murah. Naik keretapi kabin kelas pertama sejuk beraircond atau gerabak kerusi kayu sejuk jugak dengan tingkap terbuka.

Anda yang tentukan bajet anda sendiri.

4. Peluang untuk di tipu

Pakej:
Anda berpeluang untuk ditipu dengan company yang cakap tak serupa bikin. Dalam pakej kata ada itu, ada ini, tapi bila pergi apa pun tak ada. Contohnya dari segi hotel, kata hotel ada free wifi tapi liputan wifi cuma setakat kaunter pendaftaran sahaja. Dalam bilik tak dapat coverage wifi langsung.

So buat research betul-betul. Cuba dapatkan review dari orang yang pernah gunakan pakej dari company tersebut. Cuba PM seorang demi seorang, sebab kadang-kadang orang yang pernah ditipu ni malu nak mengaku secara terbuka.

Kalau company yang tawarkan pakej tu memang terbukti bagus dan menepati janji. Ini suatu kelebihan buat anda sebab pihak penganjur biasanya dah tahu dengan segala jenis scam di dalam negara tersebut. So anda akan selamat dari di tipu di kemudian hari.

Sendiri:
Apa ingat pergi sendiri ni anda tak kena tipu ke? Anda silap. Anda bakal ditipu juga tapi mungkin dengan cara yang berbeza. Contoh, masa anda tahan dan naik teksi pergi ke suatu tempat, tadi masa mula-mula naik pemandu kata harganya RM 10 je, ini bila dah sampai dia caj sampai RM 100.

Kalau tak bayar, dia ugut panggil kawan-kawan dia pukul anda. Nak tak nak kena la anda bayar juga kan.

Eh, kalau dah memang rezeki anda nak kena scam memang tak boleh buat apa. Bab scam ni memang ada 1001 jenis caranya. Bila pergi sendiri ni, kena lebih berhati-hati. Banyakkan berdoa minta perlindungan dari Tuhan.

travel-sendiri-3

Ini contoh aku pergi trip ke Langkawi ikut pakej. Ikut je dari A sampai Z. Ada cerita sadis pasal trip ni.

Ok. Aku ni jenis yang mempunyai banyak masa kat ofis (dulu la), rajin membaca untuk buat research itinerari (biasanya kurang dari 50% je plan yang aku ikut), tak berapa nak ada bajet (selalunya) dan dah biasa kena tipu. So aku prefer pergi sendiri.

Anda pulak macam mana?

Baca lagi: Kronologi 3 Backpacker Malaysia Ditipu Di Lombok

This blog is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info Interest and Other Entertainment.