Kecoh!! Keledek Vietnam Jadi Hijau Di Singapura


SINGAPURA – Bahan kimia dikenali ‘Agent Orange’ tidak menyebabkan keledek bertukar menjadi hijau, demikian ditegaskan pihak Penguasa Makanan Pertanian dan Ternakan Singapura (AVA) menerusi laman Facebooknya.

Is susulan gambar dimuat naik ke laman media sosial republik itu mendakwa ubi keledek Jepun yang ditanam di Vietnam mungkin bertukar warna disebabkan oleh bahan kimia berbahaya ‘Agent Orange‘ di dalam tanah.

‘Agent Orange’ adalah racun herba yang banyak disemburkan ke kawasan darat oleh pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) semasa zaman Perang Vietnam awal 1960-an lalu bagi membunuh askar komunis rejim Vietkong.
Sejumlah 75.7 juta liter bahan toksik itu dicurahkan ribuan pesawat tentera AS meliputi kawasan seluas 3.1 juta hektar dan ia berjaya memberi kesan kepada lebih empat juta penduduk awam Vietnam ketika perang tersebut.

Berdasarkan gambar yang dimuat naik pada 4 Januari itu, netizen Singapura mendakwa keledek Jepun apabila sudah dikukus dan disimpan di dalam peti sejuk semalaman, tiba-tiba boleh bertukar warna menjadi hijau.
Ia menjadi viral apabila disertakan catatan pengalaman seseorang yang tidak dapat dikenal pasti dan dikongsi lebih 6,000 kali yang merujuk kepada ‘doktor’ memberitahu ia berkemungkinan disebabkan ‘Agent Orange‘.
Menurut AVA, ubi keledek secara alami mengandungi flavonoid asli dan pigmen-pigmen larut air, sekali gus boleh menyebabkan perubahan warna melalui pH yang pelbagai atau apabila ia terdedah kepada suhu udara berbeza.
Pihak AVA dalam kenyataan menerusi Facebook pada Isnin menyatakan, warna hijau kehijauan itu mungkin berlaku secara ‘semula jadi apabila pigmen larut air yang terkandung dalam ubi keledek terdedah kepada udara’.

“Jika keledek dijaga dan disimpan dengan betul, ia tidak sepatutnya menimbulkan kebimbangan keselamatan pengguna,” tambahnya yang menyatakan bahawa makanan import termasuk keledek sering menjalani ujian kimia.
Ini termasuk bagi mengesan sebarang kewujudan tahap pencemaran serius dalam pelbagai bentuk lain, seperti besi berat, racun serangga atau sisa dadah yang mungkin terkandung pada bahan produk pertanian tersebut.

Stesen penyiaran tempatan Channel NewsAsia melaporkan, sebarang produk makanan import yang gagal mematuhi syarat ketat ditetapkan AVA, tidak dibenarkan dijual di Singapura.


This blog is created for your interest and in our interest as well as a website and social media sharing info Interest and Other Entertainment.