
Keberanian Zhademov menyamar sebagai teman wanitanya untuk menduduki peperiksaan memasuki universiti, berakhir dengan denda £1,400 atau RM8,066. – Foto dailymail.co.uk
ZHETISAI, 10 Jun: Cinta kadang-kala boleh
menyebabkan seseorang itu bertindak di luar jangkaan dan ia berlaku ke atas
seorang pemuda berusia 20 tahun di Kazakhstan.
Ayan Zhademov didenda £1,400 atau RM8,066
gara-gara berpakaian wanita untuk menduduki peperiksaan akhir bagi pihak teman
wanitanya.
Idea itu timbul, susulan teman wanitanya yang
berusia 17 tahun terlalu gelisah dan gemuruh untuk menduduki Peperiksaan
Gabungan Kebangsaan bagi memasuki universiti.
Menurut laporan The Daily Mail, Zhademov
menyelinap ke dalam dewan peperiksaan di Bandar Zhetisai, selatan Kazakhstan,
dengan berpakaian blaus putih, skirt kelabu, berambut palsu dan sedikit
solekan.
Perbuatannya bagaimanapun terbongkar, apabila
pegawai peperiksaan mendapati gambar dalam kad pengenalan calon tidak sama
dengan orangnya.
“Kami mengesyaki dia mungkin wanita lain yang
cuba mengambil tempat calon itu, tetapi kami tidak sangka dia adalah seorang
lelaki sehingga dia membuka mulutnya.
“Dia cuba bercakap dalam nada tinggi, namun
jelas dia seorang lelaki,” kata seorang jurucakap lembaga peperiksaan.
Pelajar, Dariga Nesterova menyifatkan tindakan
itu bo.doh tetapi sangat romantik.
“Kadang-kala cinta akan menyebabkan kita
bertindak bo.doh dan saya harap teman lelaki saya romantik sepertinya.”
Seorang peniaga, Olzhas Hudaibergenov yang
tertarik dengan keberanian Zhademov, bertindak membayar separuh daripada denda
itu untuknya, selepas berita mengenai perbuatannya itu tersebar.
Akibatnya, gadis berkenaan terpaksa menunggu
sehingga tahun depan untuk mengambil peperiksaan itu.
Sumber:
TheRakyatPost