Ads Top

''Kalau Cikgu Ajar Empat Saja Pun Haikal Rasa Suka Sangat'', Tunggu 'Cikgu' Bawah Pokok Setiap Hari Hanya Kerana Ingin Belajar Mengira


Setiap jalan yang perlu ditempuhi itu berbeza-beza antara satu sama lain. Ada yang merasa tidak gembira walaupun punya wang yang banyak, ada yang pantas bersyukur walaupun cuma ada sekupang dua dalam poket. Ada yang merasa bosan hari-hari mengadap lauk ayam di atas meja, ada yang menitis air mata kegembiraan kerana ada sebuku roti di tangan. Ada yang mengeluh perlu ke sekolah hari-hari, sedangkan ada kanak-kanak tidak tahu membaca, menulis dan mengira kerana tidak berpeluang ke sekolah.

Begitulah naratif hidup manusia, tidak sama. Seperti kisah yang dikongsikan oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Al-Irfan Jani ini. Beliau berkongsi mengenai seorang kanak-kanak yang dikenali sebagai Haikal yang tidak bersekolah walaupun sudah berumur 9 tahun.

Namun hajatnya untuk menuntut ilmu tidak pernah terkubur. Setiap hari dia menanti kehadiran Al-Irfan Jani di bawah sebatang pokok, hanya kerana mahu belajar mengenal nombor.

Jom kita baca perkongsiannya di bawah. Semoga ia memberi pengajaran kepada kita semua dan peka dengan insan-insan lain disekeliling.

Dari luar daun pintu kaca, seorang budak lekapkan muka dan pipinya. Dengan tidak berbaju, berseluar sekolah, dia tersenyum suram.

Matanya sayup tercari-cari kelibat aku di dalam klinik.

Dari dalam, aku membuka pintu.

"Haikal dah makan?"

Dalam menggeleng, dia senyum.

Aduhai kenapalah kau senyum, nak. Muka kau pun dah macam budak yang kawan Sudirman dalam filem KAMI tu.

Cepat-cepat kupimpin dia keluar. Takut-takut hamis badannya yang tak bermandi berhari itu akan sesakkan penghuni di klinik ini.

Kami duduk sebelah-menyebelah di gigi longkang.

Aku buka zip beg Beruang anakku. Aku keluarkan bekal makan nasi goreng pagi tadi.

Haikal kejap terngaga,

kejap tertelan air liur.

"Nah... Bismillah..."

Dengan rakusnya Haikal menyeluk nasi dengan jemarinya. Kulihat dari tepi, kuku di jarinya hitam berdaki, tidak berketip.

Baru teringat aku ada bawa sudu sekali, "Jap. Nah! Guna ni."

Haikal ambil sudu dari tanganku penuh sopan. Dan dia menyambung gelojohnya.

Dalam diam, aku menahan mata ini tumpah buat sekian kalinya.

Sesekali Haikal tercekik. Aku sua padanya bekal air minum yang dibawa sekali.

"Sedap, Kal?"

"Sedap... isteri cikgu yang masak eh?"

Dia panggil aku cikgu, kerana aku yang menipu dia. Aku mengaku cikgu, baru dia nak berkawan denganku.

"Kenapa tinggalkan sayur, Kal?"

"Hehe... Tak sedap." Dia tersengih-bersalah.

Aku keluarkan dua keping not dari dompet di poket punggung.

"Kal, duit merah dan oren ni, mana lagi banyak?"

"Yang oren lah banyak. Dua puluh."

"Good. Kalau habiskan sayur tu, Cikgu bagi Haikal duit oren ni, nak?"

"Ok, janji tau."

Aku terus seluk duit oren ke kocek seluarnya. Dengan pantas, Haikal licinkan bekas nasi tadi, dengan sayur-sayurnya sekali.

"Ooo... sedap rupanya sayur ni. Baru hari ni Haikal makan sayur."

Adakala, aku terfikir. Seorang budak, mungkin perlukan libas dan rotan untuk menyukai sayur dalam hidupnya, seperti aku dulunya di waktu kecil.

Namun, kali ini, tak pernah aku terbayang betapa mahalnya nilai RM20, jika berjaya buatkan seorang anak sukai sayur di seluruh hidupnya.

Tiba-tiba, anakku, Al-Amin, keluar dari pintu klinik, meraung sekuat-kuatnya,

"AYAH!!!! TOYSS!!!! TOYSS!!!"

Kemudian, isteriku segera menahan anakku keluar, dan bawanya masuk semula.

"Anak cikgu cakap apa tu?"

"Oh, dia nak Toys."

"Toys tu apa, cikgu?"

"Toys? Mainan. Haikal tak tahu 'toys'?"

"Oh, Menan (mainan). 'Menan' Haikal tau lah."

Dari sinilah aku tersedar sesuatu yang lebih besar.

"Haikal pandai mengeja?"

"Pandai."

"S.A, Sa. T.U, Tu. Satu."

"D.U, Du. A, A. Dua."

"T.I. Ti. G.A, Ga. Tiga."

Aku ternanti-nanti Haikal menyambung lagunya.

"Err.. yang 'Empat' tu Haikal belum belajar. Mak dah tak kasi Haikal pergi sekolah."

Sah, anak seusia 9 ini masih lagi belum pandai mengeja, menulis pun apatah lagi. Mengira? Entahlah.

"Cikgu ajar Haikal nak?"

"Nak!! Nak!!" Dia bingkas berdiri, matanya bersinar-sinar.

Aku cepat-cepat menyapu mataku konon kerana gatal.

Tak terbayang sudah bertahun-tahun anak ini tinggalkan buku, juga tertinggal cebis kasih dari seorang guru.

"Ok, Haikal nak belajar apa lagi, nanti cikgu ajarkan."

"Kalau Cikgu ajar eja EMPAT aje pun Haikal dah rasa suka sangat."

Tidak disedari, pipiku panas, janggut sejemput pun membasah. Ah, kali ini aku tewas.

Hari itu, dia BELAJAR mengeja EMPAT. Sebagai hadiah, dia dapat roti yang sering dia minta aku belikan.

Namun, hari itu, aku BELAJAR sesuatu yang besar tentang hidup ini.

Tidak pernah kita ketahui, dari ilmu sekecil mengeja satu perkataan sekalipun mampu bahagiakan seseorang.

Itulah ajaibnya ilmu Allah.

Seperti kata-kata pujangga,

"Jahil, hampiri kita kepada fakir. Fakir, hampiri kita kepada kufur." Nauzubillah.

Wahai Ibu Ayah,

Keluarga kita, ibarat sebuah negara. Anda, adalah Perdana dan Jemaah Menterinya. Urusi ekonomimu dengan sabar dan tekun. Hiasi rumahtangga dengan ilmu dan kasih sayang.

Kerana, kita tidak tahu bilakah 'negara muflis', dan, anak-anak hilang punca, terkapai-kapai...tercari-cari 'negara'nya.

Setiap kali aku mengedit cerita ini, di saat itu tanpa gagal airmata pasti tumpah juga. Menurut nurse di situ, anak ini tidak akan datang jika aku tidak hadir ke klinik itu.

"Macam mana Haikal tahu cikgu datang hari ni?"

"Nampak kereta cikgu lalu pagi tadi di depan."

"Haikal tunggu cikgu di mana selama ni?"

"Di bawah pokok sebelah tu."

"HARI-HARI Haikal tunggu di pokok tu?"

Dia angguk, nampak gigi taringnya dari senyumannya. Allahu, setiap kali teringat scene ini, amat menyentuh hati.

Rumahnya dari Klinik itu agak jauh. Aku tak sangka betapa sanggup dia tunggu kereta aku lalu di situ HARI-HARI. HARI-HARI. Padahal bukan HARI-HARI aku ke klinik.

"Ya Allah, janganlah kau cabut nyawa kami di saat anak-anak kami dalam keadaan begini."

Al Irfan Jani,
Mohon bantu saya panjangkan kisah benar yang tidak dihirau orang ini

Sumber : Al-Irfan Jani

No comments:

Powered by Blogger.