Ads Top

''Bila Dia Cakap Bilik Nie 'Ada', Meremang Badan Aku'', Lelaki Ini Kongsi Pengalaman Seram Jadi Penghuni 'Bilik Bunian'


Mesti ramai yang pernah mengalami pengalaman seram terutamanya bagi mereka yang pernah tinggal di asrama. Kisah yang dikongsikan oleh seorang lelaki ini yang 'diganggu' sehingga bilik asrama yang dihuni bersama rakan terpaksa ditutup membuatkan pembaca meremang.

Kisah seram itu terjadi kepada dirinya dan seorang rakan sebilik di Kolej Kenanga UiTM Shah Alam. Setiap hari mereka diganggu dengan pelbagai kejadian seram sehinggakan mereka terpaksa memanggil seorang ustaz.

Namun, usaha itu tidak berjaya kerana menurut ustaz tempat itu merupakan laluan benda-benda halus dan sukar untuk dikeluarkan. Akhirnya bilik yang dihuni oleh mereka terpaksa dikunci oleh pihak pengurusan kolej bagi mengelakkan sesuatu yang lebih buruk terjadi.

BISMILLAHIRAHMANIRAHIM. Yang kuat, boleh baca, yang tak berani, baca siang-siang je la ya. Dah lama nak bagitau, tapi baru hari ni tergerak nak tulis.

KOLEJ KENANGA, UiTM Shah Alam

Awal tahun 2016 semasa semester akhir master, seperti biasa disebabkan status kewangan keluarga melayakkan aku apply kolej. Aku apply kolej Kenanga dan seperti biasa juga aku akan dapat bilik lewat sebab pihak Uitm akan masukkan student-student baru, barulah boleh masukkan pelajar-pelajar season macam aku ni.

Aku dah tahu aku akan dapat bilik tingkat 4. Persoalannya, bilik mana? Semester 1 dapat bilik nombor 13, semester 2 dapat bilik nombor 17 yang mana kedua-duanya adalah bilik single yang sangat selesa. Pengetua kolej ketika tu, Puan X, memang dah ngam dengan aku sebab aku rajin wakil kolej dalam sukan ping pong dan pernah menang. Tapi nak dijadikan cerita, masa semester 3, bilik dah penuh dan satu-satunya yang ada adalah bilik ini. Kenanga 1, tingkat 4, bilik 9 atau singkatannya K1/409.


Untuk pengetahuan semua, bilik ini dah lama tak buka, almost tiga tahun. Memang pernah ada kes student exchange program keluar sebab tak tahan kena ganggu. Pengetua ni tanya aku awal-awal lagi sebelum aku masuk.

"Bilik ini pernah banyak gangguan, tapi kuatkan hati, insyaAllah tak ada apa apa. Sanggup tak?"

Aku telan air liur, aku ni penakut, jujur cakap. Tapi disebabkan aku dah final semester, nak tumpukan thesis, aku sedapkan hati dan terima juga bilik itu. Oh, lupa nak beritahu. Bilik ini bilik berdua, so aku akan ada roommate. Ini salah satu sebab kenapa aku terima bilik ini. Haha.

Masa aku masuk bilik itu, roommate aku ini memang dah ada, masuk awal seminggu. Pengetua kolej dah nasihat aku awal-awal, jangan cerita apa-apa dekat roommate aku tu, so memang aku tak ada buka cerita la. Dan pada awalnya,aku anggap cerita-cerita yang diberitahu oleh pengetua ni karut. NAMUN AKU SILAP.

Roommate aku ni orang Sarawak, nama dia apa entah aku tak ingat. Tapi kalau tak silap aku panggil dia 'abang' (gelaran hormat untuk orang Sarawak). First time aku tengok dia, dia tengah makan maggi sambil tengok cerita Puaka Tebing Biru. Seriau darah aku. Lepas salam dan berkenalan, aku tumpanglah sekaki tengok movie tu. Aku tak ada terfikir apa-apa pun, tapi tengah scene hantu keluar kat cerita tu, tiba-tiba dia cakap macam ni, "Bilik ni ada tau!".

Meremang badan aku! Macam mana pula dia ni tahu? Dia kata dia dah kena kacau dah. Pintu almari ditendang, bawah katil ada bunyi cakaran, rasa macam ada orang duduk kat kerusi bila kita tidur dan macam-macam. Tapi paling ngeri, bila gangguan itu berbentuk fizikal, bukan sekadar bunyi lagi dah (kejap lagi aku cerita).

Bila tanya pengetua, pengetua berdalih. Dan 'abang' ni cerita la benda-benda yang pernah jadi, dia kata, tak perlu percaya kata-kata dia, just wait and see. Benda-benda itu akan berlaku.

Bilik aku ni adalah bilik paling ceruk, penjuru, paling atas yang memang tak akan ada orang lalu malam-malam dan disebabkan kolej 1 ini adalah satu-satunya kolej yang digunapakai dalam kelompok kolej Kenanga (1,2,3), maka bilik aku ini menghadap hutan dan kolej-kolej yang kosong. Bila bukak tingkap atau langsir malam-malam, memang scary nauzubillah.


Jarang sangat aku tidur bilik ni sebab abang ni student architecture (design), selalu balik lewat dan aku takut nak tidur seorang sebabnya bila aku tidur situ macam-macam berlaku. Pernah terjadi aku dengar perempuan menjerit, 'AAAAHHH!!!' dalam bilik ni masa kitorang tidur! Mahu tak terkejut.

Bunyi budak-budak lari sebelah aku dari dalam bilik keluar terus ke depan koridor, tengah-tengah malam sedangkan bilik ni kawasan ceruk. Mana ada budak-budak kat situ! Ada juga beberapa kali perkara yang sama jadi kat kitorang, salah satunya, korang bayangkan, tengah-tengah malam macam ada orang ketuk bucu katil besi tu dengan sudu. Ting! Ting! Ting! Ting! Bunyi dia. Meremang aku sampai sekarang masih teringat.

Aku masih sedapkan hati, kata ini semua khayalan, sampailah benda yang abang pernah cerita kat aku ni betul-betul terjadi.

Ingat tak aku kata gangguan bentuk fizikal pun ada? Bilik aku ni, ada lima tingkap besar. Anggap kedudukan tingkap ni macam ni, (1,2,3,4,5). Waktu malam, abang ni akan tutup tingkap, tapi akan buka langsir (kiri dan kanan) ni luas-luas. Aku tak ada cakap apa-apa,sebab benda tu biasa je orang buat.


Tapi bila bangun tidur, aku mengucap. Seram. TINGKAP NOMBOR 3 TERBUKA, langsir kiri tutup, tingkap 1 dan 2, langsir kanan tutup tingkap 4 dan 5. KESELURUHAN LANGSIR MENUTUP TINGKAP KECUALI NOMBOR 3.

Benda ni berlanjutan, berlaku beberapa kali, sampailah ustaz terpaksa dipanggil. Tak silap, tiga kali juga ustaz datang tolong bacakan ayat-ayat Al-Quran, tapi tak jalan. Gangguan tetap ada sampailah satu hari, pejabat kolej panggil kitorang, tampal notis kuning tu, beritahu bilik ni terpaksa ditutup (rujuk gambar). Jarang berlaku kau tengok orang tampal notis nak tutup bilik letak tulisan bismillah macam tu.


Aku pernah beritahu family, kawan-kawan dan ex-girlfriend (my wife sekarang ni) pasal benda ni, tapi diorang tak percaya sebab aku ni memang penakut orangnya sampailah aku tunjukkan bukti-bukti tu, barulah masing-masing nasihatkan aku cepat-cepat keluar dan yes, 30 April 2016, pengetua panggil, berbincang nak keluarkan kitorang dari bilik tu, bagi bilik lain dan kebetulan ada kosong. Aku on the spot cakap nak tukar.

TAPI! Si abang ni tak nak tukar, dia kata seronok, bila lagi nak dapat pengalaman macam ni. Kau memang gila abang! Haha.

Ustaz ada beritahu, bilik tu memang laluan dia, kebetulan pula kita duduk situ dan sebab tu baca ayat-ayat Al-quran pun liat benda-benda tu nak menyerah kalah. Abang ni lagi la macam-macam pernah jadi kat dia.

Sampailah akhirnya, kitorang berpendapat yang sebenarnya bilik tu adalah kawasan kampung bunian. Ada beberapa bukti, bunyi suara perempuan, budak-budak berlari dekat koridor dan bila kitorang solat, habis baca Al-Fatihah, akan dengar suara 'aminn' dekat belakang. Yes, it really happened. At last, disebabkan aku tak nak stress/gagal final semester, aku pindah bilik lain dan abang stay bilik tu seorang-seorang. Cuma kadang-kadang aku datang la kat bilik tu untuk pastikan abang okay.

Aku tak tahu apa khabar abang sekarang. Dan sama ada bilik tu masih digunapakai atau tak. Sekiranya sesiapa yang terbaca cerita aku ni dan kebetulan duduk pula bilik tu, nasihat aku, banyakkan selawat dan ayat kursi, insyaAllah tak ada apa-apa.

Oh, sebelum aku tamatkan cerita ni, nak beritahu Kolej Kenanga ni dulu kolej perempuan. Masih ada pad-pad wanita yang tertinggal kat bilik air. Kalau dekat sini ada penghuni kenanga 1 yang terbaca benda ni, yang kebetulan pernah terpegang atau belek-belek ada satu benda ni macam aku, nak tanya, pernah nampak tak ada dua bungkusan macam sup bunjut berbalut kain kuning dekat tandas tingkat 4 tu? Masih ada lagi ke??

UPDATE: AKU DAH JUMPA 'ABANG'. Kuasa viral social media. Perkenalkan, Mohammad Sharkeizy Aqashah.

No comments:

Powered by Blogger.