Ads Top

''Bahaya Beli Rumah Bersama Pasangan Tapi Ramai Yang Buat'' Penasihat Kewangan Ini Kongsi Kesan Yang Berlaku Apabila Salah Seorang Meninggal Dunia


Memiliki kediaman sendiri menjadi impian semua orang. Tetapi, dengan harga rumah yang melambung tinggi dan keadaan kewangan yang tidak kukuh ramai pasangan yang berkahwin terutamanya mengambil keputusan membeli rumah bersama. Tindakan ini dilakukan supaya peluang kelulusan rumah menjadi lebih tinggi.

Namun ramai yang tidak mengetahui risiko yang akan berlaku jika membeli rumah mengikut kaedah ini atau digelar sebagai 'joint loan'. Penasihat Kewangan Islam, Tuan Fatihin Abshar melalui laman web beliau fatihinabshar.com tampil berkongsi risiko membeli rumah bersama pasangan dan apa yang akan berlaku apabila salah seorang meninggal dunia.

Jika suami yang pergi dahulu dan langkah persediaan tidak dilakukan, kesannya adalah kepada isteri dan anak-anak. Bukan untuk menakutkan, tetapi inilah realiti sebenar yang dikutip berdasarkan pengalaman beliau. Harta menyebabkan ramai dalam kalangan manusia lupa diri.

Ikuti saranan beliau tentang tindakan yang boleh dilakukan untuk menjaga kebajikan pasangan dan anak-anak sekiranya sesuatu berlaku ke atas anda. Jadikan ini sebagai peringatan kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku di kemudian hari. Semoga bermanfaat buat semua.

Bahaya Beli Rumah Bersama Pasangan, Ini Yang Berlaku Apabila Salah Seorang Meninggal Dunia.


Kebiasaanya, suami isteri akan membeli rumah bersama untuk kuatkan dokumen. Di SPA/SNP pula akan ada dua nama. Nama si suami dan nama si isteri. Dua-duanya mengambil MRTA/MRTT (takaful).

Sekarang apa akan berlaku jika salah seorang meninggal dunia?

Jika harga rumah RM600,000. Rumah itu terbahagi 2 (sebab 2 penama):

50% Si Suami (RM300,000)
50% Si Isteri (RM300,000)

Jika suami meninggal dunia, 50% bahagian suami sudah tidak perlu dibiayai, kerana takaful sudah bayarkan. Betul kan? Manakala bahagian isteri, 50% selebihnya perlu terus dibayar oleh pihak si isteri.

Isu Yang Timbul Selepas Kematian Salah Seorang Penama

Bahagian si suami(50%) sudah pun menjadi HARTA PUSAKA. Jika suami masih ada mak ayah, mereka boleh tuntut hak mereka daripada 50% tersebut.

Saya baru dapat mesej, seorang balu yang baru kehilangan suaminya, anak ada dua. Mak dan ayah mertua tidak mahu lepaskan hak. Mereka tetap mahukan bahagian mereka dalam rumah. Si isteri tidak mampu bayar, kerana jumlah bahagian mereka hampir RM140,000!

Ya, RM140,000. Sudahlah harta ini saja tinggal kepada balu dan anak-anaknya. Tetapi tetap mak ayah mertua tidak lepaskan. Bila ditanya kenapa?

“Ayah mahu sedekah duit kepada anak yatim dan bagi anak-anak ayah.”

Gamaknya, mertua beliau dan cucu beliau bukan anak yatim rasanya. Allah. Ini kes biasa yang ada di Malaysia. Penunggang agama tahap tertinggi. Ini baru mak ayah mertua, bagaimana pula kalau dengan adik-beradik mertua?

Ayah Mertua Mahu Rumah Anak Yang Bakal Mati


Kes lain saya jumpa, ayah mertua kata buatlah rumah di atas tanah dia. Nanti dah siap, ayah mertua tukar nama. Tetapi sampai sekarang tak tertukar. Sudahlah si isteri guna tunai buat rumah dengan orang kampung. Tiada hitam putih.

Sekarang suaminya sudah lumpuh (anaknya si ayah ini) dan sudah nyanyuk kerana kemalangan. Tiap-tiap hari ayah mertua remind menantunya, jangan tukar bil elektrik. Sebab dia ingin rumah itu jatuh kepada dia jika anaknya sudah tiada nanti.

Saya rasa kasihan dengan si isteri itu. Anak sudah 4 orang. Sekarang isteri tengah memikirkan bagaimana nak dapatkan rumah yang telah dibina dengan duitnya. Moga Allah swt lindungi mereka dan mencukupkan rezeki mereka.

Kes ini paling banyak saya jumpa, dari Kedah, dari Kelantan, semua kes mirip sebegini. Si suami lumpuh, si isteri jenuh memikirkan rezeki anak anak. Si isteri sudahlah tidak bekerja. Allah. Besar ujian keluarga ini. 

Panggilan si Balu

Saya mendapat panggilan dari Pulau Pinang, seorang balu yang baru kehilangan suaminya. Rumah beli bulan 5, bulan 8 Allah swt memanggil si suami-Nya ( Al Fatihah). Hanya 3 bulan saja sempat duduk bersama.

Luahan si balu. Sebelum ini dengan mak dengan ayah mertua sangat baik, tak sangka begini ayah mertua boleh berubah selepas si suami tiada.

Saya langsung tiada masalah dengan mertua begitu, very polite, very islamic. Setiap hari pergi ke masjid. Saya sangat rapat dengan mak ayah mertua. Kawan arwah pun terkejut, Adik beradik semua terkejut. Macam tak kenal mak ayah mertua ini

Saya merayu kepada ayah dan mak mertua untuk mudahkanlah urusan ini, Minta tolong sangat sangat jasa baik mak ayah. Tolong mak ayah. Saya merayu. saya hanya minta rumah sahaja.


Si balu tanya kepada saya''Encik, faraid ini kena ikut ke, boleh ke mereka lepaskan hak?''

Saya jawap ''Boleh, tetapi jika mereka ingin melepaskan hak mereka, jika tidak Puan perlu bayar hak mereka ( anggaran ratusan ribu juga''

Balu ini menyambung luahannya ''Mak ayah mertua, adik beradik mertua semua lepas tangan waktu suami sudah tiada, saya urus seorang seorang perkara, saya urus seorang diri. Mana adik beradik lain, mana mak ayah mertua lain?

Saya turun naik Kl semata mata nak dapatkan balik kerja saya yang dulu. Saya kehulur ke hilir seluruh Penang untuk uruskan harta si arwah. Saya minta tolong adik beradik arwah, tetapi seorang tak respon. Mereka sibuk nak faraid, nak faraid, tetapi mana mereka waktu waktu saya susah?

Saya sekarang buntu, saya taknak jual rumah ini tuan, saya sayang rumah ini, anak anak saya suka rumah ini. Saya sanggup bagi duit Tuan kepada mak ayah.

Saya merayu kepada ayah mertua saya, ''Ayah tiada timbang rasa ke? Ayah tak tengok ke anak anak saya? Cucu ayah nak duduk mana? Bawah jambatan ke ayah?''

Saya perlukan terus hidup saya, saya hilang tempat bergantung, saya sedih Tuan. Tuan, salah ke saya buat begini Tuan? Salah ke saya Tuan saya lindungi hak anak saya? Salah ke saya buat semua ini encik? ( sambil menangis).


Saya mampu dengar dan mengusap air mata. Moga Allah swt permudahkan urusan balu ini. Ramai orang lupa hak datang dengan tanggungjawab. Amat berat tanggungjawab. Menjaga anak yatim
Apa yang anda perlu buat?

Untuk elakkan perkara di atas berlaku dan anda ingin pasangan hidup senang, tidak mahu merempat pasangan dan anak anda hilang tempat tinggal selepas anda tiada nanti, anda perlu:

Buat hibah bersyarat.

Si suami hibahkan bahagian (50%) beliau kepada si isteri. Si isteri pun hibahkan bahagian (50%) beliau kepada si suami. Hibahkan antara satu sama lain.

Jika suami meninggal dunia, bahagian suami akan dapat sepenuhnya kepada isteri. Jadi 100%. Begitulah sebaliknya. Selamat. Tidak pergi ke sesiapa sudah. Prosesnya anda perlu berjumpa consultant untuk melakukan hibah ini.

Rumah yang belum habis bayar pun boleh dihibahkan. Ini diambil atas ijtihad Dr Wahbah Zuhaili, dengan syarat hutang (loan) itu dilangsaikan jika meninggal dunia.

Apa maksudnya?

Perlu ada MRTA/MRTT. Kos tidaklah mahal. RM1600 sahaja untuk 1-3 geran rumah. Apalah nilai RM1600 dengan nilai rumah anda RM400,000-RM500,000. Ini untuk orang tersayang anda juga, bukan untuk orang lain.

Soalan :

1. Jika saya mengambil hibah takaful, adakah sudah selesai masalah saya?
Tidak, kerana polisi takaful tidak akan naik pampasan meninggalnya. Sedangkan harga rumah semakin naik. Contoh rumah RM300,000

Si Ali mengambil plan takaful ( MLTT) untuk perlindungan yang bernilai RM300,000 pampasan meninggal. Ali dikurniakan umur yang panjang. 25 tahun kemudian baru meninggal.

Rumah pada waktu itu sudah mencecah RM900,000, sedangkan polisi hanya lindungi RM300,000. Jadi ia penyelesaian terbaik.

Jika anda tanya perunding takaful, semestinya mereka mencadangkan mengambil MLTT untuk menyelesaikan masalah ini. Jadi sila berjumpa dengan perunding kewangan bertauliah atau perunding harta pusaka.

2. Bagaimana dengan harta sepencarian?

Untuk harta sepencarian, proses perlu di Mahkamah Syariah di mana kos amat tinggi. Biasa rate peguam buka kes sahaja RM5,000-RM10,000.

Untuk dapatkan hak penuh rumah, isteri perlu menunjukan bukti beliau ada sumbangan terhadap rumah tersebut.

Contoh:
Resit bayaran bulanan,
Resit renovation,
Resit yang berkaitan dengan rumah.

Pihak isteri perlu membawa perbuktian, barulah Hakim akan memberi pertimbangan sewajarnya. Sangat susah kes isteri dapat hak penuh terhadap rumah. Oleh itu, rancanglah sebaiknya tentang rumah ini kerana rumah paling kritikal jika berlaku perceraian atau kematian.

3. Boleh ke saya tukar terus kepada nama isteri atau anak?
Proses ini dibuat di Pejabat Tanah. Isi Borang 14A. Adakah ia jalan terbaik?

Jawapannya:

Tidak juga, kerana jika isteri mati warisnya juga boleh menuntut hak. Jika tukar kepada nama anak, anak pula mati awal daripada mak ayah.

Jika anak itu sudah berkahwin, sudah ada waris lain yang berhak. Contohnya, isteri atau suaminya.

4. Tapi pasangan saya sudah membuat wasiat dan memberikan kepada saya dan anak anak, Bukankah sudah selesai?

Belum selesai, kerana fungsi wasiat hanyalah 2 sahaja :
-Melantik Pentadbir/Wasi- untuk menguruskan harta kita
-Wasiat 1/3- Tujuan amal jariah

Biasanya orang Melayu selalu salah faham tentang wasiat. Agih harta mestilah dengan wasiat. Ini salah faham yang memudaratkan. Dengan pengaruh drama dan filem. Oleh itu, sila fahami fungsi wasiat sebetulnya. Boleh baca artikel saya tentang ” Apa itu Hibah?” untuk memahami apa itu hibah dan wasiat.

Bagaimana dengan wasiat tersebut? Ianya terbatal jika tidak mendapat persetujuan waris

5. Jika letak dua nama di SNP. Sudah selesai masalah ke?
Tidak, masalah sama seperti dijelaskan di atas.

Penyelesaian Terbaik

Penyelesaian yang terbaik ialah yang pertama iaitu hibah bersyarat.

Kepada suami dan isteri, buatlah perancangan sekarang. Kebanyakan yang ramai sangat jumpa saya ialah mereka yang telah menghadapi masalah sebegini.

Merasai keperitan keluarga retak kerana harta. Beza orang merasai dan tahu. Yang merasai sudah tentu tidak mahu warisnya susah begini. Yang tahu hanya tenang sahaja. Yang nak sangat berjumpa saya ialah orang yang sudah berlaku dan kritikal. Saya hanya memberi khidmat nasihat saja. Tidak lagi boleh membantu sepenuhnya.

Si isteri pujuklah si suami mendengar penerangan harta pusaka. Kebiasannya si suami tenang tenang sahaja. Si isteri perlu main peranan untuk masa depan anak anak. Rancang harta anda.

Ramai orang buat apa ingin merancang, harta tak banyak. Tahukah anda? Harta tak banyak inilah yang selalu bergaduh. Rumah arwah yang satu satunya yang ditinggalkan yang jadi rebutan. Kereta yang tinggal satu satu inilah yang direbutnya.

Alangkah sedihnya. Kita sudah berada di taman-taman syurga. Tetapi waris kita berada di neraka dunia. Merempat kerana tiada lagi rumah untuk berehat dan bersuka ria. Kita tidak tahu kita pergi bila, rancanglah secepat dan sebaik yang mungkin.

Sila tag dan share kepada pasangan anda jika anda termasuk dalam golongan ini. Golongan di atas ini ialah golongan pertama kritikal perlu perancangan hibah. Dan ada 11 golongan lagi. Nanti saya akan share dari masa ke semasa.

Nasihat terakhir :

Hibah bukan lebih baik daripada faraid.
Hibah bukan penyelesaian segala-galanya.
Hibah bukan lebih baik daripada wasiat.

Setiapnya ada fungsi berbeza. Sila fahami terlebih dahulu sebelum membuat perancangan.

No comments:

Powered by Blogger.