Ads Top

Tunku Mahkota Johor Berjaya Menarik Minat Argentina Untuk Membantu Pasukan Harimau Malaysia.


GERGASI bola sepak Amerika Selatan, Argentina berhasrat membantu membangunkan bola sepak di Malaysia, yang kini berada di 'fasa menyedihkan', melalui kerjasama dengan kelab-kelab serta mengatur perlawanan persahabatan.

Duta Argentina ke Malaysia, Manuel Balaguer Salas berkata perancangan melatih pemain muda Malaysia di Argentina serta membawa pakar-pakar untuk mengendalikan bengkel dan klinik kejurulatihan di sini, sudah ada dalam senarai rancangan mereka.

"Kita boleh jalinkan hubungan antara kelab bola sepak di kedua-dua negara untuk menjalankan aktiviti-aktiviti tersebut. Kelab-kelab itu kemudian boleh terus berhubung untuk meningkatkan lagi kerjasama tersebut.

"Saya mengadakan pertemuan dengan Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) beberapa minggu lepas, dan baginda bercakap tentang kemungkinan untuk bekerjasama.

"Baru-baru ini, Tunku Ismail bertemu presiden Estudiantes de La Plata, Juan Sebastian Veron untuk membincangkan kerjasama antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Estudiantes FC," katanya kepada Bernama.

Salas berkata dengan 12 pemain import dari Argentina memainkan peranan penting dalam liga utama bola sepak di Malaysia, serta jurulatih Mario Gomez yang membantu JDT meraih Piala AFC, kehadiran mereka telah membantu meningkatkan sukan paling popular di Malaysia itu.

Salas berkata beliau juga akan bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengatur perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Argentina, pasukan nombor satu dunia, bersempena 50 tahun hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, tahun depan.

"Sekiranya tidak dapat membawa pasukan kebangsaan kita ke sini, kami akan cuba mendapatkan pemain-pemain kita yang bermain di Liga Malaysia, bagi mewakili kami.

"Sempena ulang tahun ke-50 itu juga, kami merancang mengadakan selama 10 hari festival Argentina. Kita merancang mengadakan acara kebudayaan dan komersial untuk mempromosi dan mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara," kata Salas, yang mengambil alih jawatan itu kira-kira tiga bulan lepas.

Mengulas lanjut, Salas berkata rakyat negara kelapan terbesar di dunia itu memiliki sentimen istimewa di Malaysia apabila mereka menjuarai Piala Dunia Bawah 20 Tahun FIFA (sebelum ini dikenali Kejohanan Remaja Dunia FIFA) pada 1997, semasa Malaysia menjadi tuan rumah kejohanan berkenaan.

Argentina muncul juara selepas menewaskan sebuah lagi pasukan Amerika Selatan, Uruguay 2-1 pada perlawanan akhir di kejohanan itu, yang disertai 24 pasukan termasuk tuan rumah Malaysia, yang menduduki tangga tercorot di peringkat kumpulan selepas kalah kesemua tiga perlawanan Kumpulan A, menentang Uruguay, Maghribi dan Belgium.

Mengulas mengenai fasa 'paling menyedihkan' dalam bola sepak Malaysia, Salas percaya bahawa masalah itu wujud kerana rakyat Malaysia mengambil terlalu banyak masa sebelum memulakan karier mereka.

"Masalahnya ialah mereka mula sangat lambat, mereka bermula pada usia antara 15 dan 16 tahun, mereka tidak mempunyai tradisi untuk membimbing daripada usia muda. Jadi, pemain-pemain ini tidak mempunyai disiplin untuk memulakan lebih awal untuk bermain.

"Saya menyaksikan perlawanan akhir Piala FA antara JDT menentang PKNS FC dan saya terkejut melihat begitu ramai hadir ke stadium, menyanyi dan bersorak yang mana saya tidak pernah menjangkakannya," kata beliau.

Berikutan sokongan dari Argentina itu, harapan adalah tinggi agar Malaysia dapat melahirkan pemain seperti Diego Maradona, Lionel Messi, Alfredo di Stefano, Angel di Maria, Sergio Aguero dan Carlos Tevez dalam masa terdekat!. - Bernama

Sinar Harian
loading...
wartawan jalanan

Share this

Related Posts

No comments:

Powered by Blogger.