Ads Top

Tun Mahathir Bidas Orang ‘Bodoh, Bisu’ Di Sebalik 1MDB.


Tun Dr Mahathir Mohamad terus membidas pihak-pihak yang membisu terhadap skandal 1MDB dan berpura-pura membodohkan diri dengan apa yang berlaku.

Katanya, melihat kepada mereka yang terlibat dalam penubuhan dan pengurusan 1MDB, seseorang boleh membuat kesimpulan bahawa mereka yang terpilih sebenarnya adalah bodoh.

“Dan mesti ada banyak orang-orang bodoh di sekeliling. Sesetengah mereka cepat meletak jawatan, yang lain mengambil masa yang lebih lama.

“Sesetengah mereka terpaksa diganti atau dipindahkan atau bersara. Tetapi masalah sama yang semua mereka hidapi adalah ketidakmampuan mereka untuk bercakap.

“Mereka juga mungkin menjadi pekak tetapi sesungguhnya mereka dalam keadaan sihat,” katanya dalam tulisan terbaru di blog.

Mengulas laporan portal pendedah maklumat Sarawak Report yang mendakwa mempunyai akses terhadap apa yang didakwanya sebagai laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB, Dr Mahathir berkata terdapat begitu banyak perkara jenayah dilaporkan.

“Tetapi seperti yang kita semua tahu peguam negara telah mengisytiharkan bahawa laporan ketua audit negara tidak menunjukkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melakukan sebarang kesalahan atau jenayah.

“Peguam negara menolak laporan ketua audit negara, tetapi beliau kemudian menggunakan Akta Rahsia Rasmi untuk menghalang orang ramai daripada membaca kandungannya,” katanya.

Menurut Mahathir, adalah jelas kedua-dua peguam negara dan ketua audit negara bersama kakitangan kedua-dua jabatan berkenaan serta anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tahu isi kandungan tersebut tetapi mereka tidak boleh mendedahkannya.

“Menteri Kewangan II sebelum ini meletakkan semua jawatan. Beliau tidak menjelaskan mengapa dirinya mengambil tindakan drastik berkenaan. Beliau akan ke Jordan belajar agama.

“Nampaknya mulutnya juga dikunci. Beliau juga menjadi bisu sekarang ini,” katanya.

Mahathir berkata keadaan negara semakin merosot tetapi tidak ada yang mengambil peduli.

Beliau seterus memberi amaran walaupun menjadi alim dan mendekati agama, namun membisukan diri daripada mendedahkan salah laku yang diketahui tidak akan menyelamat diri mereka.
“Hari pembalasan pasti akan tiba di mana umat Islam akan bertemu dengan Pencipta mereka.

“Mulut akan terbuka dan kata-kata akan mencurah. Agama tidak akan membebaskan kamu.

“Menunaikan Haji, terutamanya dengan wang dicuri tidak akan menebus dan membebaskan kamu daripada dosa-dosa,” katanya.

Malaysia kini
loading...
wartawan jalanan

Share this

Related Posts

No comments:

Powered by Blogger.