Ads Top

Pengalaman Jadi Guru Sandaran Buat Aku Belajar Sesuatu Yang Bernilai

Masa aku jadi pelajar UIA Gombak dulu, macam-macam kerja aku buat untuk cari duit. Jadi rider pizza, kerja butik , jual buku kat PBAKL, jual sandwich secara paksa dengan Hafizudin Hamdan dan macam-macam lagilah.

Tapi ada satu kerja yang paling aku terkesan. Jadi guru sandaran di SK Wangsa Melawati. Tahun 2008 aku tak silap.

Sebelum tu dok kerja jadi part time rider kat Dominos. Sebenarnya sebelum jadi part time rider di Dominos, dok minta kerja ni kat sekolah-sekolah yang dekat dengan UIA. Tapi kekosongan lambat so kerjalah di Dominos dulu.

Masa nak mintak kerja tu tebalkan aje muka, pakai kemas-kemas, bawak resume sekadar mampu, jumpa kerani sekolah tanya ada nak pakai guru sandaran tak?

Dekat 3-4 kali jugak kena reject secara tak bersopan. 2-3 kali kena cop salesman buku. Sekali dipanggil “pakcik”.

2-3 hari jugak ambil masa memusing sekitar kawasan Gombak, Wangsa Maju, Taman Melawati mencari sekolah yang dalam lingkungan UIA. Bukan apa senang nak pi kerja.

Lepas 2 bulan lebih kerja kat Dominos, dapat kerja sebab kawan yang pergi interview sekali tu tak angkat call. Nama dia Zulasyraf Fauzi. Sekarang dia dah jadi pegawai, eh?

Dah rezeki aku. Kebetulan masa sekolah call aku angkat, petang tu jugak pergi second interview dan diterima. Besoknya mula mengajar.

Masa ni ex-gf (sekarang bini), Mirahida Murad pun jadi guru sandaran tapi di sekolah menengah.

Tahun 2008, gaji guru sandaran masa tu RM45 asas, RM15 elaun, total RM60 sehari.

Kerja dalam 2 bulan lebih, claim dapat dalam 3 hari je lepas tamat berkhidmat. Alhamdulillah sebab ada kes sampai 3 tahun baru dapat claim. Tips nak dapat claim cepat, buat baik dengan ketua kerani dan kerani akaun sekolah

Tak ingat dah berapa total gaji sebab tak fikir pun sebenarnya. Sebab THIS IS THE BEST JOB I EVER HAD. Dapat pulak mengajar sesi petang, memang boleh bangun lambat. Itu yang penting.

Dapat macam-macam pengalaman. Lagi-lagi sebab dapat pegang kelas pemulihan, kelas 3B.

Baca: Kisah Inspirasi Seorang Pelajar Miskin Yang Teringin Ke KLCC Dikurniakan Rezeki Melalui Guru Prihatin

guru-sementara

Aku dapat tanggungjawab sebagai Guru Kelas 3B. Ajar subjek Bahasa Melayu (subjek bapak sendiri ajar), Pendidikan Sivik dan Tilawah Al Quran.

Ya aku ajar murid mengaji. Mengaji Iqra. Nasib baik Iqra’ aje. Fuh.

Hari-hari bawak balik cerita baru untuk kawan-kawan dengar. Paling best bila murid-murid bagi teka-teki. Walaupun kelas pemulihan, teka teki boleh mencabar kemahiran berfikir aras tinggi aku.

Murid paling terer bagi teka-teki namanya Fitri. Sedikit gempal, kulit putih tapi baju selalu comot. Selalu dapat no 2 atau 3 dalam kelas pemulihan. Dipercayai masuk kelas 3B sebab nakal.

Aku cuba jawab teka-teki lembu melompat tu 10 kali tak dapat jawapan. Bila aku give up, dia bagi jawapan lepas tu satu kelas bergolek-golek ketawa. Cilakak.

Dapat peluang handle hari sukan sekolah. Liase dengan PIBG, belajar macam mana PIBG gunakan resources untuk handle event. Kebetulan YPD PIBG kat sekolah tu orang besar ATM. Relaks je dapat askar sebagai krew hari sukan.

First time join meeting guru kena sound dengan guru besar pasal panggil dia akak, sepatutnya panggil puan. Mati-mati mula-mula aku ingat dia kerani sekolah. Ketua kerani to be spesifik.

Paling menyayat hati kena manage Hari Bersama Parent. Penyelia petang hanya bagitau majlis ni sehari sebelum. Aku memang tak prepare apa-apa nok.

Jumpa macam-macam ragam parent. Paling aku ingat adalah seorang murid namanya Anis, darjah 3B. Kenal huruf tapi tak lancar membaca. Benda biasa untuk murid kelas pemulihan.

Yang menjadi masalah adalah Anis ada abang darjah 5, selalu dapat nombor 1 dalam kelas.

Terkejut bila dengar soalan dari Mak Anis, depan Anis “cikgu, anak saya ni ada masalah otak ke? Sebab abang dia dapat nombor 1, tapi dia membaca pun belum tahu walau dah darjah 3”.

Aku pun terkejut lalu terkentut, eh.

Serba salah aku menjawab “sebenarnya saya rasa bukan begitu Puan. Anis ni budak baik. Saya cuma rasa dia perlu lebih banyak praktis. Yang penting puan kena ada. Tolong dia dan ajar dia sampai dia boleh membaca, Insyallah Puan” jawabku.

Lepas tu aku cakap depan Anis. Nasihat lah apa yang patut. Mintak dia praktis. Aku cakap kat dia, buktikan kat mak dia yang dia pun pandai baca. Masa tu budak Anis ni dah bejurai-jurai air mata. Entah kenapa aku pun rasa nak menangis tulis benda ni.

Lepas dalam beberapa minggu Anis praktis, betul-betul minggu terakhir aku berkhidmat. Anis bacakan aku satu perenggan dalam buku teks dia dengan lancar. Dan dia juga berjaya buat ayat sendiri gunakan 5 patah perkataan. Sekali lagi berkaca mata Anis bila aku puji dia dah pandai.

Nampak tak?

Sesiapa pun boleh jadi pandai, boleh berubah ke mana haluan yang dia nak, dengan 1 syarat. Usaha sampai jadi.

Bila kita jadi parent, bagus mana pun sekolah yang kita hantar anak kita belajar, pokok pangkalnya adalah galakan dan ajaran kita sendiri.

Kalau kau sendiri tak buat apa-apa untuk anak kau lepas tu salahkan orang (atau dalam kes Anis, salahkan otak anis) atas ketidak-upayaan yang kau sendiri sumbangkan.

Dan kau percayalah (atau bersangka baiklah), yang cikgu dah buat sebaik-baik tugas untuk mengajar anak bangsa jadi pandai. Isunya, anak bangsa ni yang nak jadi pandai atau nak memandai-mandai.

Sempena 16 Mei Hari Guru yang bakal tiba, saya ucapkan Selamat Hari Guru 2016 in advance kepada semua cikgu-cikgu yang pernah mengajar saya. Terima kasih.

Dan kredit khas buat bapa yang juga seorang guru, Cikgu Rosli Bin Hussain kerana telah mendidik anak bangsa tanpa jemu! Tahniah.

Baca: Erti Sedap Bagi Seorang Anak Penoreh Getah Buat Gurunya Sebak

No comments:

Powered by Blogger.