Ads Top

Noordin Ahmad Sang, Usahawan Dan Pembeli FC Bari Yang Merendah Diri

“Sekarang tidak perlu lagi kecoh-kecoh di Facebook. Tengok orang Cina, senyap-senyap mereka buat duit,” ujar Khairullah sambil menceritakan input yang didapatinya daripada Abang Naim, Pengasas Foresight.

Aku tekun mendengar sambil angguk-angguk. Pesan Puan Guru Ainon, apabila setuju, angguk-angguk supaya orang suka bekerjasama dengan kita biarpun tidak sekepala.

Pengasas UBS itu bercerita lagi, “Budak-budak Foresight pun macam itu. Dalam diam mereka buat duit. Ada yang sudah dapat sejuta!”

Terangkat kening masing-masing. Selain aku, Haafiz dan Asyraf turut sama mendengar. Mujur tidak ramai orang di Chamek Kopitiam pada masa itu. Perbincangan yang berat pun terasa mudah. Apatah lagi dengan roti ban berinti kaya yang lembut dan manis. Juga Kopi O Chamek yang pekat dan pahit. Oh, menu favoritku!

Demikianlah kami berempat mengisi masa di kafe hipster. Chamek Kopitiam di Taman Universiti itu tidak sama dengan francaisnya di tempat lain. Di situ ada ruang tertutup berpendingin hawa. Hiasan dalamannya berkonsepkan barangan antik. Basikal tua, televisyen berskrin lengkung, dan telefon rumah zaman 60-an menghiasi suasana. Tambah-tambah lagi ada talian WiFi percuma.

Aku fikir Chamek Kopitiam Taman Universiti patut melantik aku sebagai duta.

Datuk Dr Noordin Ahmad

Datuk Dr Noordin Ahmad. Gambar ihsan FourFourTwo.

Datuk Dr Noordin Ahmad. Gambar ihsan FourFourTwo.

Memori perbualan kami tentang tajuk itu hadir apabila aku membaca artikel di laman FourFourTwo tentang Datuk Dr Noordin Ahmad. Aku yakin kebanyakan orang tidak mengenali beliau. Siapakah orang ini? Dari manakah beliau datang? Apakah yang beliau lakukan sebagai sumber pendapatan?

Lalu aku menulis di Facebook:

“Kelam-kabut orang cari siapa Dato’ Noordin Ahmad. Namanya yang macam pelakon 60-an itu tiba-tiba jadi buah mulut. Demikianlah usahawan, diam-diam buat duit. Sudah kaya nanti, virallah sejuta kali pun.”

Status itu mendapat 15 Like sahaja termasuk daripada seorang yang bukan dalam senarai Friend dan Follower (F&F). Bagi aku, dengan hanya 267 F&F dan 5 peratus kadar impression, itu sudah cukup bagus.

Pertama kali aku melihat pautan artikel FourFourTwo itu aku baca tajuk sahaja. Biasalah, kebanyakan pembaca memang begitu. Apabila pautan yang sama muncul kali kedua, barulah aku klik dan baca.

FC Bari ialah kelab bola sepak di Itali. Kelab itu kini berada di tangga ketiga Siri B dengan baki 5 perlawanan. Bagi melayakkan diri ke Siri A secara automatik, FC Bari perlu mengejar Cagliari yang berkelebihan 9 mata di tangga kedua liga. Jikalau gagal, FC Bari perlu bertanding dengan 5 lagi kelab di tangga ketiga hingga kelapan bagi merebut satu tempat ke Siri A.

Bendera Malaysia dikibarkan penyokong Bari sewaktu perlawanan menentang Cesena. Gambar ihsan Instagram FC Bari @fotodelbari.

Bendera Malaysia dikibarkan penyokong Bari sewaktu perlawanan menentang Cesena. Gambar ihsan Instagram FC Bari @fotodelbari.

FC Bari itu singkatan nama penuhnya iaitu Football Club Bari 1908. Dinamakan Bari bersempena tempat penubuhannya 108 tahun yang lalu, dan tidak ada kaitan dengan Fathul Bari, Aziz Bari dan mana-mana Bari yang lain. Kelab itu diberikan jolokan “i Galletti” (ayam jantan) dan “i Biancorossi” (merah-putih). Semakan di Wikipedia mendapati nama Noordin Ahmad tersenarai sebagai Ketua Eksekutif FC Bari.

Ahli perniagaan itu memeterai perjanjian awal (preliminary agreement) dengan FC Bari pada 8 April 2016. Hampir seminggu kemudian, berita pembelian 50 peratus saham FC Bari oleh orang Malaysia dipaparkan di media. Pemilikan itu menyelamatkan FC Bari daripada kemelut kewangan selepas diisytiharkan muflis pada tahun 2014.

Kecoh di Malaysia apabila tidak seorang pun dapat memberitahu siapa gerangan lelaki 59 tahun dari Perak itu. Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Amin berkata, “Saya tidak kenal beliau. Beliau tidak pernah terlibat di dalam arena bola sepak Malaysia. Saya cuba dapatkan maklumat semenjak minggu lepas tetapi saya hanya terima maklumat daripada surat khabar.”

Mujurlah, Dr Noordin diakui oleh Tan Sri Annuar Musa (TSAM), Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sebagai teman karibnya. “Kami berkawan baik semenjak tahun 1972. Kami sama-sama menuntut di Maktab Tentera Diraja (RMC), malah bermain ragbi bersama-sama.”

“Beliau itu ahli perniagaan yang tulen dengan pengalaman luas dalam bidang minyak dan gas, pendidikan, penerbangan dan penstrukturan semula korporat,” ujar TSAM.

Tambahnya lagi, “Beliau selalu low-profile walaupun telah berada di dalam industri selama 33 tahun. Beliau tidak pernah terlibat dengan kerajaan. Beliau berdikari sepanjang perjalanannya.” Demikian menurut laporan Malay Mail yang turut dipetik oleh FourFourTwo.

Petikan akhbar Malay Mail.

Petikan akhbar Malay Mail.

Apabila ditanya oleh wartawan tentang dirinya, Dr Noordin hanya menjawab, “Saya ada kepentingan dan banyak syarikat di Malaysia dan seluruh dunia, tetapi saya fikir tidak perlulah saya senaraikan semuanya. Saya sudah lama menjadi penasihat Finmeccanica. Itu sahaja yang saya boleh beritahu.”

Finmeccanica ialah syarikat keselamatan, pertahanan dan aeroangkasa yang berpangkalan di Rome. Pada tahun 2014, satu perjanjian perdagangan dua hala bernilai RM 9 bilion telah ditandatangani oleh Malaysia dan Itali. Antara isi perjanjian adalah pembekalan helikopter dan kelengkapan ketenteraan oleh Finmeccanica.

Dalam bidang pendidikan, Dr Noordin bertanggungjawab mendirikan Malaysian-French Institute yang kini dikenali sebagai Universiti Kuala Lumpur Malaysia France Institute (UniKL MFI). Institusi kemahiran di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu membawakan pendidikan elektrik, mekanikal, senggaraan dan automasi.

50 Peratus Untuk Itali

Pada mulanya aku hairan melihat Dr Noordin membeli 50 peratus saham FC Bari. Mengapa 50 peratus, tidak lebih? Makin bingung apabila nilai saham itu tidak diberitahu. Entah berapa puluh juta agaknya.

Aku menarik dan menghembus nafas dengan kiraan 2-4-8. Tidak ingat aku belajar daripada siapa, tetapi teknik pernafasan itulah yang aku ajarkan kepada budak-budak sekolah menengah dari beberapa buah rumah anak yatim di sekitar Lembah Kelang. Teman lamaku yang belajar di German Malaysian Institute (GMI) menjemput aku menyampaikan ceramah kerjaya di Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI) pada tahun 2013.

Apabila fikiranku kembali tenang, aku mencari laporan Malay Mail. Menurut akhbar itu, Dr Noordin melabur di Itali sebagai tanda penghargaan kepada warga negara itu yang telah menyelamatkan nyawanya.

Ceritanya, “Saya berada di Rome pada Hari Krismas apabila menderita serangan jantung buat kali kedua. Kali pertama saya diserang adalah 10 tahun lalu. Saya fikir saya akan mati.”

Mujurlah doktor Itali berhasil memulihkan beliau. “Doktor-doktor di Itali menjaga saya. Mereka selamatkan saya. Oleh itu saya fikir saya patut buat sesuatu untuk Itali.”

Bari dan Malaysia. Gambar ihsan Instagram FC Bari @fotodelbari.

Bari dan Malaysia. Gambar ihsan Instagram FC Bari @fotodelbari.

Lantaran itu, beliau membeli saham FC Bari dengan duitnya sendiri. Mengulas mengenai jumlah peratusan saham yang dimilikinya sekarang, beliau berkata, “Saya berpuas hati memiliki separuh daripada kelab ini dan saya tidak berniat hendak melebihkan peratusannya. Saya percaya kepada hubungan 50-50, dengan separuh daripadanya berada di dalam tangan bandar Bari.”

Octoberian Yang Merendah Diri

Akhbar NST tidak ketinggalan melaporkan latar belakang Dr Noordin. Anak Perak itu rupa-rupanya lahir pada 23 Oktober 1957 di Pulau Pinang, kemudian dibesarkan di Manjoi. Aku berasa bangga kerana tarikh lahirnya dua hari selepas tarikh lahirku.

Pada mataku, beliau bertaraf tycoon, namun tidak segan-silu menceritakan asal-usulnya.

“Saya belajar di RMC pada tahun 1972,” ujar beliau, mengesahkan pengakuan TSAM. Daripada beribu-ribu pemohon, beliau dan TSAM adalah antara 120 pelajar yang terpilih.

Di samping cemerlang akademik, beliau juga handal bersukan. “Saya sangat suka bersukan. Saya merupakan kapten pasukan ragbi di RMC dan juga juara tinju.”

Juara tinju? Ini bukan calang-calang orang. Bukan jutawan segera yang hanya pandai jual barang. Pada masa yang sama, beliau terus merahsiakan kehidupan peribadinya. Tiada online positioning. Tiada publisiti dan gosip murahan. Apa yang orang lain terima daripada beliau sudah membuktikan segala-galanya.

Di mata ahli keluarga, Dr Noordin dipandang sebagai anak emas dan sangat mengambil berat. Seorang sepupunya bercerita, “Beliau menanggung nafkah anak-anak saudaranya dan kakak iparnya selepas adik lelakinya meninggal dunia.” Tidak cukup dengan itu, Dr Noordin membelikan rumah untuk mereka.

Sepupu-sepupu Dr Noordin tahu beliau seorang yang berjaya, tetapi hartawan itu tidak menunjuk-nunjukkan kekayaannya kepada ahli keluarga. Malah, mereka terkejut apabila Dr Noordin membeli kelab FC Bari dan yakin beliau mahu melakukan sesuatu bukan demi kepentingan dirinya sendiri.

Pemberani Zaman

Dengan sikap rendah diri dan prihatin terhadap generasi akan datang, tidak ada alasan lagi bahawa beliau sedang melakukan keberanian zaman. TSAM ada membayangkan bahawa mereka berdua akan melakukan sesuatu yang besar untuk bola sepak Malaysia. Nampaknya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim tidak bersendirian dalam perjuangan itu.

Aku menahan air mata daripada membasahi papan kekunci. Jauh di sudut hati, aku bersyukur kerana masa depan Malaysia masih ada harapan yang cerah.

No comments:

Powered by Blogger.