Ads Top

Geleng Kepala, Ibu Larang Anak Beri Duit Kepada Neneknya

Saya sedang beratur di belakang, tengah tunggu giliran nak keluarkan duit dari mesin ATM. Di hadapan ada seorang mak cik seusia ibu saya, dan seorang anak lelakinya yang saya agak sebaya saya juga.

Dari belakang, saya boleh nampak si anak lelaki ini key in RM550 untuk pengeluaran. Wang kertas yang banyak dimasukkan ke dompet, namun sekeping RM50 dimasukkan ke kocek kemejanya. Paparan mesin ATM menunjukkan baki akaun, jelas tertera nilai wang 5 angka.

“Nak buat apa RM50 tu? Nak beli barang ke? Kan tadi Ayah pesan nak RM500 je,” tanya si ibu yang sedang menekan-nekan butang mesin ATM. Giliran si ibu pula mengeluarkan duit.

Si anak lelaki memberi respon, “Nak bagi Nenek.”

“Banyak tu RM50 nak bagi Nenek,” tanpa diduga si ibu terus mencelah, “Nenek orang tua tak perlukan duit sebanyak tu. Dia dah ada duit dah tu. Tak bagi duit pun tak apa. Orang tua, bagi RM10 pun sudah cukup. Tak bagi pun tak apa, orang tua kan..” tambah si ibu sambil menunjuk ke arah kelibat seorang mak cik bersama beberapa ahli keluarga lain di hujung sudut lain.

Saya mengagak itulah “Nenek” yang dimaksudkan, mungkin sebaya umur nenek saya sendiri.

“Nenek macam tak ada duit je?” si anak lelaki ini cuba mencelah.

“Saja je tu. Kalau ada duit pun bukan nak buat apa,” si ibu memberi respon pantas.

“Nenek boleh simpan…” cuba juga untuk memujuk si ibu yang sudah memasukkan wang ke beg tangannya.

“Tak payah bagilah. Banyak sangat tu RM50.. Jom,” si ibu menarik tangan anak lelakinya dan mereka berlalu pergi.

Saya diam sahaja. Bukan masa dan tempat yang sesuai untuk saya mencelah perbualan mereka anak-beranak. Apatah lagi saya langsung tidak mengenali mereka.

Sebagai seorang lelaki yang turut bergelar seorang ayah, anak dan cucu, saya cukup terkilan dengan perbualan mereka.

Si ibu, secara tidak langsung, sedang mengajar dan mendidik anak lelakinya cara supaya kedekut dan berkira-kira.

I really believe that son of hers has all the right reasons to give his grandmother some money so that the money can make his grandmother happy. But yet, the mother insists the son not to.

Kerana bola itu bulat.

Cubalah bayangkan suatu hari nanti apabila si ibu yang bernama Aminah itu menjadi cukup tua, dan si anak lelaki ini yang bernama Ali melarang anaknya yang bernama Abu (cucu kepada Aminah) daripada memberikan sedikit wang kepada Aminah.

Pada masa itu, Aminah perlu mengakui bahawa sifat kedekut dan berkira-kira yang ditunjukkan oleh Ali adalah berpunca daripada ‘didikan’ Aminah sendiri. ‘Didikan’ yang dulu semasa Aminah melarang Ali daripada memberi ‘sedekah’ atau hadiah kepada neneknya, yang berlaku hari ini di hadapan mesin ATM.

Kerana bola itu bulat dan boleh berputar-putar, tidak mustahil perkara yang kita lakukan kepada orang hari ini akan dilakukan kepada kita pada suatu hari nanti.

Berhati-hatilah, wahai ibu bapa sekalian. Bukan duit yang didambakan. Tetapi sifat baik seorang manusia yang perlu ditanam ke dalam diri anak-anak kita.

Biar kita ajar anak-anak kita suka berbakti kepada orang tua, biar kita ajar anak-anak kita suka menyayangi dan merapati orang tua.

Biar kita didik anak-anak kita betapa pentingnya murah hati dan menggembirakan hati orang tua, biar kita besarkan anak-anak kita dengan nilai-nilai Islam yang indah.

“Bersedekah kepada orang miskin adalah satu sedekah, dan kepada saudara-mara ada dua (kebaikan); sedekah dan silaturrahim.” (HR. Ahmad, Tirmidzi, Nasa’i, Ibnu Majah dan Hakim, Shahihul Jami’ no. 3858)

Biar miskin kerana suka memberi, jangan kaya kerana pentingkan diri sendiri.

No comments:

Powered by Blogger.