Ads Top

Cara Mudah Saya Terangkan Kepada Anak Kenapa Saya Sibuk Tanpa Melukakan Hatinya

Pernah dulu dua tiga malam saya balik lewat. Bermesyuarat dengan kawan-kawan tentang berbagai-bagai hemah dalam dunia buku dan kebangkitan bisnes di zaman penuh laju ini. Sampai-sampai di rumah lihat dua cinta hati sudah pun tidur. Saya pun jadi semakin malas dan bersihkan diri terus juga tidur.

Satu malam, masa saya buka sahaja pintu bilik, anak kesayangan saya membuka matanya perlahan-lahan. Saya terus tanya, “’Ain belum tidur?” Dia angguk.

Saya lekas bersihkan tangan betul-betul, basuh muka dan terus mendapatkannya. Cium pipi dan tanya kenapa tak tidur lagi. Dia hanya meleset sahaja ke badan saya. Dalam sambil tepuk-tepuk beliau untuk ditidurkan, saya memandang isteri, udah belayar jauh rupanya.

“Tidurlah sayang, abah nak mandi boleh?”

“Kejap lagi abah, ‘Ain nak peluk kejap je lagi,”

Saya pun biarkan sahaja. Kemudian,

“Abah, kenapa Allah suruh abah kerja?”

“Oh.. siapa yang cakap macam tu sayang?”

“Mama kata, abah kerja sebab Allah suruh. Abah lelaki, kena kerja kuat untuk mama dengan ‘Ain. Allah tak kenal abah ke? Abah asik balik lambat sangat, ‘Ain rindu.”

“Erm…” Saya betulkan kedudukan. Biarkan dia betul-betul memeluk saya dengan seselesa yang mungkin.

“Allah yang cipta kita semua. Allah suruh kita jadi orang baik. Nak jadi orang baik, kena pergi kerja.”

“Sampai malam?”

“Sesekali kalau kerja tak siap, kena sampai malamlah,”

“Erm…..” Sekali lagi beliau menekup muka dan memeluk saya kuat-kuat. Saya pun pegang tangannya erat-erat. Kemudian diusap kepala dan saya ciumnya beberapa kali.

“Ain tahu, abah tahu ‘Ain rindu abah. Abah pun rindu ‘Ain juga,” Kejap ya.

Saya lekas bangun. Buka laptop. Selang beberapa minit muka depan komputer pun terbuka. ‘Ain bangun duduk. Saya angkat laptop dan letakkannya di atas katil.

“Itu gambar siapa?” Tanya saya.

“Ain..” dia jawab perlahan. Cahaya laptop menyimbah wajah si kecil comel ini. Matanya sudah menampak ceria dan wajahnya kembali memberi senyum.

“Ok dah kita tidur ya,”

“Ha ha” terus dia angguk.

Saya pun tepuk beberapa kali, beri ciuman dan berselawat sama-sama sekali lagi. Senang sahaja beliau tidur. Terus saya lekas mandi dan solat.

Kau tahu kawan,

Si ‘Ain baru sahaja berumur 4 tahun. Tuhan sudah mencampakkan dalam dirinya satu makhluk yang bernama ‘perasaan’. Yang sudah pandai merindu. Sudah pandai merintih. Sudah bijak berfikir dan sudah semakin mengerti wujudnya Tuhan.

Sedang kita yang sibuk-sibuk ini masih tidak gunakan masa yang sesuai untuk memberi maksud kepada semua pertanyaan anak-anak. Sesungguhnya anak kita ini semakin faham-faham semuanya.

Saya hanya cuba dan berusaha menerangkannya semudah mungkin. Rindu saya dan rindu dia adalah rindu yang sama. Jadi buka laptop dan tunjuk padanya gambar beliau di wallpaper yang beliau sentiasa dalam hati saya. Itu sahaja. Dan alhamdulillah beliau faham sebaiknya.

Kawan-kawan, semoga perkongsian ini bermanfaat.

Sungguh, kita ini Allah yang punya. Kerja pagi petang siang malam, balik-balik akan pergi mengadap Dia. Semoga yang Dia pinjamkan kepada kita, yang juga nyawa-nyawa kecil ini menjadi manfaat buat kita.

Kecil-kecil saling merindu. Dah tua, saling ziarah.

Khairul Hakimin. Muhammad
Bapa Nurul ‘Ain.

No comments:

Powered by Blogger.