Ads Top

5 Kesalahan Yang Tidak Wajar Dilakukan Oleh Pelajar Sewaktu Memohon Latihan Industri

Sekarang adalah musim para pelajar IPTA dan IPTS sibuk membuat permohonan untuk menjalani latihan industri di agensi kerajaan mahupun di syarikat swasta. Kebanyakan institusi pendidikan mewajibkan pelajarnya untuk membuat praktikal sebagai syarat wajib sebelum layak bergelar graduan.

Tujuan latihan industri adalah sebagai pendedahan secara praktikal di lapangan dan memberi ruang kepada para pelajar untuk mengenali realiti sebenar alam pekerjaan yang serba mencabar.

Namun malangnya, para pelajar masa kini sepertinya kurang bersedia untuk memasuki alam pekerjaan. Ini kerana, di peringkat permohonan latihan industri pun, sudah banyak kesalahan yang mereka lakukan.

Sebagai individu yang ditugaskan untuk menguruskan proses permohonan para pelajar bagi tujuan tersebut, saya ingin berkongsi 5 kesalahan yang sering dilakukan oleh mereka.

1. Tidak Beradab

“Hello, selamat pagi.” Saya mengangkat telefon yang berdering.
“Hello! Sini ada ambil praktikal tak?”

Tanpa pengenalan diri, mereka terus mengajukan soalan. Sekurang-kurangnya, perkenalkan nama dan institusi pengajian terlebih dahulu supaya senang untuk saya berurusan. Apabila terus mengajukan soalan sedemikian rupa, ia kedengaran gopoh dan tidak sopan. Apatah lagi jika bertanya seperti ini:

“Hello, proses permohonan saya macam mana?”

Anda fikir, syarikat kami menguruskan permohonan awak seorang sahaja? Bertimbun lagi dokumen permohonan di atas meja. Dan anda expect kami untuk kenal nama melalui suara anda? Atau anda berasa diri anda begitu VIP?

2. Resume ‘Copy Paste’

Selalu sangat ‘copy paste’ assignment, akhirnya resume pun anda ‘copy paste‘?

Itulah tujuannya para pensyarah menegah para pelajar daripada meniru hasil kerja orang lain. Nanti terbawa-bawa ke alam pekerjaan.

Jika di peringkat mahu memohonan latihan industri pun sudah ‘copy paste‘, tidak mustahil apabila sudah bekerja nanti anda akan melakukan perkara yang sama.

Bayangkanlah, saya menerima 4 permohonan pelajar daripada universiti yang sama. Keempat-empat resume itu kelihatan serupa sahaja.

Yang berbeza hanya gambar, butir peribadi dan point CGPA. Yang lain-lain seperti kemahiran, pengalaman, kelebihan, malah layout resumenya pun, semuanya sama!

Paling menyedihkan, sampai nama dan alamat syarikat pun salah, gara-gara ‘copy paste‘. Maaf, permohonan kalian ditolak sebab bukannya nak hantar ke syarikat kami. Kan?

Baca: CV vs Resume: Apa Yang Anda Perlu Tahu? Pencari Kerja Harus Baca

3. Emel Kosong, Hanya Attachment

Ini lagi Diva. Dia hantar emel, ada attachment dokumen yang diperlukan. Tapi kandungan emelnya kosong sahaja. Tiada pun salam perkenalan dan kata-kata aluan yang mengatakan tujuan emel itu dihantar. Kadang-kadang, tajuk (subject) pun kosong!

Ibaratnya, jika dihantar melalui by-hand, anda masuk ke dalam pejabat, lempar dokumen anda atas meja saya, kemudian anda pun beredar. Sopankah begitu?

Lain kali, sila tulis tujuan anda menghantar emel itu. “Tuan, saya (nama) dari (universiti) ingin membuat permohonan latihan industri di tempat tuan. Kerjasama daripada pihak tuan amatlah saya hargai Terima kasih.”

Pendek seperti itu pun sudah memadai. Susah ke?

4. Bawa Ibu Bapa

Ada sesetengah pelajar yang datang bersama ibu bapa. Bawa ibu bapa itu, tidak salah. Yang salah, apabila yang berurusan itu adalah ibu bapa anda. Bukannya anda! Amboi, siapa yang mahu buat praktikal ni? Anda atau ibu bapa anda?

“Encik, tolonglah terima anak saya ni. Tempat lain tak nak terima dia.”

Mungkin saya tahu kenapa tempat lain tidak meluluskan permohonan pelajar ini. Jawapannya jelas di hadapan saya.

Sebagai seorang pelajar universiti / kolej, anda bukan lagi budak sekolah atau kanak-kanak. Ini bermakna anda sudah cukup dewasa untuk berhadapan dengan masyarakat. Sampai bila anda mahu bergantung pada ibu bapa anda?

Selain bawa ibu bapa ke pejabat, ada juga ibu bapa yang tolong telefon atau emel bagi pihak anaknya. Eh, anda sendiri tak boleh bercakap ke? Kenapa mesti serah kepada ibu bapa?

Selagi anda sihat tubuh badan, anda perlu berdikari. Sewajibnya pada peringkat umur ini, anda perlu berdikari! Anda dah besar kot.

Saya pun berat hati nak terima pelajar seperti ini. Jika anda diterima kelak, pasti ibu bapa anda yang banyak akan masuk campur urusan kerja nanti.

5. Bertanya Soalan Mengarut

Okey, ini apabila pelajar sudah diterima untuk menjalani latihan industri. Namun, telinga menjadi panas apabila mendengar soalan-soalan yang diajukan, seolah-olah sedang bercakap dengan budak kecil.

“Pukul berapa saya kena bangun pagi?”
“Pergi pejabat kena bawa payung tak?”

Hello? Itu bukannya soalan yang patut keluar daripada seseorang yang bakal bergelar graduan. Semua itu adalah soal pengurusan diri.

Tanyalah soalan-soalan yang lebih menunjukkan tahap intelektual anda. Pernah sekali, staff saya ditanya dengan soalan seperti ini:

“Apa nombor IC saya?”

Nombor IC awak sendiri pun awak tak hafal? Kemudian, awak fikir kami perlu hafal nombor IC awak? Apakah?

Semua yang saya ceritakan ini, adalah kisah benar. Ini baru di peringkat permohonan. Belum lagi di peringkat pendaftaran dan semasa mereka sedang menjalani latihan industri. Lebih banyak kisah untuk dikongsikan.

Para pelajar, tolonglah membesar!

Iwan Reaz
Bertugas sebagai Penolong Pengurus di sebuah syarikat agensi berita. Juga seorang penulis yang telah menghasilkan 8 buah buku.

Baca lagi: 10 Rahsia HR Tidak Mahu Anda Tahu (Tetapi Kami Dedahkan)

No comments:

Powered by Blogger.