Ads Top

Perkara Penting Isteri Kena Tahu Apabila Suami Jatuh Sakit

Saya fikir saya perlu mencatatkan ini, sebagai persediaan dan perkongsian (pengalaman) untuk rakan-rakan, terutama para isteri.

Ada kawan-kawan yang cakap pada saya, “Kalau jadi kat aku, tak tahulah nak buat apa. Semua laki yang buat. Bayarkan bil, beli barang dapur, semualah dia buat”.

Jiran saya pula kata, “Takutnya kalau jadi kat saya. Saya bawa kereta pun tak reti. Saya tahu jaga anak je.”

Tuan Idzwan dan Puan Raudzah

Tuan Idzwan dan Puan Raudzah

Setelah melalui perkara ini (suami jatuh sakit), saya rasa setiap suami atau isteri perlu duduk berbincang dan senaraikan beberapa perkara, sebagai persediaan sekiranya berlaku apa-apa:

1. Password

Handphone, Maybank2u, pin ATM, e-mail, Facebook dan lain-lain.

2. Senarai Bil dan Hutang

Bil – Nombor akaun bil dan amaun bulanan yang perlu dibayar. (Contoh: Bil telefon, Unifi, Astro, Bil Eletrik, dan lain-lain.)

Hutang/ Pinjaman/ Pembiayaan – Nama bank, nombor akaun dan amaun. Catatkan juga nama dan nombor telefon pegawai atau agen jika berkenaan. (Contoh: Loan kereta, loan rumah, pinjaman pelajaran, pinjaman peribadi, dan lain-lain).

3. Berkenaan Insurans

Catatkan nama dan nombor telefon agen insurans masing-masing.

Jika tidak buat potongan bulanan, catatkan nombor akaun dan amaun yang perlu dibayar setiap bulan.

4. Berkenaan Kereta

Saya yakin ramai orang perempuan (isteri-isteri) yang tak ambil tahu pasal kereta kerana semuanya suami yang uruskan. Mulai sekarang (wah!) kena ambil tahu. Antaranya :

Bagaimana hendak memperbaharui road tax dan insurans. Sekurang-kurangnya tahu agen yang berkenaan. Boleh telefon dan minta mereka uruskan.

Tahu di mana bengkel biasa kereta dihantar servis, dan tahu bila perlu dihantar servis (tukar minyak hitam dan lain-lain).

Tahu bagaimana nak buka bonet depan kereta. Ya, saya percaya memang ramai orang perempuan tak tahu. Mengapa perlu tahu? Supaya anda boleh periksa air, minyak enjin, minyak power steering, check air wiper dan lain-lain.

Keluarga yang saling sayang menyayangi.

Keluarga yang saling sayang menyayangi.

Ini cuma catatan ringkas. Saya fikir, yang lebih banyak aset dan pelaburan, maka perincian dan catatan akan menjadi lebih panjang.
Bila sudah dicatat, mudah bagi pihak suami atau isteri untuk rujuk jika terjadi apa-apa.

Selain itu elok disemak semula status penama bagi akaun KWSP, insurans dan lain-lain.

Ada kawan saya, mereka suami isteri sangat ‘detail’. Selain sangat terperinci tentang hal bil, hutang, dan lain-lain, mereka sudah siapkan surat akuan sumpah, kepada siapa anak mereka akan diserahkan jika kedua-dua mereka meninggal dunia. Jadi penama itu (adik beradik mereka) yang bertangungjawab menguruskan semua harta (hak anak-anak itu) sementara mereka dewasa. Fuh!

Saya juga sangat mengesyorkan orang perempuan belajar memandu kereta. Bagi yang ada lesen tapi hanya dibuat hiasan dalam dompet, mungkin boleh mula cuba bawa sekitar taman atau tempat yang tidak sibuk.

Bagi para suami juga, boleh mula ambil tahu hal isteri (atau yang isteri saja buat) yang selama ini tak pernah ambil tahu. Sebagai CONTOH (ada banyak lagi) :

1. Sukatan susu anak. Berapa ml air dan berapa scoop susu.

2. Jenis pad (tuala wanita) yang biasa dipakai isteri. Ketahuilah para suami, selain ada bermacam jenis brand, jenis pad ada yang bersayap, ada yang tidak, ada jenis untuk dipakai pada tempoh aliran banyak, ada jenis ‘slim’, dan lain-lain. Hehe.

Sekadar catatan. Semoga bermanfaat. Jika ada yang perlu ditambah, mohon catat di ruangan komen ya. Terima kasih.

Wallahu’alam.

Tuan Muhammad Idzwan bin Othman telah mengalami strok pendarahan (haemorrhagic strok) setahun yang lalu. Beliau telah menjalani pembedahan di kepala (basal ganglia bleed) dan kini beliau lumpuh separuh badan (kiri). Sekarang masih menjalani rawatan berkala di hospital, rawatan-rawatan alternatif seperti urut dan akupuntur dan juga sesi fisioterapi.

No comments:

Powered by Blogger.