Ads Top

EP3: Boleh akak bagitahu kenapa akak seterika telekung?



Dipetik daripada Novel Bersiri : Cinta Itu Bokeh (CIB)

CIB 52

Terasa;

Tika hati terasa

kehadiran hati yang lain.


SURAH Al-Mulk yang dibaca oleh Syeikh Mishary Rashid Alafasy dipasang kuat sedikit.
Memandangkan Imah tiada di bilik ketika itu, dia akan memasang lagu dengan kekuatan yang sederhana.
Selalunya sekiranya Imah sudah masuk ke dalam bilik, dia akan perlahankan kekuatan sesebuah lagu yang dipasangnya.
Dia tidak mahu menganggu hak teman sebiliknya. Masing-masing mempunyai hak untuk berasa senang dan selesa di dalam bilik. Dia lebih mementingkan keselesaan teman sebiliknya berbanding hal peribadinya.
Cadar katil berwarna ungu yang diletak di hujung katil diambil kemudian diseterika perlahan. Dia sering menjaga kebersihan dan kekemasan bilik di asramanya.
Kebersihan melambangkan peribadi seseorang.
Allah juga telah menekankan aspek kebersihan dalam kalangan hamba-Nya. Kebersihan merupakan adik beradik kepada kekemasan; itu prinsipnya.
Melihat cadar tilam yang sudah kemas setelah diseterika, telekung yang sudah kering dicuci tadi dicapainya.
Dia memutar bulatan yang terdapat pada badan seterika sehingga angka 1. Permukaan seterika mula berkerja pada telekungnya. Tidak lama kemudian, pintu biliknya diketuk beberapa kali.
Sodrina mematikan suis seterika kemudian memulas tombol pintu. Wajah seseorang yang pernah dilihatnya sedang berdiri di hadapan biliknya.
“Akak!” sapa Nur, mesra.
Sodrina pejam celik. “Nur, ea?” tekanya. Gadis muda itu mengangguk-angguk.
“Nur tanya seorang akak di luar tadi tentang nombor bilik akak. Alhamdulillah, dah sampai.”
“Alhamdulillah. Jom, masuk!” Pelawa Sodrina. Hatinya berasa gembira melihat wajah Nur yang berseri-seri itu.
“Wah! Cantiknya bilik akak!” puji Nur, jujur. Bebola matanya sudah mula menyoroti tiap inci bilik Sodrina.
Sodrina yang berasa malu dipuji itu terus saja membuka topik lain. “Nur nak makan sesuatu?” soalnya seraya menyambung semula aktivitinya yang tertangguh tadi.
“Eh, tak apa lah kak! Nur datang hanya nak bersembang dengan akak. Eh, akak seterika telekung?” soal Nur sebaik saja matanya melihat telekung di atas katil yang diseterika oleh Sodrina.
Sodrina mengangguk sahaja.
“First time Nur jumpa orang yang seterika telekung,” ujar Nur, jujur.
Sodrina senyum lagi. Dia menjemput Nur duduk di atas kerusi. Telekung yang telah diseterika tadi digantung pada penyangkut baju lalu dimasukkan dalam almari.
Kemudian dia duduk di hujung katil, menghadap Nur yang asyik memandangnya.
“Boleh Nur tahu sesuatu?”
“Nur nak tahu tentang apa?” soal Sodrina. Dia bergerak semula menuju ke almarinya. Pintu almari dikuak lalu tangannya mencapai secangkir cawan yang bertulis Cinta Itu Bokeh.
“Boleh akak bagitahu kenapa akak seterika telekung?”  Wajah Nur yang masih memerhati gerak gerinya dikerling seketika.
Dia senyum lantas menuang air Ice Lemon Tea.
“Boleh akak tahu, bila Nur akan pakai perfume?” soalnya. Secangkir cawan dihulur kepada tetamunya itu.
Dahi Nur berkerut. Cawan dicapai serta merta. “Nur pakai perfume semasa nak keluar dari rumah. Keluar jalan-jalan pun Nur pakai perfume juga.”
“Selain itu?”
Nur geleng-geleng. Sodrina senyum. Dia kembali duduk di katilnya. Bantal berbulu berwarna ungu dipeluknya sambil memandang Nur. Dia berasa selesa berbicara dengan gadis itu.
“Nur, apa tujuan Nur pakai perfume tu?” soalnya lagi.
“Akak ni… Tentulah Nur nak diri Nur wangi…” jawab Nur seraya ketawa kecil.
“Kenapa Nur hanya pakai perfume semasa ingin keluar dari rumah saja? Kenapa Nur tak pakai perfume semasa di dalam bilik atau di dalam rumah?”
Terdiam Nur mendengar soalan-soalan yang diutarakan sebentar tadi.
“Jika memang benar kita nak diri kita wangi setiap masa, bermulalah dari diri kita sendiri. Jangan pakai perfume untuk dihidu oleh orang lain. Pakailah perfume itu untuk diri kita sendiri. Pakai agar kita sentiasa dalam keadaan bersih, wangi dan segar!”
“Sebelum tidur, ambil wuduk dan pakai perfume tau! Pastikan perfume tu suci! Akak guna One Drop perfume. Mudah, senang dibawa dan comel.”
Nur senyum riang mendengar pesanan lembut itu. Dia mengangguk, bersemangat.

Telekung yang bersih dan kemas, membantu solat yang khusyuk

“Berkenaan tentang telekung itu, cuba kita buka ruang berfikir sejenak. Jika kita nak pergi ke luar, jalan-jalan, kuliah ataupun berjumpa dengan seseorang, sudah tentu kita akan pakai pakaian yang bersih dan kemas. Seterika pakaian elok-elok. Pakai wangian yang menyenangkan.”
Nur mengangguk-angguk. Khusyuk benar dia mendengar bicara Sodrina.
“Cuba kita fikir lagi. Telekung merupakan pakaian yang sering kita pakai semasa solat. Menghadap Allah. Berdoa di hadapan Allah. Tetapi kita bertemu dengan Allah dalam keadaan yang tidak kemas malah memalukan! Telekung yang kita pakai kusut malah sudah lama tidak dicuci. Kusam pula tu sedangkan kita mampu untuk berpakaian kemas di hadapan Allah! Jika begitulah sikap kita, adakah semasa solat itu kita benar-benar mengatakan bahawa kita khusyuk dan merupakan hamba Allah?”
Sodrina menarik nafas.
“Tidak! Cuba Nur bayangkan. Seseorang muslim sedang solat dengan penuh tertib malah tahu hukum tajwid. Tetapi adabnya semasa solat hilang entah ke mana. Sejadah dihampar di atas lantai yang kotor. Di hadapan sejadah pula kelihatan jelas pinggan yang belum dicuci, lantai kotor belum disapu, pakaian bergantungan di sana sini.”
“Akak sering tertanya-tanya. Macam mana mencapai tahap khusyuk ketika solat andai kebersihan tidak dititiberat?”
Sodrina mengeluh perlahan. Rasa kesal memang ada. Dia tahu dia bukan sempurna tetapi matanya yang suka memerhati itulah menjadikan dia sentiasa berfikir. “Baru-baru ini isu telekung pula akak dengar.”
Sodrina melirik Nur. Gadis itu menatapnya seolah-olah ingin mengetahui pendapatnya.
“Pada pendapat akak, soal jenis telekung tidak perlu dititikberatkan. Cuma… lihat pengguna telekung itu. Telekung jenama apapun, cuba lihat pengguna telekung itu.”
“Maksud akak?” soal Nur ingin tahu lagi.
“Akak rasa, jika kita sudah berpakaian menutup aurat, kemudian memakai tudung dalam dan selapis tudung sebelum mengenakan telekung, masalah aurat kelihatan menerusi telekung nipis tidak akan timbul.” Sodrina meluahkan pendapat peribadinya. Dia benar-benar teguh terhadap prinsipnya. Lihat pengguna!”
“Betul juga!” sokong Nur.
“Kita hidup perlu sentiasa berfikir dan bersangka baik. Jika kita lihat seseorang muslim tu asyik pakai baju kurung, jubah atau baju muslimah saja setiap masa, jangan perli dia. Kuno? No! Kadang-kadang orang lain bila berjumpa dengan golongan yang akak sebut tadi tu, mulalah mereka banyak soal. Eh, kamu nak ke mana? Eh, kamu baru balik dari mana? Kadang kita tidak tahu niat terpendamnya.”
“Boleh Nur tahu niat terpendam, tu?”
Dia berbicara menjurus kepada soalan Nur. “Akak pernah disoal macam tu.”Dia melirik wajah Nur sekejap.
“Jujurnya akak berasa muak bila sering ditanya sebegitu. Kadang-kadang terdetik di hati akak nak jawab terus terang. Saya nak jumpa Allah, kenapa? Ataupun, saya baru sahaja selesai jumpa Allah.” Dia tergelak kecil mendengar kata-katanya sendiri diikuti ketawa kecil Nur.
“Habis tu, kenapa akak tak jawab?”
“Nur, kadang-kadang setiap persoalan hanya dapat dijawab dengan cara yang berbeza. Jika bukan dengan lisan, mungkin perbuatan. Jika tidak, jawablah dengan tulisan,” ujar Sodrina seraya senyum.
“Menarik!” komen Nur. Wajahnya mempamerkan semangat ingin tahu dan suka mendengar.
“Nur, kadang-kadang persepsi manusia itulah yang menghancurkan hati sendiri malah hati orang lain.”
“Boleh akak jelaskan?” Nur meneguk sekali air yang dihidangkan tadi.
“Kadang, bila seseorang melihat kawannya yang diam saja, mulalah seseorang itu bersangka buruk. Pendiam betul orang tu! Atau, sombongnya orang tu! Kadang, bila seseorang tengok orang lain yang berwajah serius, berkatalah seseorang itu tadi kepada kawannya yang lain. Kenapa dia macam tu? Sombongnya! Jalan pun tak senyum!”
“Betul! Betul!” kata Nur, semangat.
“Itulah persepsi yang merosakkan hati sendiri dan hati orang lain. Mengaibkan orang lain pada masa yang sama orang itu sebenarnya membuka aibnya sendiri. Jika orang lain yang sentiasa bersangka baik mendengar orang tadi itu bercakap buruk mengenai seseorang, sudah pasti hilang kepercayaan, hilanglah teman!”
Nur mengetap bibirnya.
“Patutlah Allah ingatkan kita agar bersangka baik, kan?” soalnya lembut kepada Nur.
“Ya! Husnuzon!”
“Ya, betul tu! Husnuzon. Bersangka baik, berfikir positif. Jika benar kita berasa tidak senang dengan gelagat seseorang, luahkan pada Allah. Mohon doa. Kunci mulut, jangan sebar. Doa lebih baik. Jaga aib diri sendiri dan aib orang lain!” Lancar saja Sodrina menabur kata. Dia juga sentiasa memberi peringatan kepada dirinya sendiri.
Nur diam melihat wajah seseorang yang dikaguminya. Matanya bersinar. Senyumannya mekar. Setiap kata-kata Sodrina menusuk lembut di hatinya.
“Nur, di dunia ini kita kadangkala bergelar pelakon. Kadangkala kita bergelar penonton. Jadilah pelakon yang memberi kesan! Jadilah penonton yang berkualiti!” pesannya mendalam. Dia mahu gadis muda itu menyelami makna tersirat yang ingin dia sampaikan.
Mendengar ketukan bertalu-talu di biliknya, Sodrina bergerak kemudian memulas tombol pintu. Wajah Imah yang berkerut menghiasi matanya.
“Kenapa kunci pintu?” soal Imah.
“Saya tak kunci pun.”
“Tidur lagi, ea?” soal Imah.
Sodrina menjungkit kening. Dia menggeleng. Dia menoleh semula melihat Nur yang duduk di kerusinya sejak tadi. Nur tiada di situ! Dia menoleh Imah semula…
Bersambung..

No comments:

Powered by Blogger.