Ads Top

‘Bila Ammar Pergi’, Ujian Hidup Pasangan Doktor Suami Isteri Yang Penuh Kesayuan

Suamiku Doktor, Isteriku Pun Sama. (ahaha, nak sangat tajuk macam ni, kan?)

Ini sebenarnya tulisan lama. Dah hampir 2 tahun. Untuk satu penerbitan, tapi tak jadi, mungkin tak best kot. Yup, memang panjang, 2113 patah perkataan.

“Abang. Rasa macam Ammar kurang gerak lah hari ini,” mesejnya tengah hari itu.

Mulanya saya tidak terlalu gusar. Dia seorang doktor, tahulah apa yang wajar dibuat.

“Rehatlah sikit. Jangan kerja teruk sangat. Ambil masa untuk periksa jantung Ammar,” saya membalas. Tugas di Jabatan Kecemasan agak membelenggu hari itu, saya tidak sempat bermesej panjang.

Petang itu kami bertemu di rumah seusai tugasan di hospital. Dia kelihatan tidak bertenaga. Ternyata mengecewakan. Dia seperti tabiat selalunya, berkerja sepenuh hati di wad tanpa memikirkan pesanan saya atau Ammar dalam kandungannya yang mencecah 36 minggu, 6 hari.

“Pesakit padat sangat,” jawabnya seperti selalu. Tersenyum.

Nama ‘Ammar’ memang telah kami pilih dari awal perkahwinan. Anak perempuan dinamakan Aisyah (alhamdulillah, anak sulung ini sihat dan cantik) dan Ammar pula jika anak lelaki. Sekalipun belum tahu jantina bakal anak kedua itu, kami senang memanggilnya ‘Ammar’ saja.

“Maaf bang, wad kalut hari ni. Tinggal saya seorang di wad. Seorang houseman masuk OT (operation theatre) , seorang lagi ikut MO (medical officer) melihat kes rujukan,” jawabnya seperti biasa, klise. “Tapi sejak tengah hari tadi tak terasa pun Ammar bergerak. Mungkin terlalu sibuk sampai tak sedar.”

Fetal kick chart ada buat?” sengaja bertanya walaupun tahu jawapannya. Dia geleng.

“Tak sempat.”

Saya gelisah.

“Kenapa degil? Orang lain apabila sarat seperti ini banyak-banyak rehat. Bukannya makin ligat bekerja,” marah saya, sedikit kecewa dan geram. Suarapun dikeraskan sedikit. Itu bukan kali pertama saya memarahinya. Seperti biasa dia meminta maaf dan berjanji akan berusaha lebih untuk akur pesanan saya. Seperti biasa juga, marah saya tidaklah berlarutan.

Enam hari yang lepas, kami melakukan pemeriksaan rutin di klinik sakit puan (O&G) dan ternyata Ammar mengalami komplikasi. Trimester pertama dan kedua graf tumbesarannya cemerlang.

Tetapi menganjak minggu ke-30, pembesarannya perlahan. Routine scan pada minggu ke 32, 34, dan 36 (minggu lepas) hampir tidak menunjukkan pertumbuhan. “Asymmetrical IUGR . Tapi fluid ok. Fetal heart ok. Fetal Doppler tak ada masalah. Kita induce lah,” cadang doktor yang memeriksa. “Begini. Minggu depan minggu yang ke 37 kita buat scan terakhir. Jika tak ada perubahan, masuk wad untuk induction of labour.” Saya pernah bekerja di bawahnya dulu, maka perbincangan itu jadi mudah. Kami segera setuju. “Tak apa, Aisyah dulu pun 2.18 kilogram saja. Mungkin SGA,” saya memujuk isteri, ketika itu wajahnya agak resah sekalipun berseri.

Sangka saya, keadaan sebegitu akan membuatkan dia tambah berhati-hati. Kebanyakan kawan-kawan lain sudah mula perlahan berkerja apabila menjangkau usia kandungan 30 minggu. Rakan sekerja lain pula memahami. Tetapi tidak bagi dia.

“Jangan kerja berat-berat dalam wad tu. Jangan lupa rehat dan makan. Kita nak tolong orang, tapi diri sendiri kena jaga,” pesan saya hampir setiap hari. Dia akan tersipu-sipu mengangguk. Dan saya tahu wajah yang sama juga akan keletihan menjelang petang nanti.

“Kita mahu anak kita jadi soleh-solehah, kena pastikan rezeki kita berkat. Kerja sungguh-sungguh dan amanah, macam Umar Abdul Aziz. Niat bekerja ikhlas kerana Allah, sebagai ibadah,” pesan saya selalu, selepas Maghrib. Ironi, secara realiti ternyata wanita itu sebenarnya yang mengajari saya makna jujur dan ikhlas sebagai seorang doktor. Berikan sedaya-upaya dalam tugas, apatah lagi menyelamatkan nyawa manusia kerja mulia. Sebelum mengandung lagi, dia tidak pernah kenal erti rehat. Beberapa kali dia sakit, lalu saya memaksanya bercuti. Seperti biasa, dia enggan.

“Kasihan, pesakit ramai di wad. Hari ini ramai doktor cuti.” Saya akur dengan kesungguhannya.

Asalnya kecewa, tapi diam-diam akhirnya saya malu melihat semangatnya. Selalu saya bercerita kepadanya tentang itsar. Kisah Ikrimah, Al Harits, dan Ayyasy dalam perang Yarmuk, para sahabat nabi yang berkeras mendahulukan saudaranya untuk seteguk air dan nampaknya dia jauh mendahului saya dalam memahami nilainya.

Mengandung atau tidak, bukanlah penghalang buat dia. Kadangkala saya marah, tetapi menatap wajahnya yang jernih ikhlas ingin membantu pesakit hati saya terus tenang. Masakan tidak, apabila ada pesakit yang berjaya diselamatkan sepanjang hari dia akan bercerita dengan wajah yang madu. Jika ada pesakit yang tidak bernasib baik pula, sedihnya amat jelas tergaris pada wajah. Entah berapa kali dia mengadu pada saya, “Tadi masa ward round rasa nak pengsan saja. Dah black out sekejap pun ada.” Apabila saya tegurkan, dia tersenyum lagi. “Ok abang,” jawabnya.

Ditambah pula pertukaran daripada sistem konvensional (sistem oncall) kepada sistem syif untuk para houseman, keadaan di wad menjadi kelam-kabut untuk beberapa bulan pertama. Jadual jadi cacamarba. Agihan doktor tidak cukup untuk menampung setiap tiga syif. Walaupun ramai mengambil kesempatan, tetapi bagi dia ini peluang untuk menambah kebajikan (walaupun hati nakal saya kadangkala merasakan ia hanya menyusahkan dia).

Paling diingati dua hari sebelum Ammar berhenti bergerak, dia berkerja double shift. Syif pagi sehingga jam 3 petang. Waktu petang adalah waktu rehat dan bersambung malamnya sekitar jam 9 malam hingga pagi esok. Tetapi seperti dijangka dia tidak pulang ke rumah waktu petang tersebut. “Sekejap lagi, nak selesaikan kerja wad,” katanya. Larut ke Maghrib. Santak ke Isyak, dia masih tidak pulang. Ah, sekarang masa dia rehat! Sudah jadi rutin jika dia tidak pulang, saya akan bawakan makanan dan lawatnya di hospital.

“Syif pagi tiga orang saja. Tolak dua orang masuk OT. Mana sempat nak settlekan kerja wad seorang diri. Kalau sistem dulu, ada sampai 6 orang doktor satu wad,” wajahnya pucat saja.

“Habis syif pagi, kenapa tak pass over saja kepada doktor syif petang? Boleh balik rehat.”

“Petang pun sama, ada dua orang houseman saja. Kasihan pula. Tak sedap hati nak pass over kerja pagi.”

“Habis tu mana doktor syif petang? Kenapa pula seorang saja buat kerja untuk syif petang? Ini syif orang lain.”

“Masuk OT seorang. Pergi kecemasan seorang.” Dia benar-benar keletihan, tidak banyak cakap.

Ketika itu syif malam hampir bermula. Dia belum makan dari pagi. Belum mandi. Belum tukar pakaian. Dia minta bawakan salinan baju. Bladder incontinence memang masalah biasa wanita mengandung. Dan paling menyentuh hati saya, dia mengadu perutnya yang sakit kuat.

“Macam contraction saja,” katanya. Dia terduduk di kaunter, tidak dapat bangun, walaupun tangannya masih lagi menaip. Mukanya menahan sakit yang amat. Dalam sedar dan tidak, air matanya mengalir. Dia mengesat, dan tersenyum kembali.

“Tak apa. Senaraikan apa yang tak siap lagi. Pergi masuk bilik oncall. Mandi. Solat. Makan. Lepas tu rehat sekejap. Tidur pun tak apa, sebelum mula syif malam. Abang cover untuk sementara,” arah saya, tegas, tiada kompromi. Dia keberatan, tapi akur saja. Sambil makan di pantri pun sempat dia menjenguk, memastikan saya benar-benar mengambil alih.

Saya curi-curi membantunya (seorang doktor dari jabatan lain tidak sepatutnya membuat kerja klinikal kepada bukan pesakitnya). Memasang branula, mengambil darah. Isi borang itu-ini. Dan pelbagai kerja rutin wad yang sepatutnya siap sebelum tamat waktu pejabat (tetapi tidak dapat disiapkan kerana di wad hanya tinggal seorang houseman wanita yang sarat mengandung).

Apabila syif malam sudah bermula, sebelum pulang, saya lihat dia masih memegang perutnya menahan sakit. Mujurlah kebanyakan kerja telah saya siapkan. “Malam ni rehatlah banyak-banyak. Biar orang lain yang buat kerja berat. Tahu?”

Dia angguk.

Ternyata sakit perutnya itu berlarutan sehingga keesokan hari. Sehingga hari pergerakan Ammar tidak dapat dikesan.

“Malam ni kita pergi hospital, periksa fetal heart. Risau abang.”

Kerisauan saya berasas. Di bilik pemeriksaan ibu mengandung (admission room), denyut jantung bayi itu tidak dapat dikesan dengan daptone. Saya membawanya ke bilik ultrasound. Kebetulan seorang doktor senior masuk, langsung membantu kami memeriksa jantung bayi.

Probe digerakkan ke sana-sini, mencari lokasi yang betul untuk jantung bayi. Agak lama, tapi tidak berjumpa. Doktor senior itu tidak banyak berkata. Saya dan isteri sudah cukup faham. Memerhatikan skrin begitu lama, sudah memberikan jawapan tanpa memerlukan sebarang kata-kata.

Melalui skrin, saya lihat wajah Ammar seperti tersenyum. Kepalanya sempurna. Jarinya cantik.

Cuma. Jantungnya sudah tidak berdegup.

Allah.

Dari-Nya kita datang, kepada-Nya kita pulang.

“Sepatutnya esok dah masuk wad, nak induce dah. Tinggal satu hari saja lagi.” Suara saya gugup, ternyata kesal bertunda-tunda.

Saya tidak sanggup memandang wajahnya. Tidak tahu bagaimana hendak berbicara. Entah apa respon yang wajar. Kejanggalan terasa begitu padat sekali dalam bilik kecil itu. Entah apa dalam kepalanya. Entah apa dalam kepala doktor senior itu.

“Kita masuk wad malam ni. Esok lepas ambil darah, cek jalan dan sebagainya, kita induce ya?” Doktor senior itu mencadangkan setelah agak lama kami berdiam. Apa lagi pilihan yang ada?

Saya menunggu di luar bilik admission sementara isteri saya menyelesaikan proses pendaftarannya. Saya merenung jauh. Tak tergambar perasaan yang mengempang, air mata lelaki bergenang tapi saya tahan daripada menitis.

Kehadiran Ammar amat dinantikan kami, terutamanya Aisyah. Pantas terlihat gelagat Aisyah yang setiap malam akan duduk di tepi katil, cuba mengejutkan ibu dan ayahnya yang kepenatan setelah seharian bekerja. Mengusik. Menarik rambut. Mengajak bermain. Tetapi hampa, dan akhirnya berjalan keluar dari bilik untuk mendapatkan datuk dan nenek yang sering menghiburkannya. Di sebalik senyuman Aisyah, ketara kesunyiannya. Selalu dia meragam, dan tidak sukar untuk kami membaca maknanya- betapa dia dambakan perhatian. Dan selalu saya bisikkan pada isteri – “Nanti bolehlah Aisyah bermain dengan adiknya, Ammar.”

Tetapi harapan itu berkecai, bersama terhentinya nadi Ammar malam itu.

Jujurnya sebagai lelaki biasa yang dibalut pelbagai kekurangan, saya dikuasai rasa marah dan kecewa buat seketika. Seseorang perlu dipersalahkan, dan tentu sekali isteri saya yang pertama terdetik dalam hati. Saya pendamkan, tetapi rasa itu berkali-kali meronta, mahu dilepaskan. Saya beristighfar, memohon tuhan berikan jawapan.

Dan Tuhan Maha Mendengar.

Saya menelefon ahli keluarga, memaklumkan berita buruk itu. Saat bercakap dengan ayah mertua, suara naïf Aisyah yang keriangan mencuit cuping telinga langsung masuk menjentik jiwa lelaki saya. Allah, apa lagi hadiah yang lebih berharga selain seorang ‘Aisyah’? Tuhan telah lama menganugerahi saya nikmat ini maka apakah saya harus rebah dengan sedikit ujian? Saban hari saya berdepan dengan kematian pesakit, tentu sekali ujian itu jauh lebih meremukkan rasa keluarganya berbanding ini.

Paling utama, saya tahu itulah kekuatan isteri saya. Dia bekerja mempertaruh jiwa raga sebagai seorang doktor meskipun sebahagian kecil rakan lain bersikap sebaliknya. Kenapa saya harus salahkan kelebihannya yang telah Tuhan anugerahkan?

“Kita tolong orang, Allah akan tolong kita,” begitulah kami saling berpesan selama ini.

Saya hampir terlupa, biar betapa sedih dan kecewa pun diri ini, tentu tak tergambar kecamuk dan kepedihan yang ditanggung olehnya.

Sembilan bulan dia menyimpan harapan. Dialah satu-satunya yang merasai denyut Ammar. Suara Ammar terdengar dalam mimpinya, mengusapnya dengan kasih sayang seorang ibu. Hanya dia yang pernah hidup dan berkongsi nafas dengan Ammar, Allah, maka layakkah saya menghukumnya?

Saya kesatkan air mata dan segera mendapatkannya. Dia tersenyum walaupun sedikit tawar. Menyembunyikan beban yang ditanggung.

Sesekali cuba berlucu, tak kelihatan air matanya. Begitu saya dekat memerhatikan kelakuannya. Tidak mahu dia menunjukkan kepiluan di hadapan saya. Dan paling banyak, berkali-kali dia meminta maaf dan menyalahkan diri sendiri, “Saya ni pesakit yang degil,” katanya.

Selang dua hari, kelahiran ‘Ammar’ berlaku cepat tanpa banyak masalah. Jasad Ammar dibersihkan, dibalut cantik oleh rakan-rakan yang bertugas seolah-olah sedang meraikan tangis seorang bayi yang sempurna. Perlahan diletakkan di dalam katil bayi di sebelah isteri saya. Dia meriba Ammar yang masih tersenyum. Ketika itu air matanya perlahan mengalir. Alangkah, dia masih cuba tersenyum dengan bibir menahan ketar, tapi air mata pula mengucur laju. Saya tinggalkan dia seorang, bersama Ammar yang dirinduinya.

Ammar dikebumikan keesokan hari. Saya sendiri memandi dan mengafankan. Kata pakcik saya, Ammar dikira keguguran, mati sebelum lahir. Kaifiat pengebumiannya tidak sama dengan bayi mati selepas lahir. Kucupan terakhir ibu hadir bersama beberapa titis air mata yang melembapkan kain putih itu. Aisyah berdiri di kepala katil, tidak mengerti apa-apa, hanya memandang penuh tanda tanya.

“Umi, itu Ammar ke?” tanya Aisyah yang baru terjaga tidur.

“Ammar Zaid.” Ibunya mengangguk. Itu nama yang telah dipilih kami.

Ya, wanita itu lah yang mengajari saya nilai kekuatan. Di rumah, sekalipun saya yang banyak bercerita, mengajar, dan membacakannya pelbagai pelajaran, tetapi dialah yang menunjukkan saya makna dan hakikat itu dalam kehidupan.

Pemergian Ammar Zaid sama sekali tidak mengubah sikap dia. Bahkan dia kian bersemangat, dan sungguh-sungguh bekerja.

“Kita tolong orang, Allah akan tolong kita.” Keyakinan itulah yang telah mengentalkan hati kami untuk redha. Sesekali terdengar bisik-bisik curiga rakan sekerja, cuba menyalahkan isteri saya atas kedegilannya itu. Kejadian menimpa kami menjadi bualan beberapa ketika. Biarlah, ia bukannya kelemahan yang harus saya kesalkan, bahkan itu kelebihan yang Allah berikan kepadanya.

Allah memberikan saya seorang isteri, dan guru yang mengajar saya.

Allah telah memberi Aisyah Sofiyyah yang akan meragam apabila tidak diberi perhatian.

Dan Allah telah memilih Ammar ke sisi-Nya. Tentu sekali sedang menanti kami di hari muka.

Perancangan Allah Maha Rahsia, tentunya. Alhamdulillah.

Akhirnya kesunyian Aisyah dan kerinduan ibunya terubat apabila tangisan Ammar Hanzalah pula bergema di dewan bersalin lebih setahun kemudian. Lahir pada usia 36 minggu.

Dan hari ini giginya telah tumbuh sebatang.

Allah.

Catatan gambar: Aisyah, Ammar, dan Asmaa di Melbourne City.

Kepada semua lelaki, kalau nak kahwin dengan doktor… be prepared because you are about to marry a great woman!

No comments:

Powered by Blogger.