Ads Top

Belajar 5 Jam, Bagaimana Lelaki Ini Kembangkan Pasaran Roti Ke Seluruh Malaysia

Saya berkesempatan menemubual Tuan Roslan Rahmat, seorang pengusaha syarikat roti, menerusi Lanina Marketing dan Roti ABS.

Tuan Roslan Rahmat sedang mengendalikan tempahan roti hujung tahun.

Tuan Roslan Rahmat sedang mengendalikan tempahan roti hujung tahun.

Beliau yang tinggal di Batang Kali menceritakan cerita yang jarang-jarang kita dengari.

Cerita bagaimana beliau, dengan hanya melalui pembelajaran membuat roti selama 5 jam, mampu menguasai pasaran roti sekolah sehingga ke seluruh Ulu Selangor.

Kalau anda rasa ini sudah cukup hebat, jangan tidak sangka, kini beliau dan pasukan Roti ABS sedang mengembangkan pasaran sehingga ke seluruh Malaysia pula.

Ikuti kisah menarik bagaimana beliau mahu melakukannya di bawah.

Projek Kacang Yang Tidak Memuaskan

6 tahun lepas Tuan Roslan merupakan usahawan asas tani.

Beliau mendapat geran berbentuk sebuah ketuhar untuk menjalankan projeknya. Beliau menjalankan projek membuat dan memasarkan kacang panggang.

Malangnya, selepas percubaan demi percubaan, beliau masih tidak mampu menghasilkan kacang panggang sama seperti di pasaran.

Selepas setahun, Tuan Roslan menghentikan projek kacang panggangnya.

Beliau mula memikirkan projek lain yang boleh dilakukan sambil menggunakan kemudahan ketuhar yang telah tersedia. Bahulu, kek dan roti adalah di antara idea yang terlintas di kepalanya.

Seminggu selepas beliau berfikir-fikir, beliau terjumpa dengan sekeping iklan kursus membuat aneka bun di Tanjung Malim. Dengan pembayaran sebanyak RM250, kelas dimulakan pada 10 pagi, rehat dan makan tengah hari, dan berakhir pada pukul 3 petang.

Selepas 5 jam belajar membuat roti, beliau pun pulang.

Mula Membuat Roti

Ketika mengusahakan perusahaan kacang panggang lagi, beliau sudah menyewa sebuah gerai kecil di Medan Selera Batang Kali pada harga RM70 sebulan, disebabkan saiz ketuhar yang besar.

Bermula kecil-kecilan, mendapat geran ketuhar.

Bermula kecil-kecilan, mendapat geran ketuhar.

Beliau pun memulakan percubaan pertama untuk membuat roti.

Hanya berbekalkan sebuah ketuhar dan 3 dulang bakar, Roslan mencari idea untuk meneruskan percubaannya. Terlalu banyak barang tidak mencukupi, sehinggakan mixer, alat wajib untuk membuat roti juga, beliau tiada.

Ketika itu beliau teringat, selang 3 pintu, ada usahawan yang membuat kuih pau. Beliau mempunyai mesin mixer.

Beliau bertemu dengan pengusaha pau tersebut lalu bertanya, “Tuan, saya nak buat roti. Saya tak ada mixer, boleh saya upah tolong ulikan pakai mesin?”

Pengusaha kuih pau berkata, “Ok.”

Maka, sejak itu Roslan membayar upah RM5 sehari kepada pengusaha pau itu.

Roti Keras

Setelah Roslan menyusun perkara-perkara penting, beliau cuba membuat roti pertama.

“Saya belajar, saya terus buat, Puan. Takut lupa,” katanya kepada saya.

Lucunya, roti pertama yang beliau buat, sangat keras. Staff beliau pun menggelakkannya.

Staff kata baling dinding pun pecah. Saya frust sangat!” katanya lagi.

Apabila ditunjukkan kepada tauke pau, beliau digelakkan juga.

“Kenapa jadi macam ni?” tauke pau bertanya sambil tergelak.

Tanpa putus asa, beliau buat, buat, buat, dan terus buat, dan akhirnya berjumpa cara yang betul untuk membuat roti.

Mula Memasarkan Roti

Setelah berjaya menghasilkan roti yang elok, Roslan berfikir-fikir di mana hendak menjual roti-rotinya.

Sementara berfikir, beliau membeli barang-barang keperluan seperti plastik pembungkus dan alat sealer yang murah.

Lalu beliau menyediakan, mengembangkan, membakar dan membungkus roti-roti ke dalam plastik.

Beliau menyediakan beberapa tester dan masuk ke sekolah. Beliau bertemu pengusaha kantin.

Perkara ini membuat saya bertanya.

“Bagaimana Tuan mendekati pengusaha kantin?” tanya saya.

“Jadikan pengusaha kantin selesa dengan kehadiran kita. Tidak terlalu formal dan tidak pula tanpa persediaan. Dapatkan rentak nada perbualan yang sama.”

Saya bertanya lagi, “Bagaimana penerimaan pengusaha kantin pada mulanya?”

“Jika kantin memang memerlukan roti dan tiada yang servis, mereka akan terima dengan tangan terbuka. Namun ada juga yang agak keberatan kerana pengalaman lampau yang mana ada pembekal yang tidak memberikan servis yang baik. Contohnya lama tidak hantar roti. Sekejap hantar sekejap tidak,” jawab Tuan Roslan.

Alhamdulillah, 3 buah kantin sekolah sudi menerima roti-roti yang beliau sediakan sebagai permulaan.

Masih Kekurangan

Ketika ini beliau masih serba kekurangan.

Ketika beroperasi di gerai kecil, mengusahakan Roti Boboi.

Ketika beroperasi di gerai kecil, mengusahakan Roti Boboi.

Mixer disewa daripada tauke pau. Dulang bakar hanya ada tiga, tidak cukup, kadang-kala berebut meminjam daripada tauke pau.

Dough divider dan proofer tiada untuk kembangkan roti. Roslan menjemur doh roti ini di tengah panas sambil ditutup dengan kain putih, bila cukup kembang, baru boleh dibakar.

Mahu sejukkan roti, cooling rack pun tiada. Roslan terpaksa membuat sendiri cooling rack daripada besi. Kebetulan ada kedai runcit menjual rak jualan terpakai. Roslan membuka besi, ukur, potong dan cantum semula, menjadikan saiznya muat-muat sahaja dengan saiz dulang. Semuanya dibuat sendiri.

Sementara itu, Roslan sudah mula menghantar dan memasarkan roti-rotinya ke sekolah. Laku tidak laku, beliau tidak tahu. Bagi beliau, perkara ini kemudian kira.

Akhirnya, beliau tahu penerimaan murid-murid sekolah di 3 buah kantin sekolah itu.

Rotinya laku keras, murid-murid menyukainya.

“Jangan sangka budak sekolah tak pandai menilai roti. Deria rasa mereka lebih tajam. Mereka tahu mana roti yang campur susu dan roti yang tidak,” kata Tuan Roslan.

Buat dengan baik, pelanggan budak sekolah pun menyukainya. Ini menguatkan lagi azam beliau dan pasukan untuk terus maju.

Roti Sekolah Terus Berkembang

Daripada 3 sekolah, Roslan dan pasukannya mula mengembangkan pasaran roti sekolah. Mereka mula berhubung dengan pengusaha-pengusaha kantin sekolah di sekitar pekan Batang Kali, Ulu Yam dan Kuala Kubu Bharu.

Antara barisan roti yang dihasilkan pada tahun 2011.

Antara barisan roti yang dihasilkan pada tahun 2011.

Pasukan beliau juga memasarkan roti sekolah sehingga ke Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa sehingga sekarang.

Pendek kata, akhirnya pasukan beliau menguasai pasaran roti sekolah di Ulu Selangor. Kesemuanya ini dilakukan dalam masa 2 tahun.

Apabila ditanya apakah cabaran dalam mengusahakan roti budak sekolah, Roslan menjawab, “Cabaran adalah masa penghantaran yang sangat terhad. (Roti ke) 15 sehingga puluhan buah sekolah perlu dihantar sebelum waktu rehat pada pukul 10 pagi. Jarak jangkauan harian beratus kilometer.”

“Jadi bagaimana pasukan Tuan mengatasinya?” saya bertanya lagi.

“Rancang perjalanan. Waktu penghantaran roti adalah sama dengan waktu orang ramai bersesak-sesak pergi ke tempat kerja. Jangan ikut laluan ke pusat bandar. Ikut jalan bertentangan.

Kenal pasti sekolah 1 sesi dan 2 sesi.

Penghantaran roti ke channel bukan sekolah boleh dihantar selepas habis penghantaran ke sekolah.

Jangan buang masa mengira dan mengasingkan jenis roti apabila di sekolah.

Asingkan dan buat sebelum bertolak,” jelas Roslan secara terperinci.

Hasil jualan, beliau sedikit demi sedikit membeli kelengkapan di kedai.

Kilang roti ABS Prestige PLT Januari 2016.

Kilang roti ABS Prestige PLT Januari 2016.

Ada duit sedikit, beli mesin mixer. Ada duit lagi, beli meja kerja. Ada lebihan lagi, beli lagi sebuah ketuhar. Walaupun mengambil masa lama, kerana kesemuanya dibeli daripada hasil jualan, namun akhirnya, dapur roti sudah pun lengkap.

Ahli pasukan pun semakin bertambah.

Twist Cerita Yang Tidak Disangka-Sangka

Pada tahun pertama, pasukan Tuan Roslan bermula.

Pada tahun kedua, pasukan beliau sudah menguasai pasaran Ulu Selangor dan sudah mempunyai agen yang memasarkan produk beliau di Kuala Lumpur.

Pada tahun ketiga, ketika menghadiri sebuah konvensyen di UTM, sesuatu yang tidak diduga berlaku.

Tuan Roslan dan Puan Ainon

Tuan Roslan dan Puan Ainon

Sebelum ke konvesyen, beliau sepatutnya menghantar roti-roti ke Darul Qur’an. Rupa-rupanya Darul Qur’an tutup, lalu beliau membawa roti-roti untuk dikongsikan bersama dengan kenalan-kenalan baru di konvensyen.

Puan Ainon Mohd, pengerusi PTS Media Group Sdn Bhd dan pengerusi ABS Ainon Holding Sdn Bhd turut merasai nikmat kelazatan roti sekolah Tuan Roslan, lalu berkata, “Inilah dia. Nabi makan roti, makan gandum.”

Maka bermulalah perjalanan Tuan Roslan Rahmat dengan kumpulan Roti ABS.

Semakin banyak produk roti dihasilkan, dan beliau bermula hanya daripada belajar selama 5 jam!

Semakin banyak produk roti dihasilkan, dan permulaannnya hanya daripada belajar selama 5 jam!

Tugas-tugas roti sekolah diserahkan kepada ahli pasukannya yang lalu, dan beliau mula mencari peluang dan pengalaman baru.

Bak kata beliau:

Turunkan kuasa. Jangan semua kita nak buat sendirian.

Agihkan tugas. Satu tim untuk satu projek. Tidak boleh bertindan.

Jika kita minta seorang kakitangan mengawal banyak projek. Kita tidak akan mendapat hasil yang maksimum. Lagi teruk jika staff itu tertekan dan berhenti kerja!

Roti Bocey Dan Belajar Ilmu Bisnes Gaya Korporat

Daripada bisnes hak milik tunggal, Roslan mula belajar bisnes gaya pengurusan korporat.

Antara projek terawal pada tahun 2014, adalah penghasilan produk roti yang mewakili kumpulan lawak Bocey.

Kenangan bersama arwah Harun Salim Bachik dan Acey.

Kenangan bersama arwah Harun Salim Bachik dan Acey.

Projek ini yang diilhamkan oleh Arwah Harun Salim Bachik dan Tuan Ismisolihin Ismail, dicetuskan 2 atau 3 bulan sebelum bulan raya.

Maka terhasillah Roti Bocey dengan 2 variasi saiz. Variasi besar sesuai untuk seisi keluarga mewakili Abam, manakala variasi saiz biasa untuk pek individu mewakili Acey dan Fad.

Tidak seperti roti john yang panjang, Roti Bocey berbentuk bulat berkelopak seperti bunga. Tidak seperti roti john yang diperbuat daripada 70% telur dan 30% daging, Roti Bocey mempunyai lebih rasa daging dengan 70% daging dan 30% telur.

Roti Bocey Abam, Fad dan Acey.

Roti Bocey Abam, Fad dan Acey.

Ketika bulan Ramadhan, kumpulan Bocey memperoleh satu tapak niaga di jalan TAR, berhadapan MARA. Tapak ini diusahakan oleh tim Roti ABS.

Pada hari-hari terawal bulan puasa, disebabkan penampilan Roti Bocey yang terlalu unik, ianya hanya meraih jualan sebanyak RM200+ sahaja. Akan tetapi trend memperlihatkan peningkatan jumlah pelanggan dari sehari ke sehari.

Pada penghujung bulan Ramadhan, ketika semakin ramai pelanggan mengenali kesedapan dan perbezaan Roti Bocey, kutipan jualan mencecah sehingga RM1000 sehari.

Input Dan Validasi

Pelbagai input dan validasi bisnes didapati hasil kerjasama di antara kumpulan Bocey dan tim Tuan Roslan.

Bersama kumpulan Bocey di bazaar Ramadhan.

Bersama kumpulan Bocey di bazaar Ramadhan.

Perkara pertama pasukan beliau belajar, pada hari dan minggu pertama bulan puasa, pelanggan bazaar akan mencari makanan-makanan tradisi bulan puasa seperti murtabak, roti john, ayam panggang dan kuih pelita.

Perkara kedua, pelanggan bazaar mula terbuka hati untuk mencuba makanan baru pada minggu kedua, dan lebih ramai mencuba dan mengulangi pada minggu ketiga.

Perkara ketiga, pelanggan menyukai rasa Roti Bocey dahulu. Validasi dan penambahbaikan dilakukan mengikut maklum balas pelanggan.

Berbuka bersama tim Roti Bocey di hari terakhir jualan

Berbuka bersama tim Roti Bocey di hari terakhir jualan

Perkara keempat, pembelian berulang lazimnya dilakukan oleh wanita berkeluarga di mana suami dan anak-anak mereka menggemari rasa roti yang dibeli.

Pengenalan BegeJon

Hasil daripada input dan validasi di atas, Roti ABS yang kini diterajui oleh Puan Reni Rahmat dan disokong oleh Tuan Roslan Rahmat memulakan projek 2016 mereka yang digelar BegeJon.

Gerai Begejon

Gerai Begejon

Projek ini sudah bermula sekarang dan dijangka semakin rancak beroperasi menjelang bulan puasa yang akan tiba pada bulan Jun nanti.

Menu

Menu meleleh.

Menu meleleh.


BegeJon adalah projek street food yang menampilkan menu-menu utama seperti Roti John (ayam dan daging), Roti John Cheese Tarik (ayam dan daging), Burger (ayam dan daging), dan Mini BegeJon (ayam dan daging). Menu sampingan adalah BegeJon Birthday Cake (10 inci), Sandwic (ayam grill, daging grill dan tuna) dan Roti Telur Leleh. Keseluruhannya, 25 jenis menu boleh dihasilkan menggunakan kelengkapan yang disediakan termasuklah menu western seperti beef steak dan grilled salmon.

Selain daripada patty yang diadun terus di atas pemanggang, keunikan Roti John BegeJon adalah pada kelembutan dan keenakan roti submarine tanpa pengawet yang dibuat sendiri dengan 3 rasa iaitu wholemeal, buttermilk atau nestum.

Pendek kata, satu tempat yang sama, pelbagai citarasa.

Maggi 3 minit

Inti, patty, roti dan sos yang sudah dipek.

Inti, patty, roti dan sos yang sudah dipek.


Menariknya, tanpa kepakaran memasak, pengusaha BegeJon yang baru boleh terus berniaga. Kebanyakan bahan-bahan seperti roti, sos istimewa BegeJon, inti dan patty akan terus dihantar oleh tim Roti ABS, dan hanya sedikit pembelian diperlukan oleh pengusaha seperti sayur-sayuran dan telur.

Bak kata Tuan Roslan, ianya ibarat Maggi 3 minit. Koyak. Masuk bekas. Pecah telur. Gaul. Bakar. Dah siap.

Muat dalam kereta kancil

Boleh guna kereta sedia ada.

Boleh guna kereta sedia ada.


Pakej yang dicipta, muat dalam sebuah kereta Kancil. Khemah, bunting, tong gas, meja kerja, meja memasak dan penyediaan, kuali pemanggang, dan ya, 100 biji roti john berserta bahan-bahan yang lain. Hanya perlukan 1 trip, semua barangan lengkap di tapak jualan. Saya berada di sana semasa demonstrasi diadakan, dan seorang newbie hanya memerlukan masa 14 minit untuk setup sebuah gerai BegeJon.

Latihan dan bimbingan

Pandangan gerai dari dalam.

Pandangan gerai dari dalam.


Latihan dan bimbingan berterusan disediakan. Semasa artikel ini ditulis, terdapat sebuah group Whatsapp disediakan yang sarat dengan soalan-soalan pengusaha dan tip-tip bimbingan daripada Puan Reni dan Tuan Roslan. Bagaimana hendak buat, ke mana, bagaimana hendak kembangkan bisnes adalah di antara support system yang disediakan bersekali dengan pakej untuk usahawan terus maju.

Pemasaran

Terliur.

Terliur.


Kit pemasaran seperti bunting disediakan sekali di dalam pakej. Cara-cara pemasaran berkesan juga diajar, di samping sokongan pemasaran oleh pihak Roti ABS.

Berniaga apa ada di tangan

Roti John Cheese Tarik

Roti John Cheese Tarik


Mengimbau kembali kisah hidup beliau, Roslan bermula daripada kecil sehingga akhirnya besar. Berjaya menguasai pasaran Ulu Selangor yang mampu memberinya pulangan berterusan terhadap beliau dan pasukan beliau. Kesemuanya dilakukan secara lean tanpa pinjaman dan hutang bank.

Mengambil semangat hidup beliau, Roslan menyediakan pakej perniagaan BegeJon pada harga mampu milik serendah RM2200 dan RM2500.

Seperti kata beliau, perniagaan ini adalah perniagaan tunai. Kos modal yang rendah menyebabkan break even point dapat dicapai dengan cepat.

Sesi demonstrasi akan dijalankan pada hari Sabtu 23 April 2016 pada pukul 10 pagi di Taman Cemerlang, Gombak.

Setakat hari ini 11 orang sudah sah mendaftar sebagai pengusaha BegeJon.

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Roslan Rahmat di 013-3025748 atau di Facebook beliau, atau layari laman Facebook BegeJon di sini.

5 Perkara Saya Belajar Daripada Tuan Roslan Rahmat

Daripada perbincangan demi perbincangan yang saya adakan bersama Tuan Roslan, ini adalah 5 perkara yang saya belajar daripada beliau.

Tuan Roslan sedang demo memasak menu sampingan.

Tuan Roslan sedang demo memasak menu sampingan.

1. Jual apa yang orang suka.

Sebenarnya, Tuan Roslan tidak minat makan roti mahupun roti john. Tetapi oleh kerana beliau melihat ramai yang sukakannya, dan ingin menggunakan ketuhar yang telah tersedia, beliau bersungguh-sungguh mempelajari ilmu pembuatan roti.

Bak kata beliau, sebagai orang bisnes, tidak penting sama ada produk kita menepati citarasa kita. Yang lebih penting, produk mestilah menepati citarasa pelanggan.

2. Jangan takut bermula

Berapa ramai orang yang belajar 5 jam sahaja, sudah boleh mempunyai bisnes yang berkembang pesat?

Ada orang belajar 1001 perkara, tetapi masih duduk di dapur-dapur dan belum berani berbisnes.

Untuk memulakan bisnes, cukup sekadar berani dan tahu satu perkara, dan apabila sudah maju, bolehlah berfikir untuk berkembang ke cabang-cabang yang lain.

3. Lean startup.

Mulakan dengan apa yang ada. Tidak ada mixer, tidak ada dough divider, tidak ada proofer tidak menghentikan Roslan daripada meneruskan cita-citanya.

Minta bantuan atau outsource mana yang perlu selagi ia mendatangkan keuntungan atau membantu syarikat untuk berkembang.

Kuncinya, be creative!

4. Ber-Network-lah!

Ber-network dan berkawan-kawan dengan orang bisnes yang lain bukan sahaja memberi lebih banyak ilmu, malah membuka lebih banyak peluang perniagaan.

5. Bisnes tepi jalan pun boleh dibuat secara korporat.

Sebagai orang bisnes, kita mesti menjadi kucing yang berfikir sebagai seekor singa.

Walaupun bermula kecil, apabila kita mengamalkan amalan-amalan bisnes yang baik, tidak mustahil, satu hari nanti kita mampu mengembangkan bisnes sehingga ke seluruh negara/ benua/ dunia. Yang ini, anda tentukan.

Selamat berjaya!

No comments:

Powered by Blogger.